Wednesday, September 20, 2017

Mistik Dan Pantang Larang Gunung Kinabalu


Jam suah menunjukkan pukul 7.30 malam. Perjalanan Rhino Saynan masih berbaki satu kilometer lagi. Sudah hampir lima jam dia berjalan, bermakna sudah sejauh enam kilometer dia melangkah dari kaki gunung.

Gunung Kinabalu

Sementara melepaskan penat, pemuda kurus tinggi ini berhenti sebentar di pondok rehat, check point terakhir sebelum tiba di Laban Rata,lokasi penginapan sementara bagi pendaki sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.

Keadaan di situ sunyi sepi tanpa dendangan cengkerik hutan. Pada yang tidak biasa, mungkin rasa menakutkan, namun bagi Rhino keadaan itu cukup memberi kedamaian.

Sedang dia asyik mengelamun menghilangkan sisa penat yang berbaki, tiba-tiba telinganya menangkap suara azan Maghrib berkumandang dengan jelas.

Pelik, dari mana datangnya laungan azan itu?

Setahu Rhino, tiada perkampungan dalam hutan begini. Nak kata suara azan dari Laban Rata juga mustahil.

Laban Rata masih jauh sedangkan bunyi azan itu benar-benar jelas, seperti sangat dekat dengan tempat dia berehat.

Mungkin ada dikalangan pendaki yang lambat sampai lalu melaungkan azan untuk mendirikan solat Maghrib, fikir Rhino untuk menyedapkan hati.

Ketika azan masih lagi berkumandang, kedengaran pula bunyi derap tapak kaki, seolah-olah ada orang yang akan sampai ke pondok itu.

"Ada juga yang lambat sampai rupanya," getus Rhino dalam hati.

Beberapa minit berlalu, namun tiada kelibat empunya derap tapak kaki masih belum kelihatan.

Ketika itu juga Rhino teringat kisah yang sering bermain di bibir rakan pemandu arah, Mountain Guide, yang bertugas membawa pendaki ke puncak Gunung Kinabalu.

Menurut mereka, kawasan pondok ini memang keras.

Dada Rhino tiba-tiba berdebar, bulu romanya berdiri tegak seperti disambar arus elektrik.

Misteri Lelaki Tua

Rhino masih ingat ada seorang rakannya bercerita, dia berselisih dengan seorang lelaki tua ketika sedang mendaki dalam waktu senja begini.

Keadaan lelaki tua itu sangat uzur dengan memakai jubah lusuh. Langkahnya perlahan dengan sebelah tangan memegang sebatang tongkat.

Baru beberapa langkah melepasi orang tua tersebut, rakan Rhino berpaling ke belakang untuk melihat semula ke mana arah destinasi lelaki tua itu.

Hilang! Sekelip mata lelaki tua itu ghaib dari pandangan. Tiada lagi kelibatnya.

Hendak kata masuk ke dalam hutan, mustahil.

Apatah lagi hanya beberapa langkah saja dia baru melepasi orang tua tersebut.

Penunggu Pondok

Bukan itu saja cerita yang Rhino dengar. Ada juga pengalaman pemandu arah lain yang diganggu ketika berehat di dalam sebuah pondok rehat yang ada.

Kali ini pengalamannya lebih hebat. Ketika terlena seketika di pondok tersebut, tiba-tiba dia merasakan pondok itu bergegar seperti digoncang sesuatu. Apa lagi, tidak cukup tanah dia berlari.

Kini giliran Rhino pula. Hendak tunggu lama, dia rasa bimbang. Seberani-berani Rhino pun, dia juga punyai sisi gementarnya.

Tidak mahu perkara buruk berlaku, Rhino segera angkat kaki meninggalkan pondok tersebut.

Sampai saja di Laban Rata, dia terus bertemu dengan pegawai bertugas bagi memastikan masih adakah pendaki yang belum sampai.

"Awak yang terakhir. Semua pendaki sudah sampai dari tadi," jawab pegawai itu.

Terfana Rhino mendengar jawapan tersebut. Fikirannya ligat berputar mencari jawapan.

Siapa yang mengalunkan azan tadi. Siapa empunya derap tapak kaki yang didengarnya?

Pantang Larang Gunung Kinabalu

Malim Gunung Kinabalu
Malim Gunung Kinabalu - Gambar hiasan.

Gunung Kinabalu sememangnya menyimpan banyak cerita mistiknya yang tersendiri.

Sepanjang menjadi Mountain Guide, Rhino Saynan, lelaki berbangsa Tidung ini telah melalui pelbagai kisah dan pengalaman menarik.

Ada pantang larang yang perlu dipatuhi bagi sesiapa yang ingin mendaki ke puncaknya.

Kerana itulah, setiap pendaki yang ingin ke puncak perlu mendapatkan seorang pemandu seperti Rhino bagi menjaga dan mengawal pendaki daripada melakukan perbuatan dilarang.

Ketika mendaki Gunung Kinabalu, pendaki perlu menjaga tingkah-laku.

Mereka diingatkan supaya tidak memetik atau membawa pulang apa saja flora dan fauna yang ditemui.

Pendaki dilarang membuat bising, gelak ketawa atau melakukan perkara yang tidak bermoral sepanjang mendaki.

Wanita Datang Haid Di Larang Mendaki

Apa yang Rhino ketahui, jika pendaki membuat bising atau menjerit terutama ketika berada di puncak gunung, hujan lebat pasti akan turun.

Jadi, masa hendak turun nanti mereka akan dibasahi hujan di sepanjang perjalanan.

Bukan itu saja. Ada lagi peringatan penting. Khas untuk wanita.

Jika wanita itu dalam haid, tidak kiralah apa bangsa, mereka pasti akan berputih mata.

Dalam mimpi sekalipun jangan haraplah untuk mendaki Gunung Kinabalu sehingga ke puncak.

Pada kebiasaannya ketika dipertengahan jalan, wanita yang datang haid terpaksa turun semula kerana akan mengalami senggugut teruk sehingga tidak larat untuk mendaki dan tidak dapat dipastikan mengapa begitu.

Adakah kerana berpunca dari sudut kesihatan atau kepercayaan 'penghuni' gunung yang tidak menerima wanita dalam keadaan 'kotor'? Tiada siapa yang tahu.

Semoga memberi manfaat.

nota editor: artikel ini dipetik dari majalah mastika edisi suatu ketika dahulu dan disiarkan buat pertama kali di blog sentiasapanas.com

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon