Friday, September 22, 2017

Apabila Ilmu Agama Yang Hebat Hanya Jasad Tanpa Roh


Bila seseorang mencuri, ada undang-undang yang boleh menghukum perbuatan mencuri. Bila seseorang itu berzina, ada undang-undang juga untuk menghukum perbuatan berzina.

Agama

Tetapi bila seseorang itu taasub buta pada aliran tafsiran hukum agama tertentu yang akan cemarkan nama baik agama, yang akan membuatnya begitu mudah untuk menghukum sesat pendapat-pendapat yang lain daripada alirannya, tiada hukuman undang-undang ke atas perbuatan taasub buta yang negatif ini.

Ada sebuah masjid di PJ yang dimasuki beberapa ekor anjing semasa hujan. Anjing-anjing basah ini telah masuk ke ruangan solat.
Perbincangan dan khilaf telah berlaku antara ahli-ahli masjid. Akhirnya kerana ingin menjaga hati penduduk kariah yang berdekatan, pihak masjid telah mengambil keputusan untuk menyamak ruangan solat masjid dengan tanah dan air.

Selepas proses menyamak berjam-jam berlangsung, karpet berbau busuk dan terpaksa dibuang. Mengapa tidak guna pencuci karpet? Yang pelik, bila mereka ini beli kereta second hand dari bukan Muslim, tidak pula mereka menyamak kusyen kereta mereka!

Inilah taksub dan ekstremisme yang tiada hukuman ke atasnya walaupun mencemarkan maruah Islam sebagai agama yang mudah dan tidak menyusahkan manusia.

Disebut dalam al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 185 dengan maksud, "bahawa ALLAH SWT menghendaki bagi kamu kemudahan dan tidak menghendaki bagi kamu kesukaran."

Bila seseorang melanggar roh ayat ini, tiada hukuman ke atasnya. Dia terlepas daripada hudud dan ta’zir.

Begitu juga di media sosial, apabila sebuah parti Islam berkempen tentang menegakkan undang-undang Islam, bersemangat pejuang-pejuang berkumpul ratusan ribu untuk laungan takbir.

Hujah kita mudah: bukan kita tidak menyokong hudud, tetapi mengapa pejuang-pejuang ini tidak menjaga kebersihan tandas!

Kita lihat kebersihan tandas dan hygien adalah masalah yang besar dan berterusan di pondok dan negeri yang ditadbir sebuah parti Islamik.

Ramai yang kritik bahawa hudud adalah isu negara dan kebersihan tandas masalah individu!

Inilah yang kita katakan bahawa berkhalwat boleh dikenakan tindakan undang-undang tetapi tiada hukuman bagi yang tidak menjaga air kencing dan meninggalkan najis tanpa flush di tandas walaupun ini akan mencemarkan nama agama.

Seorang bukan Muslim telah didenda penjara di sebuah negara Islam hanya kerana dia makan di kedai makanan bukan Muslim ketika Ramadhan. Alasannya ialah dia telah mencemarkan kesucian bulan Ramadhan. Tetapi tandas kotor ketika Ramadhan tidak pula mencemarkan kesucian bulan Ramadhan!

Bila dakwah kita taksub penuh pada reformasi undang-undang, kita hilang roh dan jiwa Islam.

Ramai yang tidak sedar bahawa kitab masterpiece karangan Imam al-Ghazali iaitu Ihya’ Ulumiddin ditujukan khas untuk para fuqaha yang taksub dengan isu-isu perundangan dan halal haram.

Tajuk ihya ulumiddin bermakna menghidupkan ilmu-ilmu agama. Bagi Imam al-Ghazali, ilmu agama pada zamannya memang hebat tetapi telah hilang jiwanya. Jasad tanpa roh.

Kata al-Ghazali bahawa, ulama zamannya mampu memberi takrif mabuk dan iman dengan ilmiah dan tepat tetapi diri sendiri tidak mabuk dan tidak rasa kemanisan iman.

Tiada hukuman hudud atau ta’zir bagi umat bersifat ilmiah tinggi tetapi tidak rasa kemanisan iman walaupun umat ini pasti akan membawa kehancuran kepada Islam dan mencemarkan maruah Islam

Bila Nabi SAW mulakan dakwah di Makkah, tiada hudud. Nabi SAW fokus pada pembinaan iman dan akhlak selama 13 tahun.

Selepas 13 tahun, umat Islam tidak mendekati zina bukan kerana ada hukuman hudud, tetapi kerana cintanya pada ALLAH SWT.

Adakah anda membantu seorang buta melintas jalan kerana takut kalau anda tidak bantu, anda akan dihukum oleh undang-undang syariah? Roh dakwah bermula pada hati.

Rosak hati, maka rosaklah jasad dan segalanya.

BACA INI JUGA: Pengertian Dan Pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon