Monday, March 05, 2018

8 Jenis Demam Anda Wajib Ketahui Dan Cara Rawatannya


Ada beberapa sebab dan punca kenapa demam terjadi dan kita perlulah ambil peduli dan tahu tentang perubahan pada badan sama ada ada menghidap penyakit berbahaya atau tidak.

8 Jenis Demam Anda Wajib Ketahui Dan Cara Rawatannya

Bukankah mencegah dari awal itu lebih baik. Jangan tangguh mendapatkan rawatan doktor dan biarkan melarat.

Apa Punca Demam?

Jika seseorang mengalami demam, ia adalah disebabkan oleh kenaikan takat suhu tetap di dalam badan yang ditunjukkan dengan kenaikan suhu badan melebihi daripada suhu biasa.

Pengesahan kenaikan suhu badan boleh ditentukan dengan mengunakan jangka suhu.

Ada beberapa tempat yang boleh diukur suhunya dan tahap-tahapnya diklasifikasikan sebagai demam seperti pada bahagian mulut dengan bacaan melebihi 37.8ºC (100ºF) dan suhu dubur pula melebihi 38.3ºC (101ºF) atau 37ºC (98.6ºF) apabila disukat di celah ketiak.

Demam boleh terjadi tanpa sebarang sebab, misalnya seperti selepas bersenam atau pun terjadi akibat perubahan fisiologi badan seperti di dalam kes jangkitan kuman.

Kuman yang menjangkiti badan dikenali sebagai pirogen, istilah yang berasal dari perkataan Greek (pyro=api;gen=penyebab) bermaksud sebarang bahan apabila memasuki badan ia akan menyebabkan kenaikan suhu.

Bahan-bahan lain yang diketahui boleh menyebabkan kenaikan suhu termasuklah ubat-ubatan, penyakit seperti kanser dan serangan penyakit jantung, dadah dan racun.

Jenis-Jenis Demam

Demam umumnya terjadi disebabkan oleh beberapa sebab yang boleh dikategori atau dikelompokkan sebagai jenis-jenis demam.

Antaranya adalah seperti;

1. Demam berpanjangan atau berterusan

Biasanya demam seperti ini berpanjangan atau berlarutan antara 10-14 hari. Demam ini dikategorikan sebagai demam gred rendah.

2. Demam Infeksi

Demam infeksi adalah demam yang disebabkan oleh jangkitan kuman, bakteria, virus atau mikroorganisma yang masuk ke dalam tubuh.

Beberapa penyakit yang dapat menyebabkan jangkitan dan mendapat demam antaranya ialah Tetanus, Mumps atau Epidemic Parotitis, Measles-Rubella, demam berdarah, Tuberculosis, jangkitan pada saluran kencing dan sebagainya.

3. Demam Non-Infeksi

Demam non-infeksi adalah demam yang bukan disebabkan oleh jangkitan tetapi disebabkan oleh penyakit keturunan atau pembawakan sejak lahir dan ia tidak ditangani dengan baik.

Misalnya, demam kerana mempunyai penyakit berat seperti leukimia atau kanser darah, tumor atau penyakit disebabkan oleh autoimun seperti rheumatic, SLE (lupus) dan lain-lain.

4. Demam fisiologi

Demam fisiologis adalah demam yang bukan disebabkan oleh jangkitan kuman, virus dan bakteria atau bukan disebabkan oleh penyakit keturunan.

Suhu demam fisiologi biasanya jarang melebihi 38°C kerana ia disebabkan oleh kekurangan air atau cecair dalam badan (dehidrasi), perubahan cuaca yang terlalu panas dan sejuk serta beberapa sebab lain.

Demam jenis ini biasanya tidak memerlukan rawatan khusus, cukup dengan rehat dan pengambilan air yang mencukupi.

5. Demam Kronik

Demam kategori ini berlangsung lebih lama dari tiga hingga empat hari. Sesetengah pakar perubatan menganggap demam sekejap-sekejap yang berulang-ulang dari bulan ke tahun sebagai demam kronik.

6. Demam Berselang-seli

Suhu badan dalam keadaan baik tetapi bervariasi atau tidak tetap, iaitu dari normal ke tahap demam dalam masa satu hari atau berulang dan berselang-seli dalam masa satu hingga tiga hari.

7. Demam Remit

Demam jenis ini datang dan pergi pada selang masa yang tetap dalam tempoh 24 jam.

8. Demam Hyperpyrexia

Demam ini dianggap bahaya kerana suhu bagi penghidap biasanya boleh mencecah melebihi 106.7 F atau 41.5°C.

Suhu ini terlalu tinggi dan memerlukan rawatan kecemasan dengan segera.

Lemah Antibodi Punca Demam

Demam juga boleh terjadi apabila seseorang memiliki keupayaan imun badan yang terhad untuk melawan jangkitan atau pun mungkin disebabkan oleh keradangan.

Kerana itulah orang yang mempunyai sistem pertahanan tubuh yang lemah mudah dijangkiti demam.

Berikut adalah sebab-sebab sistem imun yang lemah:
  • Kanser.
  • Rawatan kanser.
  • Ubat imunosupresif, contohnya digunakan dalam pemindahan organ.
  • Terapi steroid untuk masa yang lama.
  • HIV.
  • Berumur lebih daripada 65 tahun.
  • Tiada limpa (selepas pembedahan limpa).
  • Sarcoidosis (keadaan yang dicirikan oleh bentuk keradangan yang agak luar biasa, yang membawa kepada pembentukan granuloma yang boleh berlaku di mana-mana di dalam badan).
  • Lupus.
  • Kekurangan gizi.
  • Diabetes.
  • Penggunaan alkohol atau penyalahgunaan dadah.

Satu lagi keadaan perubatan yang melibatkan demam adalah kerana penyebabnya tidak diketahui atau tidak dapat dikesan (walaupun punca itu boleh ditemui pada satu jangka masa yang lain).

Ia dipanggil FUO (Fever of Unknown Origin).

FUO ditakrifkan sebagai suhu yang melebihi daripada 101 F (38.3°C) dan berlaku beberapa kali dalam tempoh lebih daripada tiga minggu dan kegagalan untuk didiagnosis walaupun rawatannya telah dinilai oleh banyak pakar dan ujian secara intensif.

Akhirnya, FUO diklasifikasikan sebagai demam yang disebabkan oleh jangkitan, kanser, penyakit vaskular kolagen, kegagalan organ dalaman atau hormon tiroid, jangkitan parasit yang tidak jelas dan kanser okultisme.

Rawatan Demam

Jika anda mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah, perhatian sepenuhnya perlu diberikan kepada mereka sekiranya mengalami demam kerana masalah demam yang kuat dan berpanjangan boleh menyebabkan berlakunya sawan demam.

Sawan jenis ini boleh terjadi hanya semasa demam dan biasanya ia berlaku selama 10 hingga 15 minit.

Sawan Demam

Sekiranya sawan terjadi, letakkan tuala basah di atas kepala pesakit dan bawa berjumpa dengan doktor dengan segera.

Langkah lain yang boleh dilakukan semasa pesakit mengalami demam adalah memastikan pesakit mengambil cecair yang mencukupi, memakai pakaian yang tidak tebal dan suhu bilik yang tidak terlalu panas.

Sekiranya pesakit hendak diberikan ubat bagi melegakan demam, beberapa persoalan perlu diambil kira didalam pengubatan sendiri:
  • Berapa lamakah mengalami demam?
  • Berapakah suhu badan? Bagaimana suhu badan disukat?
  • Adakah tanda-tanda lain selain daripada demam?
  • Sudahkah rawatan lain digunakan untuk merawat demam tersebut?
  • Adakah anda sedang menjalani rawatan atau mengambil ubat tertentu?
  • Adakah anda menghadapi masalah alergi atau kesan buruk ubat-ubat tertentu?

Untuk penggunaan ubat bagi melegakan demam, pilihan ubat boleh digunakan oleh pesakit dewasa ialah paracetamol dan ibuprofen.

Kedua-dua ubat ini kerap kali digunakan untuk melega atau mengurangkan demam.

Aspirin turut mempunyai kelebihan untuk menghilangkan kesakitan semasa demam.

Dos ubat yang diambil oleh pesakit ialah 660 hingga 1000 miligram pada setiap empat hingga enam jam sehingga dos maksimum iaitu lima dos sehari.

Ibuprofen pula disyorkan pada kadar 200 hingga 400 miligram setiap empat hingga enam jam sehingga dos maksimum iaitu sebanyak 1200 miligram sehari.

Bagi kanak-kanak pula, hanya disyorkan untuk merawat demam dengan dos ubat yang lebih kecil berbanding dos dewasa.

Pilihan dos ubat mestilah disesuaikan dengan umur pesakit dan kebiasaannya pesakit kanak-kanak diberikan ubat cecair bagi memudahkan pengambilan ubat.

Dos yang disyorkan untuk kanak-kanak berusia di antara dua hingga 11 tahun ialah 10 hingga 15 miligram bagi setiap kilogram berat badan kanak-kanak pada setiap empat hingga enam jam.

Manakala dos maksimum sehari pula adalah sebanyak 65 miligram/kilogram. Dos ini hanya dibenarkan untuk selama lima hari sahaja.

Semasa ubat diambil, sebarang perubahan negatif perlu diberi perhatian.

Rawatan Kecemasan

Bagi mereka yang mengalami kejutan panas, pertolongan cemas mesti diberikan dengan cepat untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Pakaian mangsa perlu dilonggarkan dan mangsa hendaklah dibawa ketempat teduh dan sejuk.

Siram air sejuk atau dingin ke atas badan mangsa sambil memicit-micit anggota badan untuk mempercepatkan kehilangan haba dari badan.

Biasanya semasa dihospital, mangsa akan direndam di dalam air sejuk untuk mengeluarkan haba dalam badan.

Jika kenaikan suhu badan disebabkan oleh masalah kelenjar seperti kerosakan kelenjar pituitari di otak, maka pengambilan ubat demam tidak dapat menyelesaikan masalah kenaikan suhu badan.

Di dalam keadaan ini, masalah penyakit yang menyebabkan kenaikan suhu badan perlu dirawat terlebih dahulu untuk menghilangkan demam.

Biasanya untuk mengesan suhu atau diagnosis demam di rumah adalah dengan mengambil suhu seseorang dengan termometer dan terdapat banyak cara untuk mengurangkan suhu demam.

Umumnya demam boleh dikurangkan dengan ibuprofen (Advil, Motrin, Nuprin) atau acetaminophen (Tylenol dan lain-lain). Kedua-dua ubat ini kadang-kala diberikan bersama kerana fungsinya bertindak sebagai ubat penahan sakit dan mengurangkan demam.

Walau bagaimanapun, Aspirin bukanlah ubat pilihan pertama untuk pengurangan demam. Ia tidak boleh digunakan untuk kanak-kanak.

Aspirin boleh menjadi toksik jika mengambil dos yang banyak kepada orang dewasa atau menyebabkan sindrom Reye pada kanak-kanak. Jangan berikan Aspirin kepada individu berusia 18 tahun ke bawah kecuali atas arahan doktor untuk diberikan dos tertentu.

Sekiranya demam telah dipastikan dan demam yang anda alami bukan disebabkan oleh penyakit kronik, maka langkah rawatan sendiri di rumah boleh dilakukan.

Mungkin demam yang dialami itu boleh dikurangkan dengan pengambilan ubat-ubat tertentu.

Namun begitu, sekiranya penggunaan ubat tersebut selama beberapa hari tidak juga dapat menyembuhkan demam, maka pesakit disarankan berjumpa doktor bagi mengenal pasti punca demam agar langkah selanjutnya dapat diambil.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: cun

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon