Monday, October 09, 2017

Soalan 'Bocor' Clever Girl Program Uji Minda Terus Dikritik


Program uji minda Clever Girl Malaysia kecoh lagi apabila video seorang peserta dari Selangor iaitu Shazana memberi jawapan sebelum soalan tamat pula menjadi tular.

Shazana Kamarzaman

Menerusi siaran itu Jumaat lalu (6/10/2017), tindakan Shazana Kamarzaman, 24, menjawab soalan sebelum ia habis dibaca oleh penasihat pertandingan itu, Datin Sharifah Shawati menimbulkan kemarahan netizen.

Menerusi soalan ketiga pada pusingan kedua itu, Shawati mengemukakan soalan karya manakah tulisan Usman Awang sama ada A) Salina atau B) Jiwa Hamba?

Bagimanapun Shazana terus menekan butang untuk menjawab soalan tanpa sempat Shawati membacakan jawapan seterusnya.

Tindakan Shazana yang hanya menjawab B tanpa mengetahui apakah jawapan pada B selepas disoal oleh hos Alif Satar ternyata membuatkan penonton marah.

Rata-rata netizen menyifatkan 'soalan bocor' seperti yang didakwa oleh bekas peserta yang menarik diri daripada program tersebut iaitu Keira ialah sesuatu yang benar-benar berlaku.

Pada minggu semi final itu menyaksikan Shazana layak ke peringkat akhir bersama seorang peserta mewakili negeri Perak iaitu Sara.

Dalam pada itu, pengarah drama Shahrulezad Mohameddin turut mencadangkan TV3 tidak menyiarkan program berkenaan secara langsung pada musim akan datang.

Katanya, kejadian yang berlaku ini hanya akan menjejaskan kredibiliti peserta dan program itu sendiri.

Sementara itu, peserta yang tersingkir pada minggu berkenaan iaitu Shaza berkata, tuduhan soalan bocor itu tidak benar sama sekali.

Shaza atau nama sebenarnya Nurul Shazalina Zainudin, 30, berkata, jika benar perkara berkenaan terjadi, sudah tentu dia masih berada dalam program tersebut.

"Saya baca komen rata-rata netizen tuduh kami semua peserta diberi set soalan, tinggal hafal sahaja jawapan.

"Kalau begitulah, sudah pasti saya masih selamat, sebab saya memang kaki hafal. Senang betul saya nak menang RM100,000 tu.

"Masyarakat kita sakit dengan syak wasangka dan fitnah. Begitu mudah anda semua percaya tanpa ada bukti.

"Janganlah kerana kesilapan kecil atau cerita yang tiada bukti, anda pukul rata semua peserta," kongsinya di Instagram.

Peserta Tarik Diri Dedah Soalan Bocor?

Kiera

Terdahulu pada 25 September lalu, peserta graduan Universiti Oxford menarik diri daripada program berkenaan dan mendakwa terdapat pilih kasih dan 'soalan bocor' dalam program berkenaan.

Bagaimanapun, peserta itu telah menarik balik dakwaan tersebut dan memohon maaf terhadap perkara berkenaan.

Pihak TV3 menerusi satu kenyataan juga menafikan tuduhan itu dan menganggap ia sebagai fitnah semata-mata.

Peserta Clever Girl Malaysia yang mewakili Pulau Pinang iaitu Noor Syakirah Mohd Azam (Kiera) memohon maaf terhadap kenyataan yang dibuat secara terbuka berkaitan tindakan dia menarik diri dalam program itu.

Graduan Sains Kejuruteraan dari Universiti Oxford itu berharap orang ramai berhenti membuat spekulasi negatif yang boleh menjejaskan rancangan terbitan Media Prima tersebut.

"Kiera berharap semua pihak yang terlibat dapat memberikan kerjasama menghentikan spekulasi-spekulasi negatif yang sedang menular di Internet.

"Dengan kesempatan ini saya menyampaikan hasrat memohon maaf kepada pihak yang terbabit secara langsung atau tidak," ujarnya.

Kiera diminta mengulas tentang kenyataan terbukanya menerusi akaun Instagram Kieracatkingdom yang mendedahkan keputusan dia menarik diri disebabkan rasa kurang senang dengan pihak produksi program berkenaan.

Dalam kenyataan itu, dia memberitahu beberapa peserta kegemaran produksi sudah diberikan jawapan awal agar mendapat laluan mudah ke pringkat seterusnya.

Bagaimanapun, Kiera berkata, dia telah menarik balik kenyataan itu dan memadam status yang dimuat naik.

"Saya sudah padam status kenyataan itu dan bermakna saya menarik balik semula kenyataan berkenaan.

"Tambahan pula, saya sudah berjanji dengan produksi untuk tidak memberi sebarang komen terhadap keputusan penarikan diri tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Kiera berkata, dia berterima kasih kepada penonton yang masih memberi sokongan kepadanya sepanjang terlibat dalam program tersebut.

BACA INI JUGA: Ketahui Kuasa Pujuk Rayu Seorang Wanita



sumber: mstar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon