Sunday, February 25, 2018

Dendam Terhadap P. Ramlee Yang Tidak Pernah Padam


Di era kegemilangan filem Melayu Jalan Ampas, bukan semua orang suka pada P. Ramlee, sejak hari pertama P. Ramlee menjejakkan kaki ke studio Jalan Ampas sehinggalah beliau berhijrah ke Kuala Lumpur, dia masih mempunyai musuh.

Dendam Terhadap P. Ramlee Yang Tidak Pernah Padam

Ketika L. Krishnan memperkenalkan P. Ramlee buat kali pertama sebagai hero melalui filem Bakti (1950), bertambah ramai musuh P. Ramlee.

Musuh P. Ramlee pula adalah di kalangan kawan-kawannya sendiri. Apabila nama P. Ramlee telah sampai ke puncak kemahsyuran, makin bertambah-tambah musuh P. Ramlee.

Setelah P. Ramlee meninggal dunia, Arkib Negara Malaysia mengumumkan akan menubuhkan Pustaka Peringatan P. Ramlee setelah diarahkan oleh Encik Anwar Ibrahim, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan pada ketika itu.

Ternyata banyak suara-suara sumbang yang kedengaran seolah-olah membantah usaha untuk menubuhkan Pustaka P. Ramlee itu.

Tetapi, pada hakikatnya suara-suara sumbang ini juga yang hadir semasa hari pelancaran Pustaka tersebut.

Pernah Arkib Negara menganjurkan “Minggu P. Ramlee” selama satu minggu pada bulan Oktober 1984, penentang-penentang P. Ramlee ini muncul untuk mempertikaikan kewibawaan P. Ramlee.

Kononnya P. Ramlee hebat bukan kerana usahanya seorang tetapi mendapat bantuan daripada rakan-rakannya dengan menyebut nama S. Sudarmaji, Osman Ahmad, Yusof B dan Ahmad Jaafar.

Memang ada betulnya kenyataan itu dan nama yang mereka sebutkan itu juga mempunyai peranan besar dalam kerjaya seni P. Ramlee, tetapi siapakan nama-nama ini semua sebelum mereka bekerjasama dengan P. Ramlee?

P. Ramlee adalah penggerak bagi orang-orang seperti S. Sudarmadji, Osman Ahmad, Yusof B dan Ahmad Jaafar.

P. Ramlee memberi jalan, memberi arah tuju dan perangsang ke arah kejayaan seni muzik pada ketika itu.

Kita harus ingat sebelum P. Ramlee menjejakkan kaki ke Singapura, Osman Ahmad, Yusof B dan Ahmad Jaafar telah mencipta lagu dan bermain muzik. Tetapi apa kesannya? Mengapa mereka tidak menonjol seperti mana yang didakwa oleh mereka yang mencemuh P. Ramlee itu?

Sebenarnya, mereka ini semua memerlukan pendorong (catalyst) dan di dalam perkara ini P. Ramleelah yang menjadi pendorong kepada kelansungan warisan muzik yang dibawa oleh Osman Ahmad, Yusof B dan Ahmad Jaafar.

Setelah P. Ramlee menubuhkan Pancha Sitara, lagi berkembang aliran muzik mereka-mereka ini semua.

Berbalik kepada musuh-musuh P. Ramlee tadi, kita jangan terkejut sebenarnya ada dikalangan yang menjadi musuh P. Ramlee itu adalah orang yang nampak rapat dengan P. Ramlee.

Perkara ini pernah diceritakan sendiri oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain pada satu forum Bicara Seniman Agung di Universiti Malaya pada tahun 2001.

Di dalam buku tulisannya yang bertajuk Kisah Hidup Seniman Agung juga ada menyatakan perkara ini.

Musuh-musuh P. Ramlee ini bukan hanya sekadar mengata dan mengutuk P. Ramlee dibelakang, malahan mereka juga pernah merancang untuk mencederakan P. Ramlee dengan merosakkan wajahnya.

Anggapan mereka, apabila rosaknya wajah P. Ramlee dengan sendirinya populariti P. Ramlee akan lenyap.

Mereka berpendapat selagi wajah P. Ramlee masih kekal dalam keadaan begitu sampai bila-bila pun nama mereka akan tenggelam dalam dunia filem Melayu.

Allah itu maha berkuasa, niat buruk untuk mencederakan wajah P. Ramlee akhirnya terbongkar.

Rahsia komplot itu telah sampai ke pengetahuan Jasni Ahmad, suami kepada Neng Yatimah dan bapa kepada Rosyatimah adalah seorang penyanyi piring hitam.

Jasni atau lebih dikenali sebagai Wak Jasni adalah seorang yang sangat disegani dan berpengaruh di Singapura. Ada juga yang menggelarkan beliau sebagai ketua samseng di Singapura.

Wak Jasni telah menjalankan siasatan komplot mencederakan wajah P. Ramlee ini dan telah memberi amaran kepada mereka sekiranya perkara ini berlaku mereka semua akan menerima akibatnya.

Oleh kerana golongan musuh P. Ramlee ini segan dan takut dengan Wak Jasni, mereka telah membatalkan perancangan mereka itu dan memohon maaf pada P. Ramlee.

P. Ramlee sememangnya berjaya dan hebat bukan atas usaha beliau seorang. Beliau memerlukan bantuan rakan-rakan yang berkebolehan dalam bidang masing-masing demi kelansungan sesebuah karya.

Tetapi P. Ramlee mempunyai satu bakat luar biasa anugerah dari Allah yang membuatkan sentuhannya menjadi emas.

Rasulullah SAW juga dalam berdakwah baginda memerlukan para sahabat yang mendampinginya.

Begitu juga dengan kelangsungan P. Ramlee dalam berkarya. Dari penulis cerita, penulis skrip, penulis lirik, penggubah lagu, jurugambar, jurukamera, penata cahaya, penolong pengarah dan juga pelakon semuanya memainkan peranan yang besar kepada P. Ramlee.

Mana ada dalam dunia ini sesuatu kejayaan dan perkara yang berlaku itu dilakukan seorang diri kecuali datangnya dari Allah yang Maha Berkehendak.

“Kita berusaha mencari untuk memberi kembali, kerana itu adalah kitaran yang paling baik untuk diri sendiri dan masyarakat.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: P. Ramlee Satu-satunya Penerima Anugerah Pertama Pelakon Serba Boleh Di Dunia!

sumber: thepatriots

2 comments

  1. Bangga bila admin, sebut arkib negara, kerana saya juga kerja di sana, akan datang pembinaan rumah dato lat mcm dalam kampung boy, pula di perak dibawah museum rasanya.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon