Friday, February 09, 2018

Cara Menghadapi Orang Sombong Dan Berlagak


Dalam kehidupan bermasyarakat, kita pasti tidak akan lari dari terjumpa atau berjumpa dengan individu atau kawan yang suka membesar-besarkan diri sendiri, suka berlagak, sombong atau mahu mengawal orang lain dengan sifat angkuhnya.

Cara Menghadapi Orang Sombong Dan Berlagak

Ciri-ciri yang biasa kita nampak ialah mereka ini suka bercakap besar atau berdegar-degar, suka memperlekehkan orang lain, mengkritik dengan tujuan untuk menjatuhkan seseorang, memuji diri sendiri, bersikap defensive, suka berbohong, tidak suka menerima pandangan orang lain, selalu menceritakan sesuatu yang diidam-idamkannya walaupun perkara itu mustahil untuk dicapai, suka mengawal orang lain dan cepat marah.

Apabila kita berdepan dengan individu sebegini, kebiasaannya hati kita akan terdetik mengatakan;

“Asyik-asyik nak dengar cakap dia je, ingat dia seorang saja ke yang betul?”

“Sikit-sikit nak marah orang!”

Memang tidak dapat dinafikan, sikap dan tingkah laku seseorang yang berlagak dan suka marah-marah ini akan memberi impak psikologi terhadap emosi dan pemikiran kita samada secara langsung ataupun tidak.

Orang yang berlagak itu pada hakikatnya mereka adalah tergolong dalam golongan orang yang lemah kerana antara ciri-ciri orang yang berlagak itu adalah suka memarahi orang lain terutama di depan khalayak ramai.

Maka, telah disebut dalam satu hadis yang bermaksud; Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang paling kuat bukanlah orang yang tidak dapat dikalahkan oleh orang lain, tetapi orang yang paling kuat adalah orang yang dapat menguasai dirinya ketika ia sedang marah.” Hadith Riwayat Muslim – 4723

Berdasarkan konsepsi hadis ini, jelas menunjukkan bahawa seseorang yang tidak mampu mengawal marahnya adalah merupakan orang yang tidak kuat atau lemah.

Dalam ilmu psikologi, orang yang berlagak itu sering menggunakan salah satu teknik self-presentation iaitu intimidation samada secara sedar mahupun tidak.

Intimidation atau intimidasi digunakan untuk membangkitkan rasa takut orang lain dengan membentuk imej sebagai individu yang digeruni supaya orang lain mengikutinya.

Tambahan itu, intimidasi juga boleh digunakan secara positif atau pun negatif berdasarkan kepada situasi dan tujuan tertentu.

Jika seseorang itu menggunakan teknik ini ke arah yang negatif maka akan jadilah ia seorang yang berlagak sombong, suka marah-marah, bengis, merasakan diri bagus yang akhirnya akan menjerumuskan dirinya ke arah kehancuran.

Bagaimana cara menghadapi orang sombong dan berlagak?

Persoalannya, bagaimana caranya untuk kita menghadapi individu seperti ini?

Terdapat beberapa cara antaranya ialah bersikap tenang beserta senyuman ketika menghadapinya, cuba sedaya upaya untuk tidak terkesan dengan kata-kata yang dilontarkan oleh mereka dengan cara berfikir secara rasional, siapkan hujah yang bernas dalam fikiran tetapi jangan berdebat, biarkan mereka meluahkan segala-galanya apa yang ingin diperkatakan, elakkan dari terpengaruh dengan gaya komunikasi dan tutur kata mereka dan sama sekali jangan beremosional.

Selain itu, antara kelemahan orang yang berlagak ini ialah mereka sering mengungkapkan sesuatu yang tidak rasional dan suka memutar belit sesuatu perkara.

Mengapa perkara ini berlaku?

Ini terjadi kerana minda mereka sudah dipengaruhi oleh nafsu, maka akal sudah tidak lagi berfungsi untuk berfikir secara positif.

Oleh sebab itu, mereka tidak boleh menerima pandangan dan sering menyalahkan orang lain.

Dari aspek perubatan Thibbun Nabawy, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menyebut bahawa penyakit itu terbahagi kepada dua iaitu penyakit fizikal dan hati.

Justeru, orang yang berlagak ini boleh dikategorikan sebagai orang yang mengalami penyakit hati yang kronik.

Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran Surah Al Baqarah ayat 10 yang bermaksud, “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.”

Takutilah doa orang yang dizalimi

“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara.” (Hadis riwayat Hakim – sanad sahih)

Kesimpulannya

"Tidak akan masuk ke dalam syurga, orang yang di dalam hatinya ada kesombongan meskipun hanya seberat biji sawi." (HR Muslim)

Apa yang paling penting adalah bukan kita hanya sekadar melihat perilaku orang lain, tapi sentiasa bermuhasabah diri, apakah kita ini termasuk dalam golongan orang yang berlagak dan lemah ini?

Bagi mengelakkannya, hendaklah kita belajar berfikir secara rasional dan tidak emosi, senyum selalu, menilai kelemahan diri sendiri atau bersifat tawaddhu', menanamkan sifat kehambaan kepada Allah SWT.

Janganlah kita menganggap apa yang kita fikir betul kesemuanya, bersedia untuk dikritik, menghormati pendapat dan terimalah nasihat serta pandangan orang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 26 Sifat Sombong Yang Kita Sering Amalkan!

sumber: elmufeed

1 comment

  1. Org sombong dan bongkak ni akal dia singkat sebenarnya hmmm

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon