Tuesday, November 14, 2017

Misteri Lubang Hitam 'Black Hole'


Lubang hitam merupakan suatu objek misteri yang sangat menarik untuk dipelajari, manakala Albert Einstein merupakan orang pertama yang meramalnya dalam General Theory of Relativity pada tahun 1916, walaupun John Wheeler yang menemuinya pada tahun 1971.

Misteri Lubang Hitam 'Black Hole'

Lubang hitam merupakan suatu ruangan yang di tengah-tengahnya mengandungi titik ketumpatan yang tidak terhingga, yang dipanggil ketunggalan (singularity). Semua objek akan ‘ditekan’ atau ‘dipadatkan’ ke suatu titik yang amat tinggi ketumpatannya.

Di sekitar kawasan sfera ketunggalan, tarikan graviti adalah begitu besar sehingga tidak ada apa-apa objek boleh terlepas apabila memasukinya termasuk cahaya.

Lubang hitam hanya boleh dikesan melalui perilaku bahan di sekelilingnya di mana setakat ini yang biasa ditemui adalah cakera gas dan debu berputar di sekeliling lubang, bahan yang sangat panas dan berkelajuan tinggi atau sinaran (seperti X-ray) pemancar yang masuk ke dalam lubang.

Lubang hitam sukar dikesan disebabkan ia tidak menghasilkan cahaya malah menarik cahaya ke arahnya oleh itu, hanya dengan mengkaji perilaku di sekeliling black hole sahaja barulah kita dapat menentukan kedudukannnya.

Jenis-jenis Lubang Hitam

Terdapat tiga jenis lubang hitam yang utama iaitu ‘supermassive’ lubang hitam, ‘stellar’ lubang hitam dan ‘intermediate’ lubang hitam.

‘Supermassive’ lubang hitam boleh mempunyai berat bersamaan berbilion matahari dan ianya wujud di pusat sesuatu galaksi, termasuk galaksi kita sendiri.

Kejadiannya masih belum difahami, tetapi kewujudannya merupakan hasil sampingan proses pembentukan galaksi.

Manakala, ‘Stellar’ lubang hitam terbentuk daripada sisa-sisa runtuhan, kematian bintang yang sangat besar dan meletup. Ianya biasa terjadi dalam semua galaksi.

‘Intermediate’ lubang hitam pula terbentuk apabila bintang-bintang di dalam kluster berlanggar sesama sendiri di dalam suatu rantaian.

Lubang hitam boleh bersaiz besar atau kecil di mana yang paling kecil sebesar atom tetapi berjisim seperti gunung.

Lubang hitam bukanlah berlegar-legar di angkasa untuk ‘menelan’ bintang, bulan dan planet-planet. Tiada lubang hitam yang dekat pun berada dalam sistem suria kita.

Suatu fakta lagi adalah, lubang hitam bukanlah ‘menyedut’ objek di sekitarnya, tetapi objek tersebut yang ‘jatuh’ padanya kerana ‘spacetime’ melengkung pada objek berketumpatan besar.

Jika dahulu teori menyatakan graviti akan menegangkan objek tersebut sehingga hilang dan akan ‘mati’ sebelum melintasi event of horizon, tetapi kini (pada tahun 2012) ‘Quantum Theory’ menunjukkan kesan quantum menghasilkan ‘dinding’ yang membakar pada event of horizon dan membakar sehingga ‘mati’.

Apa itu ‘Event of Horizon’?

Misteri Lubang Hitam 'Black Hole'

Selepas penerbitan ‘The General Theory’, ahli Fizik German Karl Schwarzchild (1873-1916) menemui penyelesaian matematik kepada general teori tersebut yang mengesahkan kewujudan lubang hitam (ianya diberi nama sekitar 1967).

Pada awalnya, idea tersebut memberitahu tentang kewujudan suatu objek yang pelik di angkasa, sehinggakan Eisntein menyangkalnya. Secara pelahan, idea kewujudan objek berketumpatan besar ini mula diterima pakai dan menjadi suatu objek yang penting.

Ianya diterbitkan dari formula ‘kinetic energy’ dan ‘gravitational potential energy’. Menyamakan kedua-dua energy tersebut akan terbit suatu persamaan menunjukkan ‘escaping velocity’.

Apabila halaju tersebut digantikan dengan halaju cahaya maka r_S ini disebut sebagai ‘Schwarzschild radius’: r_S=2GM/c^2

Tiada satu pun koordinat fizikal sebenarnya membesar sehingga ‘Schwarzschild radius’ dan objek yang menuju ke arah M akan tahu tiada perubahan dalam gerakannya kerana ia melintasi ‘Schwarzschild radius’.

Apabila objek jatuh, ‘general relativity’ meramalkan bahawa masa bergerak lebih perlahan, berhenti sepenuhnya apabila objek mencapai ‘Schwarzschild radius’. Objek itu kelihatan beku di lokasi tersebut selamanya.

Ketika objek itu jatuh, cahaya yang terpancar semakin ‘red-shifted’ dan menjadi tak terhingga pada r=rs, oleh itu objek ‘hilang’ dari pandangan.

Pemerhati luar tidak boleh mendapatkan sebarang ‘maklumat’ tentang objek tersebut apabila ia melintasi ‘Schwarzschild radius’.

Apabila sesuatu telah memasuki ‘Event of Horizon’, tiada lagi yang boleh mengeluarkan objek tersebut.

Satu objek yang mempunyai jisim terletak pada jejari rs dikatakan sebagai lubang hitam.

Untuk membentuk lubang hitam, objek tersebut harus dimampatkan kepada kepadatan luar biasa. Untuk itu, bumi boleh menjadi lubang hitam sekiranya dimampatkan dalam radius sfera kurang daripada 1cm dan matahari kepada 3km besarnya!

Jejari bintang pada masa medan graviti menjadi cukup kuat untuk cahaya (foton) terperangkap dipanggil ‘Schwarzschild radius’.

Apabila bintang runtuh dan merosot dalam ‘Schwarzschild radius’, ia dikatakan telah melintasi ‘event horizon’. Ini adalah kerana pemerhati luar tidak dapat melihat apa-apa yang berlaku kepadanya selepas itu.

Oleh kerana kita tiada daya untuk melihat apa yang berlaku di dalam ‘event horizon’ itu, maka tiada kuasa juga yang boleh menghentikan kejatuhan, kematian bintang tersebut dan kita beranggapan keadaan itu terus berlaku.

Jisimnya tertumpu pada pusatnya, yang dipanggil ketunggalan, kerana secara matematik ianya dipanggil ‘satu titik’.

Kesimpulan

Lubang hitam adalah penting untuk difahami kerana ianya suatu ‘jambatan’ untuk menghubungkan ‘Theory of Relativity’ dan ‘Quantum Theory’ yang sudah lama diimpikan untuk membentuk ‘Theory of Everything’.

Beberapa cara untuk ‘mententeramkannya’ juga telah diketengahkan, termasuklah ‘String Theory’, ‘Quantum Gravity’ dan lain-lain. Sungguhpun demikian, masih belum lagi ditemui caranya.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA:

sumber: zulsegamat

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon