Wednesday, August 09, 2017

Hukum Menikahi Wanita Sedang Hamil Anak Luar Nikah


Apa hukumnya dan adakah sah pernikahan di antara seorang wanita yang sedang mengandung anak luar nikah dengan lelaki yang menghamilkannya?

Wanita Hamil

Ini kerana saya dapati banyak dalam Facebook di post mengenai isu ini di antaranya nikah itu tidak sah untuk perempuan yang sedang hamil anak luar nikah atau zina sehinggalah anak itu dilahirkan.

Ini juga memandangkan ada antara kenalan saya baru saja bernikah ketika mengandung anak zina dengan lelaki itu, di mana sahabat saya sedang mengandung 4 bulan semasa pernikahan.

Mohon pencerahan ustaz.

JAWAPAN:

Wa'alaikumussalam WBT,

Perkara ini khilaf dalam kalangan ulama dan dalam mazhab al-Syafie pernikahan itu sah.

“Jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina sahlah nikahnya di sisi Abu Hanifah dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani), tetapi tidak dibenarkan dia menyetubuhi isterinya itu sehingga dia melahirkan anak, supaya dia tidak menjadikan airnya mengalir atas ladang orang lain (maksudnya ialah jimak), berdasarkan sabda Rasulullah SAW tidak dihalalkan bagi seorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat untuk mengalirkan air atas ladang orang lain dan sabda Baginda SAW bahawa jangan disetubuhi orang hamil sehingga dia bersalin maka inilah dalil menunjukkan larangan menyetubuhi isteri itu sehingga dia bersalin. Berbeza dengan mazhab Syafie yang mengatakan bolehnya bernikah dan bersetubuh bagi perempuan yang hamil daripada zina menurut pendapat yang asah.” (Rujuk Kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/338)

Dalil dalam mazhab al-Syafie ialah berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya, "Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya)."

Daripada Ibn Umar, sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya, "Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal." Riwayat Ibn Majah (2015)

Tidak Haram Bernikah

Justeru, seperti mana halal menikahi seorang wanita sebelum dia berzina dan sebelum dia hamil maka tidaklah haram bernikah kerana nikah.

Terdapat riwayat bahawa seorang lelaki pernah memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina.

Maka Saidina Umar al-Khattab r.a. bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar menyebat kedua-duanya.

Umar bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut dan Umar tidak menganggap hal itu menyebabkan iddah.

Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung. (Rujuk Kitab al-Majmu Sharh al-Muhazzab, 16/241-242)

Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21-22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah.

Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya;
  • Tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu.
  • Tidak dapat pusaka daripadanya.
  • Tidak menjadi mahram kepadanya.
  • Lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon