Wednesday, February 14, 2018

'Saya Tidak Menyambut Hari Kekasih Tetapi Saya Meraikan Cinta'


Cinta  adalah suatu ketakjuban kemanusiaan yang hebat dan Nabi SAW dalam hadis sahih al-Bukhari telah menarik perhatian umat Islam tentang cinta seorang sahabat bernama Mughits terhadap seorang wanita bernama Barirah.

Meraikan Cinta Hari Kekasih

Nabi SAW takjub melihat bagaimana Mughits menangis kerana terlalu mencintai Barirah walaupun Barirah menolak cinta Mughits.

Ibn Hajar al-Asqalani telah mensyarahkan hadis ini dalam Kitab Fathul Bari dan memberi isyarat bahawa ia menunjukkan tidak haram untuk mencintai seseorang yang bukan suami atau isterinya kerana cinta adalah fitrah kemanusiaan.

Hari Kekasih atau Valentine’s Day akan berulang pada 14 Februari setiap tahun, namun di sini saya ingin mengkritik falsafah cinta di sebalik Hari Kekasih.

Hari Kekasih ini dikatakan berasal daripada masyarakat Rom yang menyembah tuhan mereka dengan cara menyembelih binatang.

Upacara keagamaan ini dikenali sebagai Lupercalia. Tujuannya ialah untuk memohon pada tuhan supaya perempuan-perempuan menjadi subur, mudah mendapat anak dan supaya yang bujang mendapat jodoh yang serasi.

Pada kurun ke-5 selepas agama Kristian menjadi agama rasmi empayar Rom, dikatakan gereja berusaha mengkristiankan Hari Kekasih dengan mempromosi legenda seorang paderi bernama St Valentine.

Tersebut alkisah bahawa Maharaja Roma, Claudius Gothicus mendapat tahu bahawa tenteranya menjadi lemah kerana masalah rumah tangga maka, Claudius pun mengharamkan askar-askar daripada berkahwin.

St Valentine pun mengahwinkan askar-askar Rom secara senyap tanpa pengetahuan Maharaja Claudius.

Bila rahsia ini terbongkar, St Valentine telah dihukum bunuh. Agama Kristian mengharamkan zina dan menghalalkan perkahwinan.

Menurut versi Kristian, Hari Kekasih adalah dorongan untuk berkahwin dan menjauhi zina. St Valentine mengorbankan nyawanya demi untuk mengahwinkan pasangan-pasangan cinta.

Falsafah cinta mengikut Islam dan Kristian adalah berkaitan dengan konsep fitrah kemanusiaan dan kewajiban perkahwinan.

Tetapi, Hari Kekasih zaman moden mengaitkan cinta dengan pemberian hadiah-hadiah seperti kad, bunga, coklat dan cincin.

Di Amerika, Hari Kekasih diraikan besar-besaran penuh gemilang. Sebanyak 40 bilion akan dibelanjakan oleh rakyat di Barat dalam sehari hanya demi untuk meraikan Hari Kekasih.

Hari Kekasih bukan lagi dikaitkan dengan fitrah manusia tetapi ia adalah simbol ketamakan manusia kerana ia mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Konsep Cinta Hari Kekasih sudah dikomersialkan dan tidak ada lagi kaitan dengan institusi perkahwinan.

Cinta 'dijual' melalui lagu-lagu dan filem-filem yang menggoda para kekasih untuk berbelanja sebanyak yang mungkin pada Hari Kekasih.

Entiti-entiti perniagaan berlumba-lumba mengiklankan produk-produk cinta mereka dengan apa cara sekalipun selagi dapat mencuri hati pembeli-pembeli untuk membeli produk cinta yang mereka hasilkan.

Ada kad cinta, ada coklat cinta, ada bunga cinta dan lain-lain. Cinta kini menjadi produk.

Pemuda-pemudi disogokkan dengan candu cinta melalui filem-filem yang mendefinisikan cinta untuk mereka.

Tetapi, adakah ini benar-benar cinta? Atau hanya sekadar fantasi cinta yang dicipta dan dipromosikan oleh penjual-penjual produk cinta?

Cuba tanya diri anda ini, Mengapa saya perlu menjadi buta apabila meraikan cinta pada Hari Kekasih? Mengapa pasangan saya kecil hati pula kalau saya tidak raikannya? Mengapa ia menjadi satu kewajiban? Adakah kalau saya tidak meraikannya, maka kekasih saya akan menganggap cinta saya terhadapnya berkurangan? Apakah kalau saya meraikannya, maka kekasih saya akan semakin mencintai saya pula?

Dalam setahun ada 365 hari. Kalau sehari saya tidak raikan Hari Kekasih tetapi 364 hari lain saya meraikan cinta saya kepadanya, adakah dia masih menganggap saya tidak atau kurang mencintainya?

Ini seolah-olah kekasih mencintai Hari Kekasih lebih daripada mencintai saya!

Tetapi, bagi yang terkena sihir produk cinta, Hari Kekasih adalah hari pembuktian cinta sejati. Kalau wujud perasaan marah pada Hari Kekasih, pendamkan dulu. Jangan cemarkan kesucian Hari Kekasih! Tunggu lain hari!

Bagi mereka yang tidak meraikan Hari Kekasih, anda akan dianggap jahil cinta. Tidak romantis. Kolot.

Kita tidak meraikan HARI kekasih, tetapi kita setiap hari meraikan CINTA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon