Tuesday, September 19, 2017

Sejarah Kod Morse, Ciptaan Hebat Yang Terhasil Dari Tengah Lautan


Pada tanggal 1 Oktober 1832, Samuel Morse seorang pelukis terkenal yang sedang berada di puncak kariernya menaiki kapal laut dari Perancis menuju ke New York.

Kod Morse

Pada malam kedua pelayaran, Samuel dan beberapa orang penumpang berkumpul di dewan makan, mendengar perbincangan berkaitan elektrik yang disampaikan oleh Dr. Charles Jackson yang menceritakan tentang eksperimennya.

"Untuk menghasilkan elektromagnet, wayar yang ditebat mesti dibalut rod besi.

"Bila wayar tadi disambung pada bateri, ia memagnetkan rod itu.

"Lebih banyak lingkaran wayar dililit sekeliling rod, elektromagnet akan menjadi lebih kuat," terang Dr. Charles Jackson.

"Jika menggunakan banyak wayar, tidakkah ia akan melambatkan pengaliran elektrik?" soal salah seorang penumpang.

Dr. Charles menggelengkan kepala.

"Tidak. Elektrik akan melaluinya tidak kira berapa panjang wayar tersebut," jawabnya.

Malam itu semasa masih terjaga diatas katil, ungkapan kata-kata Dr. Jackson, 'elektrik mengalir serta-merta tanpa mengira panjang wayar' benar-benar menarik perhatiannya.

"Kalau mesej boleh dihantar dengan aliran elektrik, mesej itu akan sampai dengan pantas," getus Samuel.

Esoknya, dia membuat keputusan untuk meninggalkan dunia seni dan memulakan eksperimen untuk mencari cara menghantar mesej pada kelajuan elektrik mengalir.

Tugas tersebut bukan mudah kerana dia tidak tahu banyak perkara mengenai elektrik, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya.

Tiga tahun mencuba, Samuel berjaya mencipta satu alat yang dinamakan telegraf.

Dalam ciptaannya itu, Samuel melekatkan elektromagnet pada bod, kemudian menggantung batu ladung berdekatan dengannya. Dibawah batu ladung dia melekatkan sebatang pensel.

Bila suis dibuka, kuasa elektromagnet akan melepaskan batu ladung dan mencoret satu tanda diatas kertas yang bergerak.

Dengan menggunakan kod huru yang kasar, garisan seperti cacing kerawit itu boleh diterjemahkan menjadi mesej.

Walau bagaimanapun, kuasa bateri yang digunakan terlalu lemah untuk menghantar mesej pada jarak jauh.

Jatuh Miskin

Sejarah Kod Morse

Selama enam tahun Samuel menghabiskan masanya mencipta alat ini, namun orang ramai langsung tidak berminat dengan ciptaannya.

Malah, reputasinya sebagai seorang pelukis turut lenyap sehinggakan dia tidak lagi berduit.

Suatu hari, Samuel bertemu dengan Alfred Vail, seorang lelaki muda yang mempunyai kemahiran teknikal lalu mereka bergabung tenaga mencipta semula perincian telegraf tersebut.

Mereka memasang elektromagnet untuk mengaktifkan kunci yang mencetak satu siri tanda titik dan sengkang.

Menggunakan kod yang dicipta oleh Samuel, titik dan sengkang ini akan diterjemahkan menjadi huruf, angka, tanda baca dan aksara yang kemudian diterjemah menjadi mesej.

Berita tersebut memang benar!

Pada tanggal 24 Mei 1844, mereka menguji ciptaan itu diantara Baltimore dan Washington dengan jaraknya lebih kurang enam puluh kilometer. Orang ramai berkumpul untuk menyaksikan ciptaan baru tersebut.

Di Washington, Samuel mengetuk mesej. Dalam masa yang singkat, mesin telegraf yang berada di Baltimore mengeluarkan bunyi 'klik! klik!' menandakan titil dan sengkang pada pita sebelum Alfred menafsirkan kod tersebut.

Orang ramai kagum tetapi tidak menunjukkan minat. Ada yang menganggap ia satu penipuan.

Kebetulan, satu konvensyen politik sedang dijalankan di Baltimore yang mana seorang calon dari Washington telah dicalonkan untuk kedudukan penting.

Sebaik sahaja berita mengenainya diumumkan, Alfred segera menghantar telegraf tentang berita tersebut kepada Samuel di Washington.

Berita itu sampai dengan cepat, ditafsirkan oleh Samuel dan diumumkan kepada orang ramai. Memang sah, berita tersebut memang benar!

Samuel Morse

Demonstrasi itu mencapai kejayaan yang tidak disangka-sangka. Mesin telegraf tersebut berjaya menghantar mesej dalam masa hanya beberapa minit.

Kod ini kemudiannya dikenali sebagai 'Kod Morse'.

Sejak itu, orang mula percaya telegraf adalah cara yang cepat untuk menghantar mesej.

Akhirnya, TELEGRAF, idea yang tercetus di dalam benak Samuel Morse ketika berada di tengah lautan diterima dan digunakan diseluruh dunia.

BACA INI JUGA: Siapa Pencipta Kod Bar?

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon