Friday, December 15, 2017

Bahaya Idea Liberalisme Di Malaysia


Sejak akhir-akhir ini, isu kebebasan tidak beragama merupakan salah satu aspek liberalisme kehidupan dalam manusia. Golongan anti Islam ini tahu jika fahaman komunisme atau kapitalisme yang disebarkan kepada umat Islam, maka ideologi atau fahaman tersebut boleh dimatikan dengan menangani dasar ilmu tersebut atau mematikan manusia yang menaungi fahaman dan ideologi tersebut.

Bahaya Idea Liberalisme Di Malaysia

Tetapi jika idea kebebasan hidup dalam beragama dikembangkan kepada umat Islam, maka idea tersebut akan dipelbagaikan dan berkekalan.

Maka golongan anti Islam ini menggunakan idea liberalis dalam kehidupan manusia. Tujuannya menggunakan logik akal dalam memesongkan pegangan akidah umat Islam.

Idea liberalisme mampu meruntuhkan pengaruh sesuatu parti yang sebahagian budaya masyarakat tersebut. Mereka tahu Umno dan Pas sebati dalam politik Malaysia.

Untuk melemahkan pengaruh kedua-dua parti berteraskan agama dan bangsa, maka idea liberalisme perlu disebarkan dengan tujuan mengubah budaya geo-agama dan politik di Malaysia.

Perjuangan mereka dapat dilihat dalam isu menghalalkan penggunaan kalimah ALLAH dan tudung tidak dibenarkan dipakai dalam pekerjaan industri perhotelan.

Jika ingin didebatkan dalam konteks penggunaan kalimah ALLAH maka cadangan ini perlu digunakan dalam prinsip Rukun Negara, iaitu menukar prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan kepada Kepercayaan kepada ALLAH selaras Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, tetapi golongan liberalis tidak bersetuju kerana mempunyai implikasi ke atas Prinsip Rukun Negara lain iaitu Keluhuran Perlembagaan.

Definisi nilai Keluhuran Perlembagaan meletakkan semua keputusan kerajaan perlu dilaksanakan mengikut undang-undang.

Jika ini diamati maka prinsip Kepercayaan kepada ALLAH akan meletakkan Keluhuran Perlembagaan Islam menjadi keutamaan selaras prinsip Rukun Negara.

Pemakaian doktrin Keluhuran Perlembagaan diperuntukkan untuk Perkara 5 hingga Perkara 13. Dalam hal ini, Perkara 11 fasal(4) iaitu dalam Perkara Kebebasan Beragama, perundangan Perlembagaan Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang-orang Islam, tetapi golongan liberalis tidak akan setuju jika berlakunya cadangan perubahan prinsip Rukun Negara.

Ini disebabkan jika situasi ini benar-benar berlaku, maka dengan sedemikian mana-mana polisi piawaian antarabangsa yang bertentangan dengan Perkara 11(4) boleh dibatalkan.

Malah, mana-mana individu yang cuba menghalang perlaksanaan doktrin yang berkaitan dengan Islam boleh didakwa termasuklah perlaksanaan perniagaan yang berdasarkan ajaran Islam.

Adakah peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini dilaksanakan oleh badan kehakiman di negara ini?

Pada masa kini, banyak perniagaan yang menjalankan polisi yang bertentangan dengan doktrin perlaksanaan ajaran Islam tetapi diendahkan. Maka umat Islam dilihat lemah kerana sebab politik.

Satu kajian dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah dan universiti awam menunjukkan antara 70% hingga 85% pelajar-pelajar Islam tidak menyempurnakan solat 5 waktu seperti dituntut dalam Rukun Islam.

Apabila tiang agama menjadi lemah, maka pegangan akidah umat Islam mudah dipengaruhi hawa nafsu.

Akhirnya hawa nafsu ini menjadikan umat Islam semakin lama semakin jauh daripada ajaran Islam sebenar.

Secara teknikalnya, doktrin perlaksanaan ajaran Islam di negara ini berkaitan salah satu sumber perundangan Perlembagaan.

Maka di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat, doktrin perlaksanaan ajaran Kristian menjadi satu kewajipan dalam kehidupan bernegara kerana merupakan sumber perundangan.

Tetapi di negara kita, doktrin perlaksanaan ajaran Islam hanya menjadi satu keperluan dan bukan satu kewajipan kehidupan bernegara.

Maka tidak menghairankan jika golongan tidak beragama (ateis) wujud dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Golongan ini sememangnya telah lama wujud dalam kalangan bukan Islam sejak 1990, tetapi dipandang ringan persatuan-persatuan agama bukan Islam.

Ledakan fahaman ateis dalam kalangan orang Islam di negara ini berlaku akibat perkembangan pesat penggunaan alam maya.

Mahu tidak mahu, fahaman ateis dan liberalis ini bertentangan dengan Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan konsep kebebasan beragama dan bukannya tidak beragama.

Tambahan pula, kebebasan beragama ini merujuk kepada tata susila agama selaras Prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Jadi fahaman liberalis ini turut bertentangan dengan tata susila beragama di negara ini, tetapi kenapa sebahagian individu dalam golongan ini masih kebal dengan perundangan Perlembagaan Persekutuan? Adakah hal ini mempunyai kaitan politik atau ekonomi, atau kedua-duanya?

*Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon