Monday, November 20, 2017

Nasib Malang Kerjaya Wanita Bertudung Di Malaysia


Jika dilihat dari sudut mana pun, tidak ada apa yang luarbiasa mengenai wanita Islam bertudung. Ia tidak sedikit pun mengehadkan pergerakan, tidak juga menjejaskan keupayaan pemakainya.

Nasib Malang Kerjaya Wanita Bertudung Di Malaysia
Gambar hiasan.

Sebagai fesyen dan trend masa kini, menutup bahagian kepala membuat seseorang gadis @ wanita kelihatan lebih sopan, malah lebih ayu.

Namun apa yang lebih penting, bertudung atau menutup kepala bagi wanita Islam tidak sekadar satu fesyen atau gaya hidup. Ia adalah tuntutan agama.

Hukum syarak menetapkan rambut wanita adalah sebahagian daripada aurat, dan oleh itu haram didedahkan kepada umum. Aurat wajib ditutup tidak kira masa, di mana juga, termasuk di hotel.

Sila ambil perhatian bahawa hukum ALLAH adalah lebih tinggi – perlu sentiasa dipatuhi dan dihormati – dari hukum dan peraturan-peraturan lain, termasuk SOP Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Adalah malang sekali, dan amat dikesali, apabila persatuan tersebut tidak peka terhadap sensitiviti agama dan tidak menimbangkan perasaan umat Islam. Seperti yang dilaporkan media, MAH melarang memakai tudung bagi wanita Islam yang bekerja di hotel.

Wanita bertudung tidak dibenarkan bertugas di barisan hadapan @ frontdesk, konon hanya sesuai ditempatkan di bahagian tersorok, termasuk di dapur.

Menurut MAH itu adalah SOP yang ditetapkan oleh operator hotel bertaraf antarabangsa seluruh dunia. Alangkah angkuhnya! Berani melarang pekerja Islam yang hendak mematuhi hukum agama.

Sebenarnya ini bukan isu baharu. Sejak sekian lama wanita bertudung dinafikan hak untuk mengamalkan hukum agama.

Pernah di ruang ini saya menulis perihal seorang petugas hotel yang cekap dan berkebolehan, selama lima tahun hanya diletakkan di bahagian dapur. Ada ijazah, ada rupa, ada upaya, tetapi tidak naik pangkat, gara-gara dia enggan membuka tudung.

Pernah juga didedahkan sesetengah pusat membeli-belah terkenal melarang kakitangan memakai tudung, konon menutup kepala adalah kolot. Pemilik-pemilik bukan Islam itu menggalakkan buka paha, buka dada, daripada menutup kepala.

Pernah juga dihebahkan anak seorang selebriti telah dihalang menjalani temuduga kerja di sebuah syarikat antarabangsa, hanya kerana dia memakai tudung.

Malah, ada pelajar Islam tidak dibenarkan mendaftar diri di sekolah swasta kerana pentadbiran sekolah melarang pelajar memakai tudung.

Kita semua tahu prejudis terhadap wanita Islam bertudung sudah lama wujud di negara kita. Sudah banyak aduan dibuat, sudah kerap kali pula dilaporkan media.

Tetapi semua memandang sepi macam tidak peduli. Selama ini tidak ada sebarang tindakan untuk menyekat dan melawan prejudis yang terang-terang berlaku di hadapan mata.

Hatta pihak berkuasa agama Islam pun seolah-olah tiada kuasa langsung untuk membetulkan keadaan ini. Umat Islam disekat melaksanakan hukum agama, dan pihak berkuasa agama berdiam diri, menutup mata, tidak berani berkata. Apa ertinya ini?

Negara ini majoriti penduduknya Islam, para pemimpin ramai Islam, tampuk kuasa pun di tangan Islam, tetapi dalam isu tudung, ramai yang membisu, kaku dan beku. Tiada yang berani lepas laku.

Berbeza betul dengan isu dobi untuk pelanggan Islam. Walaupun hanya sebuah dua, semua pihak menyatakan tentangan, heboh ‘satu Malaya’. Padahal apa hak kita untuk menyekat mana-mana peniaga yang hendak menegakkan hukum Islam?

Isu tudung lebih besar dari kedai dobi tetapi, selama ini tidak ada kesepakatan untuk melawan MAH. Pada hal kalau semua bertegas, hotel antarabangsa pun akan menghormati dan patuh kepada peraturan kita.

Ambil Pulau Pinang sebagai contoh. Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertegas bahawa larangan bertudung adalah satu diskriminasi. Beliau tidak bersetuju dengan dasar dan SOP persatuan hotel.

Apakah pendirian menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri lain? Jangan takut bersuara sehingga orang pijak kepala kita!

Tabik saya kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menentang keras peraturan MAH. Menteri yang terkenal dengan kelantangan itu bertanya sinis, “Adakah berbogel lebih baik dari bertudung?”

Kalau pun tidak kerana tuntutan agama, mengenakan apa juga pakaian yang menutup aurat, adalah hak peribadi yang dijamin dalam Perlembagaan.

Apabila ada peraturan supaya wanita dilarang berseluar pendek atau berskirt singkat semasa berurusan di kaunter kerajaan, ramai yang menentang atas alasan itu adalah hak perlembagaan setiap individu.

Kenapa membisu dan takut untuk menentang SOP larangan bertudung? Menutup kepala juga adalah hak Muslimah yang dijamin dalam Perlembagaan. Ini negara kita, tegakkan hak kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon