Monday, November 27, 2017

Apa Itu Wabak Demam Kepialu (Tifoid)?


Apa itu demam Tifoid (kepialu)? Demam kepialu merupakan sejenis penyakit yang boleh mengancam nyawa disebabkan oleh bakteria Salmonella thypi (S. thypi).

Apa Itu Wabak Demam Kepialu (Tifoid)

Demam kepialu biasa ditemui di beberapa bahagian negara membangun dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan, sebanyak 16 juta kes demam kepialu berlaku saban tahun. Kira-kira 600,000 daripadanya meragut nyawa.

Demam kepialu boleh dicegah melalui pemvaksinan dan biasanya boleh dirawat dengan penggunaan antibiotik bagi mengurangkan tempoh kesakitan serta mengurangkan gejala-gejalanya.

Bagaimanakah Demam kepialu menular?

S. thypi hanya berumah di dalam tubuh manusia dan seseorang yang menghidap penyakit ini akan membawa bakteria di dalam saluran darah dan saluran pencernaan mereka.

Sebilangan kecil daripada pesakit yang dinamakan sebagai pembawa, pulih daripada penyakit demam kepialu tetapi terus membawa bakteria di dalam badannya.

Apabila kedua-dua pesakit dan pembawa membuang air besar, S. thypi turut dikeluarkan bersama-sama najis.

Anda boleh jatuh sakit sekiranya memakan makanan dan meminum minuman yang dikendalikan oleh seseorang yang mengeluarkan S. thypi ataupun, jika sisa kumbahan tercemar dengan bakteria S. thypi memasuki air yang anda gunakan untuk minum atau membersihkan makanan.

Oleh kerana itu, demam kepialu sering ditemui di tempat-tempat di mana penduduknya kurang mengamalkan membasuh tangan manakala airnya mungkin tercemar dengan sisa kumbahan.

Sekali bakteria S. thypi dimakan atau diminum, ia akan membahagi dan merebak ke dalam saluran darah dan badan akan bertindak balas dengan menunjukkan beberapa gejala seperti demam.

Langkah-langkah pencegahan Demam Kepialu

Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat mencadangkan dua tindakan asas bagi melindungi diri anda daripada demam kepialu:

1. Rebus, masak, kupas atau lupakan sahaja

Elakkan makanan serta minuman yang berisiko. Ini mungkin mengejutkan anda tetapi melihat apa yang anda makan dan minum terutamanya semasa dalam perjalanan adalah sama pentingnya seperti anda mendapat pelalian.

Dengan menghindari makanan berisiko juga mampu melindungi diri anda daripada lain-lain penyakit seperti cirit-birit, kolera/taun, disenteri dan hepatitis A.

2. Dapatkan pemvaksinan

Jika anda menetap atau dalam perjalanan menuju ke negara yang biasa diserang wabak demam kepialu, anda perlu menimbangkan pemvaksinan menentang demam kepialu.

Berjumpalah dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang pilihan vaksin anda.

Apakah gejala-gejala demam kepialu?
  • Demam tinggi yang berpanjangan, setinggi 39 hingga 40 darjah selsius.
  • Badan terasa lemah dan tidak bermaya.
  • Sakit perut dan hilang selera makan.
  • Sakit perut.
  • Dalam sesetengah kes, pesakit akan mengalami ruam bertompok warna merah jambu (seperti bunga mawar).
  • Satu-satunya cara untuk mengesahkan sama ada seseorang itu menghidap demam kepialu adalah dengan cara menguji sampel najis atau darah bagi mengesan kehadiran S. thypi.

Apakah yang boleh anda lakukan jika dijangkiti demam kepialu?

Jika anda mengesyaki diserang demam kepialu, segeralah berjumpa doktor.

Mereka yang diberikan antibiotik lazimnya akan mula menunjukkan tanda-tanda pulih dalam tempoh dua hingga tiga hari. Kematian jarang berlaku jika pesakit mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, pesakit yang tidak mendapatkan rawatan akan terus mengalami demam sehingga berminggu dan berbulan lamanya.

Sebanyak 20 peratus daripada mereka akan meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi jangkitan.

Bahayanya tidak akan berakhir.

Sekalipun gejalanya kelihatan seperti telah tiada, namun, anda masih berkemungkinan membawa S. thypi.

Jika demikian, penyakit demam kepialu mungkin datang semula dan anda dalam masa yang sama boleh menyebarkan demam kepialu kepada orang lain.

Malah, jika anda terlibat dalam kerja-kerja mengendalikan makanan dan menjaga kanak-kanak kecil, anda mungkin dilarang meneruskan tugas sehinggalah doktor benar-benar pasti anda tidak lagi membawa bakteria S. thypi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Virus Ebola, Mudah Berjangkit Dan Tiada Penawar

sumber: utusan

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon