Thursday, January 11, 2018

Qobin Rakyat Malaysia Pertama Tawan 7 Puncak Gunung Tertinggi Di Dunia!


Dari setinggan ke 'Grand Slam'. Siapa sangka, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin yang dahulunya penghuni di kawasan setinggan Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur kini mampu bergelar penjelajah Grand Slam pertama Malaysia.

Qobin Rakyat Malaysia Pertama Tawan 7 Puncak Gunung Tertinggi Di Dunia!

Tiga belas tahun, satu tempoh perjalanan penuh berliku buat Qobin apabila perlu menawan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia, selain penjelajahan ke Kutub Utara dan Kutub Selatan bagi melayakkan dirinya diiktiraf sebagai penjelajah Grand Slam.

Berjaya menamatkan misi akhirnya ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan pada 11.05 pagi waktu Malaysia (4.05 petang waktu tempatan), pada 28 Disember 2017 lalu, anak keempat daripada 16 beradik itu berkata beliau tidak pernah terfikir akan mendapat gelaran itu serta mampu menawan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia memandangkan beliau bukanlah seorang yang gemar menjelajah dan mendaki gunung.

"Saya bukan seorang 'kaki’ gunung, tak suka mendaki dan menjelajah sangat, tapi saya suka buat semua benda dan tak mudah kenal erti putus asa," katanya ketika temu bual eksklusif Bernama di kediamannya di Kuala Lumpur.

Menceritakan penglibatan awalnya sebagai penjelajah dan pendaki gunung, Qobin berkata semuanya bermula selepas beliau dan rakan-rakannya berjaya menakluki Gunung Everest pada 2004.

Qobin berehat daripada mendaki gunung selama enam tahun untuk memberi fokus kepada keluarga dan kerjayanya.

"Memang saya tak rancang semua ni, sebab nak mendaki gunung bukan satu perkara mudah, memerlukan perbelanjaan besar. Bila ada rezeki, ada penajaan, saya teruskan," katanya.

Qobin meneruskan misi menakluki tujuh puncak tertinggi di tujuh benua pada 2010 selepas menakluki Gunung Kilimanjaro, Tanzania di Afrika, diikuti Gunung Vinson Massif di Antartika, Gunung Mckinley Amerika di Amerika Utara dan Gunung Kosciousko, Australia masing-masing pada 2011.

Pada 2012, beliau berjaya menawan Gunung Elbrus, Rusia di Benua Eropah dan terakhir di Gunung Carstensz Pyramid, Australasia pada 2014.

Qobin bukan sahaja mengorbankan masa dan tenaganya, malah beliau turut mengorbankan ratusan ribu wang simpanannya untuk menampung perbelanjaan ekspedisi selain menerima penajaan daripada pelbagai pihak.

"Pelbagai cabaran dan dugaan telah saya hadapi. Ketika perjalanan pendakian gunung, saya terpaksa berdepan dengan suhu yang terlampau sejuk kadangkala mencecah hingga -20 ke -60, berdepan dengan cuaca tak menentu, ribut salji, berdepan dengan ketinggian.

"Adakalanya tak cukup oksigen, kita akan rasa cepat mengah tapi alhamdulillah, saya berjaya melalui semuanya," katanya.

Nyata, kepuasan tergambar di wajah pemuda berusia 36 tahun ini apabila beliau turut mencipta sejarah menjadi rakyat Asia Tenggara kedua dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia selain 60 individu dan penjelajah terawal yang menghabiskan penjelajahan itu.

Menceritakan pengalamannya berski sejauh 111 kilometer di Kutub Selatan, Qobin yang mengalami kebas berpanjangan di dua jari tangan kirinya hampir berputus asa apabila diberitahu jurupandunya, beliau akan dibawa turun kerana dibimbangi mengalami gigitan fros.

"Selepas berjalan lima hingga enam jam pada hari kelima, saya rasa dua jari kiri terlalu kebas dan saya beritahu 'guide' (jurupandu) mengenai jari saya.

"Kemudian dia suruh pasang khemah, berehat dan dia lakukan pemulihan dengan menghangatkan jari saya sebab risau kalau-kalau jari akan menjadi hitam dan bengkak.

"Guide beritahu, saya akan dibawa turun keesokannya dan malam tu, saya menangis bukan sebab risau tangan kena gigitan fros, tapi sebab saya fikir bukan mudah nak sampai ke situ (Kutub Selatan), kos mahal dan 13 tahun dah saya lalui, tapi hanya berbaki 16 jam perjalanan, tak dapat nak habiskan, memang rasa sayang," katanya.

Qobin berkata beliau hanya dapat berdoa untuk diberikan peluang meneruskan perjalanannya yang berbaki hanya 16 jam.

"Saya beritahu guide untuk beri peluang kepada saya teruskan perjalanan, sebab jari saya tak bengkak, cuma kebas dan saya tak ada masalah kecergasan.

"Dia beri saya peluang, kemudian saya teruskan perjalanan berski hingga akhirnya saya berjaya menamatkan perjalanan dalam masa dua hari tersebut," katanya yang berski selama lapan jam sehari.

Mengenai perancangannya selepas ini, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata beliau berhasrat untuk menerbitkan sebuah buku mengenai perjalanan kejayaannya dan akan melatih anak muda lain untuk mengikut jejak langkahnya.

"Insya-Allah, saya akan terus berbakti. Saya berhasrat untuk membuka peluang dan melatih anak muda untuk mencipta rekod yang lebih baik daripada saya," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 'The Seven Summits' Tujuh Puncak Gunung Tertinggi Di 7 Benua

sumber: mk

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon