Wednesday, January 10, 2018

Sekutu Zionis Dalam Dunia Islam


Ketika umat Islam di seluruh dunia dikejutkan dengan langkah drastik Israel dan Zionis menggunakan Presiden Amerika Syarikat yang terkini, Donald Trump, mengisytiharkan Bait Al-Maqdis menjadi ibu negara haram Israel. Dia merasakan dirinya sangat berani tidak seperti orang lain.

Siapa Sekutu Zionis Dalam Dunia Islam?

Tindakannya laksana menghempas batu besar ke dalam lubuk, sehingga menimbulkan segala hidupan di dalamnya, sama ada paling besar, paling kecil dan lemah semuanya menimbulkan diri, sehinggalah buaya dan ular berbisa paling berbahaya.

Betapa Donald Trump menjadi presiden yang dipilih mutakhir ini menunjukkan terbukti kenyataan sebelum ini, bahawa yang paling rapat dan paling kuat sokongannya kepada negara haram Israel dimenangkan oleh pihak yang menguasai ekonomi, pengurusan dan media.

Kesetiakawanan dibuktikan dengan beraninya mengisytiharkan Bait Al-Maqdis menjadi ibu negara haram Israel itu. Dia tidak peduli bantahan daripada seluruh dunia, meskipun hanya segelintir negara sahaja yang menyokongnya.

Hikmahnya, peristiwa yang berlaku telah menyatukan umat Islam dan manusia berperikemanusiaan, sehingga yang paling lemah kembali ke pangkal jalan dan masuk ke dalam saf menentang Israel.

Pada masa sama, ia mendedahkan sekutu-sekutu Zionis walaupun bertopengkan jubah pakaian kebangsaan Arab, serban dan berkopiah putih di kalangan bangsa Arab dan berbahasa Al-Quran.

Ada pula yang jasadnya paling dekat dengan Kaabah dan Maqam Rasulullah S.A.W dan paling dekat pula dengan medan perjuangan menentang Zionis itu, tetapi hatinya berpaut rapat dengan musuh Islam itu.

Beza rakyat dan pemimpin

Langkahnya adalah menyelamatkan Israel bukannya membebaskan Masjid Al- Aqsa, tidak sedikitpun menyentuh hati mereka daripada apa yang dilakukan terhadap tanah suci ketiga Islam itu.

Golongan ini melakukan apa sahaja bagi menangguhkan jihad menentang Israel dan membebaskan Masjid Al-Aqsa. Mereka mengemukakan berbagai hujah dan melakukan beberapa pendekatan.

Antaranya ialah mengundurkan masalah Palestin ke belakang sedikit demi sedikit, daripada sifat Islamnya kepada Nasionalis Arab, seterusnya Jerusalem dipecah dua sehingga dilupakan Islamnya kerana katanya sudah cukup Makkah dan Madinah bagi umat Islam, serahkan sahaja Bait Al-Maqdis kepada Israel.

Bermula daripada mewujudkan Perjanjian Camp David 1978 yang membawa pengiktirafan kepada negara haram Israel, diikuti dengan Persidangan Oslo 1993 dan kemudiannya Persidangan Madrid 1999 dengan penyelesaian dua negara, satu untuk kaum Yahudi dan satu untuk Arab Palestin.

Digula-gulakan kenyataan bersama cadangan supaya Israel berundur daripada kawasan yang ditawan ketika Perang Huzairan 1967 sehingga menawan seluruh Kota Suci Bait Al-Maqdis, kemudian dibelah dua, Bait Al-Maqdis Timur untuk Palestin dan Bait Al-Maqdis Barat untuk Israel.

Israel mendiamkan diri, tetapi Arab terus dipujuk dan banyak negara yang menerimanya.

Perkembangan mutakhir pula menunjukkan perbezaan sikap rakyat yang terbakar semangat Islamnya dengan pemimpin negaranya yang bersikap dingin dan melangkah sedikit demi sedikit ke belakang mengadakan hubungan sulit dengan Israel dan ada yang telah (melakukannya secara) terbuka.

Ada negara yang lebih terang lagi bersuluh telah masuk ke dalam strategi pendekatan menyelamatkan Israel, antaranya melakukan kekacauan dalam tanah air sendiri sehingga menjejaskan perjuangan menghadapi negara haram itu.

Sejak tahun 1960-an Jordan dipilih untuk dikacau, apabila sebahagian besar gerakan Palestin dan pemimpinnya bertapak di sana.

Lalu dicetuskan kekacauan dalam negara yang lemah dan tidak bersumber kekayaan buminya sehingga terpaksa dikeluarkan para pemimpin dan gerakan perjuangan Palestin daripada Jordan, tanpa mengira Islam atau sekular, kanan atau kiri, semuanya berpindah ke Syria, Lubnan dan lain-lain.

Kekacauan terkini yang melanda Syria, Lubnan, Yaman, Mesir, Sudan dan lain-lain, diatur begitu rupa dengan mencetuskan kekacauan yang licik.

Ada yang diadu dombakan kerana perbezaan agama dan ideologi, perbezaan mazhab Sunni dan Syiah, berbeza etnik dan krisis sempadan, seterusnya di atas nama menentang kezaliman, menyokong demokrasi dan sebagainya sehingga mencetuskan Arab Spring yang tidak berbuah.

Anjing lebih bijak

Sepatutnya menghadapi Israel terlebih dahulu, tetapi malangnya menghadapi kawan yang dianggap pengacau dahulu, sehingga berperang besar, membunuh sesama sendiri dan meruntuhkan rumah sendiri.

Mereka tidak mengambil perumpamaan kebijaksanaan kumpulan anjing sekampung yang mengutamakan mangsa yang datang sehingga menyatukan mereka semua memburu mangsa itu, sehingga meninggalkan perkelahian sesama sendiri.

Walaupun selepasnya mereka berkelahi semula kerana tamak dan haloba mengikut nafsu kebinatangannya.

Adakah kalian tidak membaca atau melupakan laporan usaha untuk menubuhkan kumpulan Negara Islam Sunni bagi menentang bahaya Revolusi Islam Syiah Iran, bukannya menentang Israel?

Paling terkini dengan menyenaraikan kumpulan Islam Hamas, Tanzim Jihad (daripada Sunni) dan Hizbullah (daripada Syiah) adalah pengganas tanpa menyebut Israel, bahkan disebarkan maklumat menubuhkan kumpulan ala IS bagi menentang kumpulan Islam yang sudah bersatu ini.

Apabila Israel dan sekutunya menyokong langkah ini menandakan betapa wujudnya kumpulan Zionis di dalam dunia Islam yang menjadi khadam Israel dalam rumah umat Islam.

Mereka dibekalkan dengan segala jenis senjata yang sentiasa diawasi supaya dihalakan kepada negara jiran yang dikira berbahaya bukannya Israel.

Mengapa Islam dahulu boleh memerintah, boleh meneruskan dakwah dan tegak negaranya beberapa abad menghadapi serangan musuh yang bertali arus walaupun perbezaan agama rakyatnya, sudah ada berbagai bangsa dan perbezaan mazhab?

Ini menunjukkan adanya perkara salah dikalangan umat Islam yang wajib dibetulkan.

Tanda-tanda menunjukan fajar mula menyinsing. Cahaya Islam yang tidak boleh dipadamkan sekali-kali akan menyinar semula menyuluh dunia yang gelap.

Hanya mereka yang dirasuk syaitan Zionis akan menghilang bersamanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mk

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon