Sunday, October 15, 2017

Sambutan Hari Mencuci Tangan Sedunia, Global Handwashing Day


Sambutan Hari Mencuci Tangan Sedunia, Global Handwashing Day disambut pada 15 Oktober setiap tahun bertujuan untuk menunjukkan kepada masyarakat betapa pentingnya mengamalkan kebersihan diri.

Hari Mencuci Tangan

Sebenarnya, masih ramai yang tidak tahu atau mengambil mudah aspek kebersihan mencuci tangan dengan cara yang betul.

Lebih-lebih lagi tanggapan segelintir masyarakat melihat amalan mencuci tangan adalah perkara biasa dan hanya sebahagian daripada rutin harian, tanpa peduli sama ada mereka telah melakukannya dengan betul.

Di Malaysia, antara objektif Kementerian Kesihatan menyambut Hari Mencuci Tangan Sedunia adalah untuk mendidik dan memupuk tabiat membasuh tangan di kalangan generasi muda, khususnya peringkat kanak-kanak.

Mencuci tangan adalah cara terbaik untuk mencegah penyakit seperti penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) kerana dengan cara yang betul, kuman atau virus tidak akan merebak.

Orang ramai sentiasa digalakkan supaya mencuci tangan dengan betul sebagai satu budaya atau amalan harian pada setiap masa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 15 Oktober sebagai hari Mencuci Tangan Sedunia pada tahun 2008 sempena tahun Sanitasi Antarabangsa 2008.

Hari Mencuci Tangan menjadi satu kempen sedunia untuk mengukuhkan amalan kebersihan diri dengan matlamat utamanya untuk meningkatkan kesedaran kepentingan kebersihan diri.

Kesedaran itu perlu diterjemahkan kepada tindakan kerana tiada alasan bagi seseorang individu itu untuk tidak membasuh tangan dengan cara yang betul.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak mereka untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga kebersihan diri sebagai budaya yang perlu dicontohi oleh semua pihak.

Walaupun kerajaan sentiasa mengadakan pelbagai program kesihatan, namun kerjasama daripada pelbagai pihak amat penting kerana sekiranya ada yang tidak menyokong atau gagal melaksanakannya ia memberi kesan negatif kepada individu lain.

Kempen Hari Mencuci Tangan Sedunia ini juga merupakan tanggungjawab sosial untuk memberi sokongan kepada negara dalam mencapai kehidupan dan persekitaran hidup lebih sihat serta mengamalkan tabiat kebersihan diri dengan betul.

Hari Mencuci Tangan Sedunia disambut bersama lebih 200 juta orang dari lebih 100 buah negara dan ini berupaya menjana masyarakat agar lebih sihat dan berupaya menyelamatkan nyawa melalui kaedah mudah iaitu dengan mengamalkan tabiat mencuci tangan menggunakan cecair pencuci tangan.

Selamat menyambut Hari Mencuci Tangan Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon