Sunday, March 11, 2018

Bom Atom Senjata Utama Perang Dunia Ke 3


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bercakap di sana sini akhir-akhir ini bahawa ia akan menghapuskan Iran jika negara Islam itu dibiarkan terus mengembangkan tenaga atomnya.

Bom Atom Senjata Utama Perang Dunia Ke 3

Ini bererti Israel tidak mempedulikan apa yang telah dipersetujui oleh AS di bawah Presiden Obama dan beberapa buah negara besar dunia, termasuk Rusia, UK, China dan Perancis.

Walaupun tidak disebut secara tepat, maksud Benjamin Netanyahu ialah, dia hendak menggugurkan bom atom ke atas Iran sekiranya didapati peperangan biasa tidak mencukupi.

Walaupun Israel mempunyai banyak kereta kebal dan pelbagai senjata kecil besar, dengan bala tentera kononnya paling terlatih, namun dia bimbang peperangan biasa tidak menjamin kemenangan baginya.

Kemungkinan Iraq dan Turki menyertai Iran melawan Israel sentiasa wujud.

Israel berpenduduk kurang 10 juta sedangkan Iran, Iraq dan Turki mempunyai hampir 200 juta penduduk.

Jika hanya 20 juta orang merempuh masuk Israel, ia sudah cukup untuk memacetkannya. Tidak mungkin bom atom digugurkan Israel di bumi sendiri yang memungkinkan kematian sebahagian besar orangnya sendiri.

Atas dalil itulah Israel akan menggugurkan bom-bom atomnya ke atas Iran.

Sesuai diulangi, menurut Presiden Carter, presiden AS 1977-81, Israel mempunyai lebih kurang 300 buah bom atom. AS hanya buat tidak tahu bom atom Israel itu tetapi benar ada.

Hakikat ini tidak disebut oleh AS dan ia melarang sekutu-sekutu dari mengungkitnya. Tidak ada penyiasatan dilakukan terhadap Israel.

Konon sebabnya ialah Israel tidak menyertai perjanjian antarabangsa yang membataskan pemilikan bom atom. Itu pun atas anggukan AS.

Jelaslah Israel dan AS tidak mahu Iran mempunyai potensi memiliki bom atom waimma sebiji pun.

Maka dipercayai jika berlaku kemungkinan terburuk ke atasnya yang dilakukan Israel, Iran tidak ada pilihan melainkan membuat rempuhan itu.

Sekiranya Iran ada bom atom sulit yang terletak di dasar gunung, ia akan menggunakannya sebagai langkah terakhir terhadap Israel.

Ini dengan sendirinya menyeret Pakistan, jiran sempadannya yang mempunyai bom atom, demi menjaga keselamatannya.

Rusia pula yang begitu lama menjadi sahabat baik Iran tidak akan berdiam diri dari memetik suis bom atomnya, sebagai satu peluang yang ditunggu-tunggu sejak era perang dingin lagi.

Sudah tiba masanya untuk Rusia menguji lebih 1,000 bom atomnya – lebih banyak daripada pemilikan AS – yang telah mengalami kos tersangat mahal membuatnya selama berpuluh tahun.

Negara China pula pasti tidak hanya berdiam diri apabila bekas Laluan Sutera, kini dipanggil kawasan ‘Belt and Road’, yang merosakkan perdagangannya yang bernilai trilion dolar.

Ini belum dikira Korea Utara yang amat gatal tangan hendak melancarkan bom-bom atomnya ke bumi sekutu-sekutu AS di lereng lautan Pacifik, malah di kontinen AS sendiri.

Dalam buku sejarah, banyak diceritakan tentang pelbagai peperangan entah di mana di alam Melayu, apabila berlalu peperangan hebat yang melibatkan lembing, tombak, keris dan parang panjang, selalu saja kita mendengar ungkapan ‘berlaksa-laksa’ orang terbunuh sedangkan tempat peperangan menjadi ‘padang jarak padang tekukur’.

Kita kini tahu satu laksa ialah 10,000. Matematik orang zaman dulu tidak begitu baik tentang pengiraan jumlah, maka apabila tidak terkira lagi, ia hanya disebut beribu laksa.

Bumi yang berdarah, pokok-pokok kecil dan besar ranap dan patah, binatang dan burung yang bergelimpangan. Kini kiranya berlaku perang atom, satu pemerian seperti itu boleh dipakai.

Mungkin diungkap ‘bumi yang begitu terbakar kini hangus berdebu dan keracunan udaranya mencacatkan tubuh badan manusia, segala kehidupan dan tumbuhan’.

Bom atom yang digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima, Jepun, mematikan lebih kurang 300,000 orang. Sebutir bom sekarang berkekuatan 30 kali ganda.

Bayangkan jika Israel yang ada 300 biji menggugurkan semuanya ke atas jiran-jirannya.

Darabkan pula dengan ribu-ribu bom dalam tangan AS, Perancis, Rusia, China, India, Pakistan dan Korea Utara dan kita pasti tidak terbayang apa yang akan jadi kepada bumi Tuhan ini.

Jika hanya 10 peratus digugurkan, seluruh dunia akan hancur. Dalam sains, dunia sudah kiamat beratus-ratus juta tahun dulu apabila semua mergastua penting seperti dinosaur pupus.

Manusia menurut sains merupakan makhluk terakhir dan selepas tamadun demi tamadun, bumi dan manusia menjadi seperti sekarang.

Menurut agama, keadaan maha hodoh akan wujud sebelum dunia kiamat. Semoga Israel yang sudah mengancam Iran tidak mencetuskan kehodohan itu. Ya Rabbi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Yahudi Perancang Perang Dunia Pertama!

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon