Monday, January 29, 2018

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak


Keindahan negeri Perak pastinya menjanjikan kelainan kepada pengunjung kerana terdapatnya mercu-mercu tanda bersejarah yang pastinya menggambit kenangan pelancong yang berkunjung bersama keluarga.

Jika anda inginkan percutian bercirikan "Sejarah", jangan lepaskan peluang untuk melawat ke negeri Perak.

Di sini kami senaraikan 13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak yang boleh anda lawati bersama keluarga ketika bercuti di negeri ini.

1. Lost World Tambun

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Lost World of Tambun adalah salah satu daripada tempat menarik yang harus anda kunjungi di Perak, tidak kiralah sama ada bercuti bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Sebuah taman tema yang lengkap dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh anda lakukan seperti Water Park, Amusement Park, Lost World Petting Zoo, Tiger Valley, Tin Valley, Hot Spring dan Spa serta Adventure Park.

Di sini juga terdapat resort sekiranya pengunjung ingin menginap. Lost World of Tambun menjanjikan keseronokan yang terbaik untuk pengunjung yang ingin bersuka-ria dan melepaskan tekanan bebanan kerja dan sebagainya.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (11.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah dan Cuti Umum (10.00am – 6.00pm) | Tutup setiap hari Selasa kecuali Cuti Sekolah dan Umum

2. Masjid Ubudiah

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Masjid Ubudiah merupakan salah satu bangunan keagamaan yang menjadi mercu tanda di negeri Perak.

Lokasi masjid ini terletak di Kuala Kangsar, Perak lebih dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah yang mula dibina pada tahun 1913 dan telah siap sekitar pada tahun 1917.

Masjid ini telah dirasmikan oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah dengan bercirikan seni bina Islam dan terdapat empat buah menara dengan ketinggian 126 kaki serta dikelilingi kubah dan lantai menggunakan marmar merah yang ditempah khas dari Itali dan London.

Seni reka bentuk masjid ini pastinya memukau pandangan pengunjung dan memikat hati untuk merasai sendiri berada di dalam masjid ini.

3. Bukit Merah Laketown Resort

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Bukit Merah Laketown Resort terletak di Semanggol, Perak berhampiran dengan Taiping. Merupakan sebuah taman tema air dan resort yang terawal di Malaysia dan sangat terkenal di negeri Perak, sentiasa menerima kunjungan daripada pelancong dalam dan juga luar negara.

Bukit Merah menawarkan pelbagai keseronokan taman tema air, keindahan alam semula jadi dan penginapan yang selesa.

Anak-anda sudah pastinya teruja sekiranya bercuti di sini kerana menawarkan pelbagai tarikan termasuklah Water Park, Eco Park dan di tengah tasik terdapat santuri Orang Utan di Pulau Orang Utan.

Pelbagai kemudahan telah disediakan di sini, restoran-restoran juga banyak terdapat untuk anda menjamu selera.

4. Sungai Klah Hot Spring

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Sungai Klah Hot Spring Sungkai, Perak menjanjikan pengalaman bercuti yang berharga bersama keluarga dengan pelbagai kemudahan pelancongan tersedia.

Pengunjung berpeluang untuk mandi di sungai yang mempunyai air yang jernih dan bersih.

Keindahan kawasan ini juga disediakan dengan taman tema air yang memiliki landskap binaan manusia telah menaikkan lagi seri pusat tarikan pelancong ini.

Di samping itu, pengunjung juga dapat merasai pengalaman berada di kolam air panas dengan merebus telur yang pastinya akan menarik minat anak-anak untuk mencuba.

Pengunjung juga boleh merehatkan diri di Taman Terapi air panas setelah kepenatan dengan suhu air yang sederhana panas membolehkan anda memasukkan kaki di dalam kolam tersebut.

5. Menara Condong Teluk Intan

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Keunikan seni bina Menara Condong yang terdapat di Teluk Intan, Perak ini pastinya akan menarik perhatian pengunjung.

Menara Jam Condong yang menjadi mercu tanda di Teluk Intan telah dibina pada sekitar tahun 1885, yang pada awal sebagai menara tangki air oleh pihak British namun fungsinya bertukar apabila terbinanya tangki air Changkat Jong.

Menara berusia lebih 100 tahun ini memiliki ketinggian 85 kaki dengan 110 anak tangga dengan rekaan seperti Menara Pisa di Itali pasti menjadi destinasi tarikan ketika anda berkunjung di Teluk Intan.

Keunikan ini pasti menjadikan Menara Condong sebagai lokasi penggambaran bersama keluarga dengan pemandangan yang cantik dan tersedianya kemudahan untuk bersantai tidak akan membuatkan anda berfikir lebih untuk merasai sendiri pengalaman ini.

6. Batu Bertenggek

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Sebuah lagi monumen bersejarah yang boleh dilawati jika anda berada di Teluk Intan, Perak iaitu Batu Bertenggek.

Batu Bertenggek di Teluk Intan ini sudah wujud semenjak zaman penjajahan British lagi di Tanah Melayu apabila pihak British telah meletakkan batu tersebut sebagai memorial peringatan ketika Perang Dunia Pertama.

Terdapat nukilan yang tertera pada batu tersebut “At The Going Down Of The Sun And In The Morning Well Will Remember Then 1914 – 1918” supaya mengajak pengunjung untuk tidak melupakan keberadaan mereka di sini.

Batu Bertenggek ini terletak berhadapan bangunan SKOMK di persimpangan Jalan Changkat Jong, Teluk Intan ini memudahkan pengunjung untuk mencari lokasi monumen.

Justeru, lokasi ini juga perlu dilawati sebagai tanda peringatan keberadaan anda di Teluk Intan, Perak.

7. Stesen Kereta Api Ipoh

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Seterusnya, Stesen Kereta Api Ipoh, Perak merupakan satu lagi mercu tanda yang perlu anda kunjungi.

Dengan keindahan reka bentuk seakan-akan Taj Mahal pastinya membezakan Stesen Kereta Api Ipoh dengan stesen yang lain terdapat di negara ini.

Pembinaan stesen ini bermula pada tahun 1917 oleh Syarikat Hindia Timur British bercirikan Islam dikenali juga sebagai Taj Mahal Ipoh telah menjadi kebanggaan penduduk sebagai sebuah lokasi pelancongan negara yang menawarkan panorama menarik kepada pengunjung.

Keunikan bangunan bersejarah ini perlu dilawati dan pengunjung juga berpeluang merakam detik-dekit indah bersama keluarga sambil menghayati sejarah yang terdapat di Stesen Kereta Api Ipoh.

8. Menara Peringatan Birch

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Menara Peringatan Birch Ipoh, Perak ini telah dibina oleh pihak British pada tahun 1909 sebagai tanda untuk mengingati Residen pertama di negeri Perak iaitu J.W.W Birch.

Residen pertama British James Wheeler Woodford Birch ini telah dibunuh oleh Dato’ Maharajalela dan pengikutnya di Pasir Salak sebagai tanda tentangan rakyat terhadap sistem pemerintahan British pada ketika itu.

Justeru, menara ini dibina penuh dengan ciri-ciri ketamadunan manusia bagi melambangkan kemodenan sistem pemerintahan British dan berilustrasi masyarakat British di tengah reka bentuk menara tersebut.

Oleh itu, pengunjung perlu datang dan melihat sendiri monumen yang bernilai sejarah terdapat di Ipoh, Perak.

9. Kilang Pembuatan Kayu Arang

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Lokasi menarik yang perlu lagi dilawati iaitu Kilang Pembuatan Kayu Arang yang terletak di Taiping, Perak.

Lokasi yang lebih tepat lagi ialah Kuala Sepetang terletak dalam daerah Taiping ini merupakan perkampungan nelayan meliputi kawasan hutan paya bakau yang luas telah membolehkan industri kayu arang beroperasi.

Keunikan dan keindahan daerah ini pasti menarik pelancong untuk mengenali dan melihat sendiri cara pemprosesan kayu bakau kepada kayu arang.

Bermula proses pemilihan kayu bakau sehinggalah kepada proses memasak kayu dalam dapur khas yang dibina daripada batu-bata dapat dilihat sendiri oleh pengunjung yang datang ke kilang ini.

10. Tanjung Bidara, Kampung Gajah

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Peminat seni kraf tangan pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung sendiri di kampung Tanjung Bidara, Kg Gajah, Perak yang terkenal dengan pembuatan labu sayong dan pasu daripada tanah liat.

Pengunjung yang berhasrat untuk membeli cenderamata kepada sanak saudara boleh berkunjung ke Tanjung Bidara, Kg Gajah ini kerana penghasilan produk berasaskan tanah liat.

Pengunjung juga berpeluang untuk mencuba sendiri cara pembuatan labu sayung ini apabila melawat sendiri ke bengkel penghasilannya.

Hal ini pasti memberi nilai berharga dalam percutian anda bersama keluarga lebih-lebih lagi apabila anak-anak berpeluang mencuba dan pengalaman untuk menghasilkan pasu atau labu sayong mereka sendiri.

Kenangan ini pasti membuatkan anda untuk kembali bercuti di destinasi ini.

11. Pasar Kemboja

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Pasar Kemboja terletak di Parit Buntar, Perak ini pasti memberi kelainan kepada pengunjung untuk membeli belah pelbagai jenis kain secara borong atau runcit.

Perbezaan harga antara 40-50 peratus berbanding harga pasaran di sekitar negara pasti membuatkan anda memilih destinasi ini sebagai lokasi untuk menyediakan persediaan bagi menghadapi musim perayaan.

Pelbagai tawaran seperti tudung, telekung, kain pasang, langsir, baju kurung dan banyak lagi pasti membuatkan pengunjung tidak sabar untuk datang ke Pasar Kemboja.

Kemudahan seperti parkir, medan selara dan masjid untuk pengunjung telah tersedia akan memberi keselesaan semasa percutian anda ke Pasar Kemboja.

12. Pusat Pembangunan Kraf Tangan Perak

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Pusat Pembangunan Kraf Tangan Perak merupakan satu lagi destinasi pelancongan yang perlu anda kunjungi ketika bercuti di negeri Perak.

Pusat ini terletak di Kuala Kangsar yang lebih dikenali sebagai bandar Diraja menawarkan pelbagai jenis kraf tangan yang boleh anda miliki produk utama yang dikeluarkan ialah labu air atau lebih dikenali sebagai labu sayong namun perkataan “sayong” merupakan nama sebuah tempat di Kuala Kangsar dan Sayong merupakan tempat pembuatan labu air yang terbesar sehingga dipanggil “labu sayong”.

Selain Sayong, terdapat lagi tempat yang mengeluarkan labu air ini iaitu di Kg Kepala Bendang, Pasir Salak, Pulau Tiga yang boleh anda berkunjung untuk mendapatkan hasil kraf tangan ketika berada di Perak.

13. Perkampungan Orang Asli

13 Tempat Menarik Mercu Tanda Lokasi Percutian Di Perak

Perkampungan orang asli juga merupakan salah satu lokasi pelancongan yang perlu dilawati apabila bercuti di negeri Perak.

Antara kawasan di negeri Perak yang diduduki oleh masyarakat orang asli ialah di Kampung Orang Asli Sungai Chenein, Behrang, Kampung Kuala Senta , Bidor, Kampung Orang Asli Sungai Bilek, Chenderiang, Kampung Orang Asli Sungai Raba, Gerik, Kampung Orang Asli Sungai Raya, Keramat Pulai dan banyak lagi boleh dilawati.

Pengunjung yang berasal daripada kawasan bandar raya yang ingin menikmati suasana semula jadi dan menikmati ketenangan alam, di samping ingin mempelajari kebudayaan masyarakat orang asli ketika bercuti di Perak boleh melawat di lokasi tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak

sumber: maisinggah

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon