Saturday, February 10, 2018

Asal-usul Wing Chun Dan Legenda Ip Man


Wing Chun adalah salah satu sistem seni mempertahankan diri yang berasal dari Selatan negara China pada kira kira 300 tahun yang lalu.

Asal-usul Wing Chun Dan Legenda Ip Man

Seorang rahib Budha bernama Ng Mui, merupakan pakar dalam Kungfu Shaolin, menggunakan kepakaran dan pengetahuannya untuk mencipta satu cara untuk memanipulasi kelemahan yang wujud dalam sistem kungfu Shaolin.

Beliau mendapat inspirasi untuk mencipta Wing Chun dari pergerakan haiwan, terutamanya daripada burung bangau.

Nama Wing Chun itu sendiri berasal daripada nama seorang wanita bernama Yim Wing Chun, juga merupakan anak murid pertama Ng Mui.

Wanita ini yang pada mulanya didesak oleh seorang jeneral perang pihak musuh untuk berkahwin dengannya, berusaha menguasai seni bela diri ini dan berjaya menghalau penjahat dan mengalahkan Jeneral Perang itu dalam perlawanan satu sama satu. Ini adalah bagaimana keturunan Wing Chun bermula menurut legenda popular.

Yip Man (atau dikenali sebagai Ip Man) dilahirkan di Foshan, China pada tahun 1893. Beliau berasal dari keluarga yang kaya.

Ip Man dihantar bapanya untuk berguru dengan Chan Wah Shun (merupakan anak murid kepada Leung Jan).

Setelah Chan Wah Shun bersara atas faktor kesihatan dan usia yang sudah lanjut, Ip Man meneruskan latihannya bersama senior-senior seperguruannya, seperti Ng Jung So.

Selepas kematian gurunya iaitu Chan Wah Shun pada tahun 1911, Ip Man menyambung pelajarannya di St. Stephan College Hong Kong.

Di sana, beliau terserempak dengan Leung Bik, merupakan anak kedua kepada Leung Jan. Bakat dan ketangkasan Ip Man digilap dan dilatih oleh Leung Bik kepada tahap tertinggi dalam tempoh 7 tahun sepanjang pengajiannya di Hong Kong.

Sifu Chan Wah Shun dan Leung Bik mempunyai cara dan variasi yang berbeza. Belajar di bawah 2 sifu yang berbeza membuatkan Ip Man berjaya menguasi seni Wing Chun dengan sempurna.

Sekembalinya beliau ke China, beliau berusaha untuk mengembangkan seni Wing Chun kepada orang ramai dengan mengajarnya.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mengajar lama disebabkan penguasaan Jepun terhadap China pada tahun 1942.

Ip Man berjaya melarikan diri ke Hong Kong pada tahun 1949 dan mula mengajar Wing Chun di sana untuk menyara kehidupan.

Sepanjang beliau di Hong Kong, Ip Man berjaya melatih ramai anak murid yang handal. Antara anak murid yang dilatih adalah Bruce Lee.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1972 di Hong Kong pada usia 79 tahun.

Kisah legenda ini banyak difilemkan ke layar perak dan antara yang paling popular adalah watak yang dimainkan oleh bintang Hong Kong, Donnie Yen sebagai Ip Man. Aksi tangkas Donnie Yen sememangnya membuatkan penonton terpegun melihatnya.

Untuk pengetahuan semua, Donnie Yen memiliki tali pinggang hitam dalam taekwando dan judo. Selain itu, beliau memegang tali pinggang unggu dalam jiu-jitsu.

Beliau juga mempelajari muay thai, parkour, kick boxing dan wrestling sebagai tambahan. Dia juga kerap kali memenangi pingat emas dalam acara wushu.

Kisah legenda Ip Man sememangnya penuh dengan pengajaran dan unsur-unsur penting terutamanya sifat sayangkan bangsa dan anti penjajah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 10 Aksi Dan Kekuatan Bruce Lee Yang Paling Luar Biasa

sumber: thepatriots

1 comment

  1. Wing Chun ni tengok pun mmg mantap.. baru tau asal usulnya ni. Thanks sharing SP

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon