Saturday, February 17, 2018

Sambutan Hari Tenggiling Sedunia


Sambutan Hari Tenggiling Sedunia, World Pangolin Day disambut pada hari Sabtu ketiga bulan Februari setiap tahun oleh National Geography sejak tahun 2012 bertujuan untuk kempen kesedaran awam bagi pemuliharaan haiwan liar yang sedang diancam kepupusan ini.

World Pangolin Day

Tatkala banyak negara meraikan Hari Tenggiling Sedunia, ramai di antara kita yang masih tidak tahu betapa seriusnya ancaman yang dihadapi mamalia unik ini.

Dilaporkan lebih sejuta ekor tenggiling diperdagangkan secara haram seluruh dunia di antara tahun 2000 dan 2014, menjadikan haiwan itu antara mamalia yang paling tinggi diperdagangkan.

Menurut Dana Sedunia Alam Semula jadi (WWF), populasi tenggiling Asia telah merosot sehingga 80 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Punca utamanya adalah permintaan yang tinggi di China dan Vietnam, yang mana daging tenggiling dianggap sebagai makanan eksotik manakala sisik haiwan tersebut digunakan dalam ubat-ubatan tradisional.

Walaupun Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Ke Atas Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) ­telah meluluskan pengharaman penuh perdagangan tenggiling, masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menangkap dan menyeludup haiwan bersisik keras tersebut.

Tenggiling sebenarnya turut dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 menyediakan hukuman lebih tinggi bagi ­kesalahan melibatkan haiwan tersebut, iaitu denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, haiwan tersebut tidak mendapat perlindungan yang sama di Sabah dan Sarawak dan mereka yang memburunya tanpa permit hanya boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara setahun.

Walaupun akta baharu menyediakan hukuman lebih berat berbanding Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 sebelum ini, ia seolah-olah tidak memberi kesan kepada sesetengah pemburu haram dan penyeludup.

Dewasa ini, penggunaan media sosial dan portal perdagangan hidupan liar secara haram telah menjadi ancaman yang lebih besar kepada spesies haiwan yang hampir pupus. Kemudahan teknologi yang ada pada masa ini juga memudahkan perdagangan haram haiwan yang dilindungi.

Amat mengejutkan apabila masih terdapat restoran yang menyediakan makanan eksotik seperti daging tenggiling walaupun negara kini mempunyai undang-undang yang menyeluruh dan hukuman yang tegas.

Dilaporkan, daging tenggiling boleh mencecah sehingga ke AS$300 atau lebih RM1,000, sekilogram di pasaran ­haram dan lebih malang lagi, tenggiling bukanlah satu-satunya haiwan liar yang terancam akibat aktiviti pemburuan ­haram dan penyeludupan.

Haiwan lain yang menjadi mangsa termasuk babi hutan, beruang, ular sawa, labi-labi, harimau belang, harimau dahan, kambing gurun, musang, keluang dan juga kura-kura.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendedahkan bahawa haiwan ini ditangkap di kawasan dilindungi dan juga hutan simpan.

Berdasarkan rekod Perhilitan, jumlah kes yang disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar adalah sebanyak 354 kes pada 2012 manakala pada 2013 terdapat 788 kes; 2014 (1,157 kes); 2015 (1,371 kes) dan 2016 (1,329 kes).

Kes-kes tersebut termasuk memiliki haiwan liar yang dilindungi serta tidak mempunyai lesen untuk memiliki haiwan tertentu. Jabatan itu juga telah mendakwa 39 suspek pada 2012 manakala pada 2013 terdapat 47 suspek; 2014 (71 suspek); 2015 (130 suspek) dan 2016 (62 suspek).

Kita seharusnya mengambil langkah proaktif untuk menyekat jual-beli hidupan liar yang hampir pupus serta anggota badan mereka melalui undang-undang dan pe­nguatkuasaan yang lebih efektif di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Kesedaran awam yang lebih tinggi, penguatkuasaan undang-undang yang lebih baik serta keazaman politik amat diperlukan untuk menyekat perdagangan haram hidupan liar serta eksploitasi berlebihan sumber asli negara. Pihak berkuasa perlu memastikan tidak ada ruang yang tertinggal dalam usaha mengatasi masalah ini.

Kita tidak boleh bertolak ansur dengan kekejaman ter­hadap haiwan dalam apa jua bentuk kerana mereka juga berhak untuk mendiami dan berkongsi tempat tinggal bersama kita di bumi ciptaan Tuhan ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon