Sunday, October 01, 2017

Sambutan Hari Warga Emas Sedunia


Sambutan Hari Warga Emas Sedunia disambut pada 1 Oktober setiap tahun bagi merai dan memperingati golongan warga emas bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan warga emas dan memastikan kesejahteraan mereka terus terbela.

Warga Emas

Sambutan Hari Warga Emas turut menggalakkan hubungan antara generasi baru dan warga emas dalam melahirkan masyarakat penyayang dan pengintegrasian peranan pelbagai sektor bagi mempromosi kesejahteraan warga emas.

Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan diadakan pada 1hb Oktober pada tiap-tiap tahun sesuai dengan pengistiharan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Resolusi No. 45/106 yang telah menetapkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa.

Kerajaan Malaysia juga telah mengistiharkan 1 Oktober setiap tahun mulai 1992 yang mana pada tarikh ini, Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan diadakan.

Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban.

Siapa golongan warga emas?

Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas yang mana pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.

Ini merupakan satu tanggapan yang salah kerana walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.

DASAR WARGA EMAS NEGARA

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk terus memberi perhatian kepada aspek kebajikan dan keperluan golongan warga emas.

Langkah ini penting bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan golongan tersebut termasuk persediaan dan perancangan bagi menghadapi peningkatan bilangan warga emas di Negara ini.

Berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk Negara.

Justeru, selaras dengan keperluan semasa dan akan datang, Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) telah diluluskan oleh kerajaan pada 5 Januari 2011.

DWEN dan PTWEN merupakan komitmen kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan Negara.

Matlamat Dasar Warga Emas Negara adalah mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan serta membangunkan persekitaran yang membantu warga emas hidup sejahtera.

Pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara Dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara perlu menjadi agenda tetap dalam Mesyuarat Majlis Penasihat Dan Perundingan Warga Emas Negara.

Keanggotaan dalam Majlis Penasihat Dan Perundingan Warga Emas Negara terdiri daripada wakil kementerian berkaitan, pihak swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan serta pakar dalam bidang berkaitan dengan warga emas.

Selamat menyambut Hari Warga Emas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: jkm

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon