Thursday, January 18, 2018

12 Lokasi Menarik Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Di Perak


Negeri Perak sudah pastinya menjanjikan kelainan kepada pengunjung kerana sangat terkenal dengan pelancongan alam semula jadi, pulau dan pantai, tempat bersejarah, taman tema dan sebagainya.

Negeri Perak juga merupakan sebuah negeri di Malaysia yang masih lagi mengekalkan seni bina bangunan yang bercirikan warisan pengaruh Barat yang sangat mempesonakan pelancong.

Jika anda inginkan percutian yang bercirikan “Ketamadunan” dan “Semula Jadi”, jangan lepaskan peluang untuk melawati negeri Perak.

Di sini kami senaraikan 12 lokasi Muzium dan Tempat-tempat Bersejarah menarik di Perak yang boleh anda lawati bersama keluarga ketika bercuti di negeri ini.

1. Muzium Perak

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Muzium Perak merupakan muzium pertama dan tertua yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1883 oleh Sir Hugh Low seorang Residen British ketiga di Perak ketika itu.

Terletak di bandar Taiping, kira-kira 85 kilometer dari bandar Ipoh. Muzium Perak kaya dengan koleksi etnologi, sejarah, alam semula jadi, arkeologi dan etamobologi yang sebahagiannya diklasifikasikan sebagai koleksi nadir atau rare yang berusia lebih seratus tahun seperti spesimen binatang seperti binturong dan pulasan, tengkorak dan rangka binatang serta tembikar tanah yang kini sukar ditemui atau pupus.

Selain daripada pelbagai jenis koleksi yang dipamerkan, bangunan Muzium Perak ini juga mempunyai keunikan dan kelainan seni binaannya yang tersendiri pengaruh daripada bangunan masyarakat “moor” di India, dan ‘neo-classical” serta “Victorian” masyarakat di Eropah.

Bagi anda yang meminati sejarah dan sebagainya jangan lepaskan peluang anda untuk berkunjung ke Muzium Perak ini.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9.00am– 6.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa (RM 2.00) | Kanak-Kanak (Percuma)

2. Galeri Sultan Azlan Shah

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Sebuah galeri yang indah dan menarik seni binaannya dibangunkan semula daripada istana lama iaitu Istana Ulu.

Istana Ulu atau dikenali juga dengan nama Istana Kota ini terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tidak jauh dari Masjid Ubudiah.

Dibina setaraf galeri yang terdapat di luar negara bertujuan untuk merakam tentang sejarah hidup Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah daripada awal usia sehingga zaman pentadbiran baginda.

Di sini juga menempatkan informasi berkenaan sejarah negeri Perak dan keluarga Diraja Perak.

Kemegahan dan keagungan Galeri Sultan Azlan Shah ini diterjemahkan melalui seni binaannya yang halus dan indah, terus kekal berdiri teguh walaupun telah seabad dibina.

Selain daripada pengunjung dapat mengetahui sejarah, susur galur dan kehidupan sultan tetapi juga dapat melihat kehalusan ukiran-ukiran kayu dan kerawang besi berukiran bunga kemboja serta keseluruhan galeri ini sudah semestinya menawan hati pengunjung yang gemar akan seni sebegini.

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (10.00am – 5.00pm) | Jumaat: 10.00 pagi – 12.15 tengah hari (Dibuka semula: 2.45 petang – 5.00 petang)

3. Kellie’s Castle

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Kellie’s Castle merupakan antara salah satu tempat menarik yang harus anda lawati jika berkunjung ke negeri Perak.

Bangunan 3 tingkat umpama istana ini mempunyai kelainan, keunikan dan sejarahnya yang tersendiri kerana dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul, di Bandar Agra, India.

Walaupun bangunan ini sudah berusia 107 tahun dan tidak sempat disiapkan tetapi tetap terus kukuh hasil daripada pembaikan yang dijalankan.

Untuk ke Kellie’s Castle pengunjung perlu menyeberangi jambatan yang telah dibina melintasi sungai Kinta.

Terdapat kemudahan seperti kafe, surau, tandas, kedai cenderamata dan tapak meletak kereta telah disediakan oleh Majlis Daerah Kinta Barat. Kellie’s Castle juga sering menjadi lokasi pengembaraan drama dan filem dalam dan luar negara kerana keunikan binaannya. Kellie’s Castle menjadi kebanggaan penduduk Batu Gajah, Perak ini kerana keunikan seni binaan dan sejarahnya.

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (9.00am – 6.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa (RM 5.00) | Kanak-kanak (RM 3.00) | Warga Emas (RM 4.00)

4. Muzium Arkeologi Lenggong

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Muzium Arkeologi Kota Tampan ini terletak di sebuah kawasan bekas ladang Kelapa Sawit di Kampung Kota Tampan, Mukim Temelong, Lenggong dan berada dalam Daerah Hulu Perak iaitu 8 kilometer ke selatan dari Pekan Lenggong.

Keluasan keseluruhan kawasan Galeri ini dianggarkan seluas 8.16 ekar dengan 2 blok bangunan yang mempunyai 2 Galeri Pameran, Pejabat, Bilik Audio Visual, Bilik Mesyuarat dan Bilik Penyelidikan.

Galeri ini menempatkan pelbagai artifak dan bahan prasejarah dipamerkan dalam bentuk medium yang menarik dan berinformatif.

Di sini juga terdapat rangka “Perak Man” yang ditemui di Gua Gunung Runtuh, dan beberapa artifak lain yang membuktikan kewujudan penempatan awal manusia prasejarah di negara ini, menjadikan ianya tersenarai antara 953 tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Selain itu, bukti penemuan batu serpihan hentaman meteorit juga menjadi penyumbang kepada pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (9.00am – 12.00pm) (3.00am – 5.00pm)

5. Kota Belanda

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Jika anda ke Pulau Pangkor, Perak jangan terlepas peluang untuk singgah sebentar di Kota Belanda ini yang terletak di Teluk Gadang, kira-kira 100 meter dari pantai.

Kota Belanda ini merupakan sebuah kubu lama kolonial Belanda telah berusia lebih 300 tahun yang dijadikan sebagai gudang penyimpanan bijih timah dari negeri Perak.

Pengunjung boleh melawati Kota ini secara percuma sahaja sambil melihat secara dekat peninggalan-peninggalan penjajahan, sejarah pengaruh Barat di Tanah Melayu dan terdapat juga beberapa rumah limas tradisional negeri Perak yang telah dibina oleh kerajaan negeri Perak bagi menambahkan lagi nilai serta tarikan pelancongan di sini.

Pengunjung tidak perlu risau jika datang ke sini kerana terdapat pelbagai kemudahan telah disediakan seperti gerai makanan, pakaian dan juga cenderamata untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

6. Kompleks Sejarah Pasir Salak

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Kompleks ini dibina pada tahun 1990 atas inisiatif Tan Seri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak ketika itu dan dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990.

Di sini terdapat banyak kesan sejarah terutamanya tentang perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu, terbahagi kepada galeri Sejarah, dan balai pameran mempamerkan sejarah peristiwa Pasir Salak, senjata, alat-alat pengangkutan, tembaga, pakaian dan banyak lagi.

Terdapat juga bangunan yang sedia ada berhampirannya ialah Masjid Pasir Salak, kubu pertahanan dan tiga buah rumah kutai.

7. Muzium Beruas

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Salah satu tempat bersejarah boleh anda lawati di Perak ialah Muzium Beruas. Pada awalnya, bangunan ini merupakan Mahkamah Beruas yang telah diubahsuai untuk dijadikan muzium yang mengambil masa lebih kurang 50 minit dari Sitiawan.

Muzium ini mempamerkan lebih daripada 300 artifak pada zaman kerajaan Beruas dan Gangga Negara.

Penubuhan Muzium Beruas ini bertujuan untuk mengumpul dan mengungkapkan semula tentang sejarah keagungan kerajaan Melayu tertua di pesisir pantai negeri Perak yang telah wujud seawal abad kedua hingga kelima belas.

Di muzium ini memaparkan segala maklumat dan bahan kajian dalam bentuk sebenar seperti peta-peta, ilustrasi dan nota mengenai kegemilangan kerajaan Gangga Negara dan Beruas.

Masuk ke muzium ini adalah percuma.

Waktu Operasi: Isnin-Khamis (9.30am – 5.00pm) | Jumaat (9.30am – 12.15pm) (2.45pm – 5.00pm) | Sabtu, Ahad dan Kelepasan Am (9.30am – 5.00pm)

8. Batu Bersurat Pulau Pangkor

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Jika anda ke Kota Belanda jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri Batu Bersurat berhampiran dengan kota tersebut, terletak kira-kira 100 meter dari pantai.

Pengunjung dapat melihat dengan lebih jelas batu besar terpahat dengan lukisan seolah-olah harimau sedang mencederakan seorang budak, dua bulatan berbentuk daun serta perkataan-perkataan Belanda dan Inggeris yang berbunyi “If Carlo 1743”.

Di mana tahun yang tercatat merupakan tahun pendudukan semula Belanda di Pulau Pangkor. Jika dari Kota Belanda anda boleh berjalan kaki sahaja kerana jaraknya yang dekat.

Selain daripada faktor sejarah, suatu yang unik tentang batu ini juga dikatakan oleh penduduk tempatan bahawa batu ini hidup kerana mampu membesar dari saiz asalnya yang agak kecil dengan panjang 10.7 meter, lebarnya 4.6 meter dan berketinggian 4.3 meter.

9. Port Weld

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Port Weld atau lebih dikenali kini sebagai Kuala Sepetang, Perak. Dikatakan semasa terdapatnya bijih timah di Larut dan Taiping lokasi ini menjadi pelabuhan yang sangat penting.

Hulu Sungai Larut mengalir dari Bukit Larut atau Bukit Maxwel terus ke muara Sungai Larut berhampiran dengan Port Weld atau Kuala Sepetang.

Hanya mengambil masa 60 minit atau 72 kilometer untuk ke bandar Ipoh. Kawasan yang dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan Matang ini merupakan hutan paya bakau yang diiktiraf oleh dunia sebagai ekosistem terbaik.

Selain itu, di sini juga terdapat kepelbagaian hidupan liar bagi pengunjung yang cinta akan alam semula jadi untuk melihat dan terokai.

Di kawasan tengah bandar ini juga terdapat stesen keretapi pertama di Malaysia yang berhubung dengan Taiping yang kini sudah ditutup, yang tinggal hanyalah pondok menjual tiket dan papan tanda sebagai simbolik kepada Port Weld.

10. Muzium Darul Ridzuan

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Muzium Darul Ridzuan merupakan salah satu tumpuan para pelancong di Perak. Menariknya bangunan ini mempunyai ciri-ciri reka bentuk Inggeris dan masih mengekalkan reka bentuk seni bina asalnya sehingga sekarang.

Dibina di kawasan seluas kira-kira empat ekar. Selain itu, terdapat dua buah kubu perlindungan serangan udara atau airaid shelter dibina pada tahun 1940.

Bangunan ini telah mula diubahsuai reka bentuk dalamannya pada tahun 1991 dan diberi nama Muzium Darul Ridzuan dan telah dirasmikan pembukaannya pada 18 Ogos 1992 oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Jika ingin melihat dan mengetahui lebih lanjut latar belakang serta sejarah mengenai muzium ini pengunjung jangan lepaskan peluang anda untuk ke sini, masuk adalah percuma.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.30am – 5.00pm) | Jumaat (9.30am – 12.15pm) (2.45am – 5.00pm) | Sabtu, Ahad dan Kelepasan Am (9.30am – 5.00pm)

11. Muzium Geologi

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Tertubuhnya pada tahun 1957 Muzium Geologi adalah untuk menyimpan contoh rujukan daripada kajian geologi.

Menempatkan hampir 700 koleksi unik dan menarik pelbagai jenis fosil, mineral, batu permata berharga dan separa-berharga dari dalam dan luar negara.

Terdapat beberapa sampel bijih timah menarik yang ditemui dalam lombong timah di Lembah Kinta, Perak turut dipamerkan.

Di samping, turut memaparkan sumbangan geologi terhadap pembangunan sumber air bawah tanah, pembinaan infrastruktur dan promosi warisan geologi Malaysia menggunakan ilustrasi grafik.

Masuk ke muzium ini adalah percuma.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.00am – 12.30pm) | Jumaat (9.00am – 12.00pm) (3.00pm – 4.30pm) | Sabtu, Ahad dan Kelepasan Am (Tutup)

12. Muzium Diraja Kuala Kangsar

12 Lokasi Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Menarik Di Perak

Muzium Diraja Kuala Kangsar sangat melambangkan seni bina Melayu Tradisional yang mengagumkan.

Pengunjung boleh melihat dengan lebih jelas kehalusan seni bina Melayu Tradisional ini dengan lebih teliti.

Muzium yang didirikan pada tahun 1926 ini dahulunya dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Istana Lembah, Istana Kenangan, atau Istana Tepas.

Muzium ini dibina atas perintah D.Y.M.M. Almarhum Sultan Iskandar Shah sebagai tempat bersemayam sementara.

Yang menariknya mengenai muzium ini tidak digunakan paku besi dalam pembinaannya. Dengan warna dinding yang melambangkan warna negeri perak iaitu kuning, hitam, dan putih.

Reka bentuk bangunan ini menggunakan enam puluh batang tiang yang lebih kurang 41 meter dan selebar 11 meter.

Dikatakan bentuk bangunan ini terbina seperti sebilah padang yang berada di dalam sarungnya.

Struktur bangunan ini terbahagi kepada dua iaitu di bahagian atas ditempatkan singgahsana manakala di bahagian bawah menempatkan sebuah pejabat rasmi Baginda.

Masuk juga adalah percuma.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.30am – 5.00pm) | Jumaat (9.30am – 12.15pm) (2.45pm – 5.00am) | Sabtu, Ahad dan Kelepasan Am (9.30am – 5.00pm)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 7 Tempat Menarik Pelancongan Unik Di Sarawak Yang Ramai Belum Tahu

sumber: maisinggah

1 comment

  1. Baru perasan negeri perak sekarang dah makin menarik. Banyak tempat boleh lawat contoh macam muzium ni. Untuk bawa anak-anak dan keluarga ada juga pergi MAPS. Untung orang perak...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon