Thursday, February 01, 2018

Hukum Muslim Bertatu Mengikut Pandangan Islam


Bertatu haram hukumnya di sisi agama islam malah sesiapa yang pernah bertatu perlulah menghilangkan tatu tersebut dengan sebaik mungkin. Jika seseorang bukan islam memeluk islam dan dia mempunyai tatu, maka dia perlu menghilangkan tatu tersebut.

Hukum Muslim Bertatu

Begitu juga, jika seseorang islam yang bertatu lantaran kejahilannya, maka dia perlu menghilangkan tatu tersebut apabila menginsafi kesalahannya itu.

Namun, perlulah difahami, islam adalah agama yang mudah dan tidak pernah membebankan penganutnya. Jadi, dalam isu menghilangkan tatu, ia hendaklah dihilangkan setakat yang termampu dan sedaya yang boleh, selagi tidak memudaratkan.

Jadi orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkan tatu tersebut dengan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.

Cuma, lebih elok dan sopan, andainya orang-orang yang tidak dapat menghilangkan tatunya bertindak menyembunyikan tatu tersebut daripada pandangan umum, seperti memakai baju berlengan panjang. Ini adalah untuk mengundang fitnah dan salah sangka.

Hukum bertatu iaitu (pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu) mengikut pandangan Islam adalah haram.

Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2009, pada 29 Mei 2009, selari dengan Pandangan Islam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21–24 April 2009 telah membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam.

KETERANGAN/HUJAH:

Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan kepada Hadith Rasululllah SAW yang bermaksud, "Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya bermaksud, "Rasulullah SAW melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.” (Riwayat al-Thabrani)

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith Rasulullah SAW menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.

Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudarat pada diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut.

Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.

Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tatu Sebagai Simbol Kuasa Dalam Kumpulan Kongsi Gelap

sumber: mufti

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon