Thursday, February 01, 2018

Sambutan Hari Hijab Sedunia, World Hijab Day


Sambutan Hari Hijab Sedunia, World Hijab Day adalah acara tahunan cetusan idea Nazma Khan pada tahun 2013 dan disambut pada 1 Februari setiap tahun di 190 negara seluruh dunia bertujuan untuk menggalakkan wanita dari latar belakang dan agama berbeza untuk memakai dan merasai sendiri kehidupan berhijab.

Sambutan Hari Hijab Sedunia, World Hijab Day

Nazma Khan memperkenalkan Hari Hijab Sedunia selepas beliau dibuli dan menjadi mangsa diskriminasi kerana berhijab.

Menurut Nazma, kebanyakan orang menganggap hijab sebagai simbol penindasan dan dengan acara ini, Nazma berharap ia dapat mengubah fikiran orang bukan Islam tentang mengapa wanita Islam memilih untuk memakai hijab.

“Membesar di Bronx, NYC, saya mengalami pelbagai jenis diskriminasi disebabkan hijab saya,”

“Di sekolah menengah, saya dipanggil ‘Batman’ atau ‘ninja’.

"Apabila saya belajar di universiti selepas 9/11, saya dipanggil Osama bin laden atau pengganas. Ia sangat teruk.

"Saya berpendapat satu-satunya cara untuk menghentikan diskriminasi ini adalah dengan meminta rakan saudara perempuan kita untuk mengalami sendiri kehidupan berhijab.”

Dia tidak menyangka ideanya itu mendapat sokongan dari seluruh dunia, Nazma dihubungi oleh rakyat dari pelbagai negara termasuk UK, Australia, Perancis dan Jerman.

Sambutan Hari Hijab Sedunia turut mengetengahkan penyelesaian jangka panjang sikap toleransi dan diskriminasi terhadap wanita berhijab.

Sambutan seperti ini mampu memperkasakan wanita dalam sektor kerja selain diharapkan mampu memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai konsep berhijab.

Memakai tudung tidak akan menjadikan anda seorang Islam

Kempen ini memberi ruang kepada wanita bukan Islam untuk mencuba memakai tudung seperti wanita Islam selain mencipta kesedaran terhadap masyarakat seluruh dunia.

Kempen itu mampu memberikan kesedaran yang diperlukan dalam masyarakat demokratik tentang asas hak dan mendidik masyarakat tentang asal serta sebab berhijab ekoran beberapa negara telah mengharamkan pemakaian hijab.

Menurut laporan BBC, seorang pelajar dari Norwich di United Kingdom, Jess Rhodes, mengakui berhasrat untuk mencuba tudung tetapi masyarakat bukan Islam tidak melihat itu sebagai satu pilihan.

Lalu, apabila dia ditawarkan untuk memakainya oleh seorang kawan, Jess tidak melepaskan peluang.

“Dia jamin bahawa saya tak perlu menjadi Muslim dan ia hanya satu penghormatan. Walaupun jelas tudung dikaitkan dengan Islam, tapi saya fikir kenapa tidak (mencuba)?” katanya.

Ibu bapa Jess ragu-ragu dengan keputusan anaknya itu kerana bimbang diserang di jalanan.

Jess adalah salah seorang daripada ratusan wanita bukan Islam yang memakai tudung ketika ulang tahun Hari Hijab Sedunia yang pertama.

Melalui satu artikel yang dikongsi Chelsea Dusenbury, melalui Hari Hijab Sedunia pertama, dia menyedari soal diskriminasi yang dirasai oleh wanita Muslim di negaranya.

“1 Februari 2013, saya menyertai Hari Hijab Sedunia yang pertama, ketika itu hari Jumaat. Saya menaiki pengangkutan awam untuk ke kelas. Sementara menanti, saya memasuki sebuah restoran makanan segera yang popular kerana cuaca terlalu sejuk.

“Tak sampai dua minit saya duduk, pekerjanya mendekati saya dan tidak mengucapkan helo sebaliknya, ‘Maaf puan, tapi anda tidak boleh duduk di sini melainkan anda merancang untuk membeli,” ceritanya.

Sedangkan menurut Chelsea, setiap pagi dia akan memasuki restoran itu sementara menanti ketibaan pengangkutan awam untuk ke universiti dan tidak pernah diminta keluar.

Chelsea sempat berpesan kepada wanita bukan Islam yang mahu menyertai kempen itu agar menjaga tatasusila ketika memakai tudung kerana ketika bertudung, mereka menggambarkan wanita Muslim.

“Anda mungkin akan kelihatan sebagai Muslim, jadi pastikan anda tidak melakukan apa-apa yang menggambarkan Muslim atau Islam secara negatif.

“Bawa diri anda dengan kemuliaan dan maruah anda serta kakak atau adik anda. Pada penghujung hari, anda rasakan pengalaman anda. Biarkan pengalaman itu menjadi kesan kepada pemikiran dan perspektif anda,” katanya.

Melalui sebuah akaun Facebook ‘World Hijab Day’ juga, wanita-wanita dari seluruh dunia berkongsi pengalaman mereka ketika pertama kali memakai tudung.

Pelbagai kisah menarik hasil perkongsian itu termasuk sebahagian besar mereka merasakan dihormati dan tenang selepas mengenakan hijab.

Mrs Universe 2013, Carol Lee turut menyokong kempen itu dengan memakai hijab dengan berharap wanita tidak akan didiskriminasi ketika memakai tudung.

“Wanita tak sepatutnya dikritik atau dianggap berbeza hanya kerana mereka memilih untuk memakai hijab. Orang dari kepercayaan lain patut belajar untuk menghormati itu,” katanya yang dipetik dari laman Facebook Hari Hijab Sedunia.

Selamat menyambut Hari Hijab Sedunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: toodia | malaysianreview

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon