Thursday, March 01, 2018

Filem-filem P. Ramlee Yang Tidak Berjaya Disiapkan


Walaupun P. Ramlee berjaya menghasilkan banyak filem, tetapi tidak semua rancangan pembikinan filemnya menjadi kenyataan.

Filem-filem P. Ramlee Yang Tidak Berjaya Disiapkan

Kami senaraikan beberapa projek filem arahan P. Ramlee yang terbengkalai akibat dari masalah tertentu.

Pada tahun 1961 P. Ramlee ingin membuat filem yang berunsur keagamaan berjudul Hidayah. Judul awalnya ialah Menchari Keampunan.

Filem ini banyak mengguna dan merujuk ayat-ayat suci Al-Quran yang bertujuan ingin menegakkan kesucian Agama Islam.

P. Ramlee bersama penolong pengarahnya S. Sudarmaji telah ke Johor Bahru bagi mendapatkan nasihat Jabatan Agama Islam Johor.

Ada ura-ura mengatakan Nordin Ahmad bintang dari studio Cathay-Keris akan membintangi filem ini dan beliau juga sudah mendapat pelepasan dari pihak majikannya.

Malangnya atas beberapa faktor petua dan hukum agama yang tak dapat diselesaikan oleh P. Ramlee dengan pihak majikannya Shaw Brothers, maka filem ini terpaksa ditangguhkan oleh P. Ramlee. Penangguhan berterusan hinggalah ke akhir hayat P. Ramlee.

Pada tahun yang sama juga P. Ramlee ingin membuat filem muzikal yang berjudul Pancha Sitara.

Kumpulan Pancha Sitara 1 yang ahlinya terdiri daripada Aziz Jaafar, Normadiah, Ahmad C, Kassim Masdor dan P. Ramlee sendiri difaktorkan akan membintangi filem ini.

Oleh kerana penulis cerita asal filem ini HM Rohaizad telah meninggal dunia maka sekali lagi P. Ramlee terpaksa menangguhkan pembikinan filem ini.

Jikalau filem ini berjaya dihasilkan sudah tentu filem ini adalah satu-satunya filem yang menggandingkan P. Ramlee bersama Aziz Jaafar.

Pada tahun 1963, P. Ramlee mahu mengarah filem berjudul Seniwati di Hong Kong atas arahan dari pihak Shaw Brothers.

Ini kerana salah satu usaha ingin meningkatkan mutu filem Melayu pada ketika itu untuk menembusi pasaran global. Skrip filem ini ditulis sendiri oleh P. Ramlee.

Antara pelakon yang terpilih berlakon di dalam filem ini Zeera Agus, Sarimah, Yusof Latif, Sharif Dol dan Kuswadinata.

Filem ini dikatakan akan dibuat dalam bentuk cinemascope berwarna, tetapi malangnya filem ini dikritik teruk oleh beberapa ahli yang mengangotai Persatuan Artis Malaya (PERSAMA).

Antara alasan yang diberi adalah filem buatan Hong Kong tidak akan melahirkan filem Melayu yang berteraskan budaya Melayu tulen. Jika tidak Seniwati akan menjadi filem warna pertama arahan P.  Ramlee.

Sekitar tahun 1970 P. Ramlee bersama H.M Shah menubuhkan PERFIMA. Empat lagi pengarah syarikat dilantik pada tahun 1972 iaitu Sarul Bariah Abu Bakar, Jins Shamsudin, Jaafar Abdullah dan Abdullah Hussain.

PERFIMA merancang ingin menerbitkan filem sulungnya berjudul Sandera. Ia adalah tajuk novel karya Arena Wati (Sasterawan Negara) yang ingin diadaptasi oleh P. Ramlee. Bagaimanapun, projek itu tidak menjadi kenyataan apabila P. Ramlee dan H.M Shah menarik diri dari PERFIMA.

Pada bulan Febuari 1973, P. Ramlee bersama H.M Shah menubuhkan syarikat Rumpun Melayu.

Hasrat P. Ramlee adalah ingin membuat filem yang merujuk kepada lirik lagu ciptaannya berjudul Air Mata Kuala Lumpur. Projek filem ini juga tidak menjadi kenyataan apabila P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973.

Semasa P. Ramlee menghadiri Festival Filem Asia ke – 19 di Singapura pada 18 Mei 1973, P. Ramlee telah bertemu dengan beberapa pembikin filem dari Indonesia yang juga rakan-rakannya.

P. Ramlee telah memberitahu tentang idea, cerita dan skrip yang dihasilkan olehnya yang berjudul Doktor Chelora.

Kata sepakat telah ditemui dan Doktor Chelora akan dibuat melalui usahasama Malaysia dan Indonesia. Malangnya selepas dua minggu persetujuan itu termetrai P. Ramlee meninggal dunia.

Lagu Azizah mempunyai sejarah besar dalam hidup P. Ramlee kerana ianya berjaya membuka pintu kepada seorang pemuda berusia 19 tahun ketika itu menjadi bintang seni teragung dalam dunia Melayu.

Pada malam 28 Mei 1973, P. Ramlee telah menelefon Osman Abadi dan memintanya menulis cerita berkisar lagu Azizah.

Sebelum ini mereka pernah bekerjasama menulis skrip untuk filem Gelora dan Putus Sudah Kaseh Sayang.

Sayangnya pada keesokan hari, P. Ramlee telah pergi buat selama-lamanya.

Antara filem-filem lain yang skripnya sudah tersedia tetapi tidak sempat dibuat oleh P. Ramlee dari tahun 1958-1964 seperti:
  1. Menanti Hujan Teduh
  2. Sayonara Kekaseh-Ku
  3. Batu Durhaka (Diarahkan oleh Omar Rojik)
  4. Roboh-Nya Kota Melaka
  5. Badang (Diarahkan oleh S.Roomainoor)
  6. Bujang Lapok Jumpa Puteri Gunung Ledang
  7. Bujang Lapok Ke Hong Kong

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

sumber: thepatriots

2 comments

  1. Kalau filem badang tu jadi camna la hasilnya. Hehehe. mungkin boleh lawan filem badang tahun 2018 kot

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon