Sunday, February 04, 2018

Punca Isteri Hilang Hormat Pada Suami


Suami adalah ketua dan pemimpin keluarga, maka wajar sekali dia dihormati. Malah Islam sendiri mewajibkan seorang isteri menghormati dan mendahului suami dalam segala hal, selagi ia tidak bertentangan dengan syarak.

Punca Isteri Hilang Hormat Pada Suami

Namun begitu, tatkala ini telah banyak perkara yang sebaliknya pula berlaku, iaitu isteri hilang rasa hormat pada suami.

Jika isteri dahulu tunduk kepada segala kata-kata suami, kini sudah ramai isteri yang besar kepala, malah berani pula melawan kata-kata suami, ibarat lupa bahawa syurga seorang isteri itu bila suaminya redha kepadanya.

Tidak dinafikan terdapat isteri yang secara terang-terangan menunjukkan sikap tidak hormat pada suami. Mengapakah perkara sebegini berlaku?

Mari kita lihat punca-punca yang boleh dikaitkan kepada permasalahan ini.

1. Tingkah laku suami

Antaranya rasa hormat terhadap pasangan sebenarnya boleh hilang gara-gara tingkah laku suami tidak sesuai dengan keinginan isteri. Mungkin kerana isteri menganggap suami telah melanggar prinsip-prinsip yang selama ini dipegang teguh.

Ia mungkin boleh jadi hanya disebabkan perkara yang kecil sahaja, namun kerana telah melanggar prinsip, maka rasa hormat makin kurang terutama jika ia dilakukan berkali-kali.

Sebagai contoh, suami sering kali tidak menepati janji ataupun terlalu kerap berbohong. Tindakan yang sama dan asyik diulang-ulang akan menyebabkan seorang isteri hilang kesabaran dan benih-benih tidak hormat mula terbit dalam hatinya.

Ditambah pula dengan godaan syaitan yang tidak pernah berhenti mencari jalan untuk memporak-perandakan perhubungan suami isteri, isteri mula termakan hasutan syaitan.

2. Standard tidak realistik

Penyebab lain lunturnya sikap hormat terhadap suami adalah kerana kecenderungan isteri menilai suami pada standard yang tidak realistik.

Sebagai contoh, isteri membandingkan suaminya dengan tokoh lelaki yang dihormatinya. Mereka mengharapkan suami berkelakuan seperti tokoh ataupun idolanya tanpa menyedari bahawa suaminya adalah seorang insan yang cukup berbeza daripada apa yang diharapkannya.

Inilah yang boleh menyebabkan punca berlakunya pertengkaran. Mereka bertengkar kerana suami tidak berkelakuan seperti yang diharapkan.

3. Tidak menghargai isteri

Selain itu, sikap suami yang tidak menghargai isteri juga boleh menjadi punca isteri hilang rasa hormat.

Sebagai contoh, suami tidak menghargai susah payah isteri bekerja mencari pendapatan lebih untuk keluarga. Malah suami memandang remeh tentang kerja yang dilakukan oleh isterinya.

Keadaan sebegini lama kelamaan boleh menyimpan rasa sakit hati kerana suami tidak menghargai apa yang dilakukan oleh isteri.

Perasaan marah dan sakit hati akan menciptakan suasana yang sangat tidak menyenangkan dalam perkahwinan. Apa yang dilakukan oleh suami akan dilihat tidak bererti lagi.

Pada tahap ini, sikap saling menghargai sudah mula luntur dengan cepat sehingga membahayakan semua struktur perkahwinan.

Menilai diri

Jika suami merasakan isteri sudah mula ada tanda-tanda tidak hormat pada suami, maka sudah tiba masanya anda menilai akauntabiliti sebagai pemimpin rumahtangga yang layak dihormati.

Mungkin anda tidak menunaikan hak-hak isteri, maka sudah tentulah rasa hormat itu akan kikis sedikit demi sedikit.

Jika isteri pula sudah mula ada tanda-tanda tidak hormat pada suami dalam diri, maka sebaiknya anda patut mula mengamati apakah penyebabnya. Mungkin ia kerana suami anda memang ego, sombong mahupun tidak matang.

Namun begitu, anda sendiri sebagai isteri, seharusnya mula menilai diri. Antaranya dengan bertanyakan pada diri anda sendiri persoalan “adakah anda menghargai diri anda sendiri?”

Pertama, jika anda tidak menghargai diri anda sendiri, bagaimana anda mahu menghargai orang lain?

Kedua, tanyakan apakah anda bersungguh-sungguh tidak menghargai suami?

Dan akhir sekali, tanyakan pada diri anda, dapatkah hati anda menerima hakikat bahawa suami anda tidak menghormati anda?

Sekiranya rasa hormat sudah semakin hilang, maka untuk membangunkannya kembali memang bukan sesuatu yang mudah.

Boleh jadi sikap tidak menghargai pasangan ini sudah tertanam sejak kecil lagi kerana menuruti sikap orang tua yang suka mengkritik dan tidak menghargai pasangan. Apa yang dilihat sekian lama akan diikuti bila anak sudah berumahtangga.

Sebenarnya jika anda sukar menghargai suami, ada kemungkinan anda memang tidak mampu menghargai orang lain yang ada di persekitaran anda.

Perasaan terluka atau sakit hati kerana sikap suami membutakan mata dan hati anda sehingga tidak dapat melihat perkara yang baik atau positif yang dilakukan oleh suami dan wajar dihargai.

Bila hilang rasa hormat sudah mencapai tahap ini, maka sering kali yang terlintas di fikiran anda adalah perpisahan atau cerai.

Kalau ini yang sedang bermain dalam fikiran anda, maka fikir dulu sedalam-dalamnya. Anda masih punya peluang untuk memperbaiki hubungan dengan suami.

Mulakannya dengan membincangkan masalah ini dengannya. Kalau perlu, buat satu senarai yang seharusnya anda lakukan dan perkara yang perlu anda hindarkan.

Memang diakui, membicarakan masalah sebegini dengan pasangan agak sukar, tetapi jika anda masih sayangkan suami dan rumahtangga yang anda bina, maka ungkapkanlah segalanya dengan perasaan jujur dan lembut.

Jauhkan dari sindiran atau ucapan sinis kerana ia boleh membuat suasana semakin tegang.

Renung-renungkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 7 Sebab Suami Benci Isteri Dari Dr Fadzilah Kamsah

sumber: laman-seri

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon