Friday, July 28, 2017

Tiada Dalil Menukar Nama Bapa Apabila Masuk Islam


Umat Islam adalah bersaudara tidak kira di mana dia berada dan diikat jiwanya antara satu sama lain melalui kalimah syahadatain.

Menukar Nama Bapa

Ikatan ini melangkaui semua jenis ikatan persaudaraan namun, itu bukan bererti Islam menafikan pertalian darah dan keturunan.

Dari sudut kemanusiaan, seseorang yang memeluk Islam tidak putus hubungan kekeluargaan dengan saudara maranya yang masih belum Islam lebih-lebih lagi ibu dan bapanya.

Masih ada tanggungjawab kekeluargaan yang perlu dilunaskan selama mana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan inilah intipati ajaran yang terkandung di dalam firman Allah ‘azza wa jalla.

“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taati mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia secara baik. Dan turutilah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan Tauhid dan amal-amal soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.” (Luqman:15)

Menukar Nama Bapa

Isu yang biasanya akan ‘menghantui’ golongan saudara baru ialah menukar nama bapanya.

Seperti yang telah dimaklumi, kebiasaan masyarakat Islam Malaysia ialah saudara baru akan memilih nama baru dan di ‘bin’kan kepada Abdullah. Contohnya: Muhammad Farid Ravi Bin Abdullah dan Muhammad Ridhuan Tee Bin Abdullah.

Tindakan ini sama sekali tidak berasaskan kepada mana-mana dalil al-Quran mahupun al-Sunnah. Malahan ia bercanggah dengan petunjuk kedua-duanya.

Rasulullah S.A.W telah menukar nama ramai sahabat baginda, tetapi baginda tidak pernah mencadangkan atau mengarahkan mereka menukarkan nama bapa-bapa mereka.

Buktinya ialah Umar tetap berbinkan Al-Khattab, Ali tetap berbinkan Abu Talib, ‘Utbah tetap dibinkan kepada Abu Lahab dan sebagainya.

Mungkin timbul persoalan bagaimana dengan nama-nama bapa yang mengandungi makna yang tidak baik?

Jelas melalui dalil-dalil yang ada, tuntutan menukar nama kepada yang lebih baik hanyalah untuk Muslim sedangkan orang bukan Islam tidak dituntut menukar namanya. Itupun untuk diri sendiri, tidak dituntut menukar nama ibu bapa, datuk atau keluarga.

Rasulullah S.A.W telah menukar nama Harb kepada Salm dan Al-‘As kepada Hisyam tetapi di kalangan sahabat tetap dibinkan kepada Harb dan Al-‘As iaitu Abu Sufyan Sakhar Bin Harb dan ‘Amru Bin Al-‘As.

Sekalipun nama bapa mengandungi makna yang bercanggah dengan ajaran agama, seorang Muslim hanya disyariatkan menukar nama sendiri sahaja.

Sebagai contoh, nama penuh Abu Sufyan ialah Sakhar Bin Harb Bin Abd Syams Bin Abd Munaf.

Nama seperti Abd Syams jelas berunsur syirik, tetapi itulah nama Abu Sufyan yang dikenal sehingga ke hari ini.

Begitu juga ‘Utbah Bin Abi Lahab kerana nama sebenar Abu Lahab ialah ‘Abd al-‘Uzza, nama salah satu berhala paling utama di Makkah.

Rasulullah S.A.W tidak pernah meminta mereka atau mana-mana sahabat r.a menukarkan nama bapa atau datuk mereka.

Oleh itu tidak timbul persoalan tentang nama-nama seperti Ahmad Bin Subramaniam atau Ali Bin Siva, walaupun nama-nama itu adalah nama dewa-dewa Hindu.

Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi telah ditanya beberapa soalan berhubung penukaran nama bapa atau datuk yang tidak Islami (mengandungi unsur haram atau syirik).

Jawapan yang diberikan:

a) “…wajib menukar namanya yang berunsur syirik dengan nama yang Islami dan tidak wajib menukar nama bapanya dan datuk nenek moyangnya”.

b) “…maka seorang Muslim tidak mukallaf untuk mengukar nama datuknya, sebaliknya dia hanya dituntut menukar namanya sahaja, jika ianya berunsur syirik, hodoh dan tidak elok”.

Masalah Berhubung Penukaran Nama Bapa

Berdasarkan keterangan di atas, perbuatan menukar nama bapa kandung kepada yang selainnya adalah tindakan yang menyalahi sunnah Rasulullah S.A.W sedangkan baginda ikutan umat Islam.

Selain itu ia membawa kepada suatu masalah yang lebih besar.

Masalah yang dimaksudkan ialah menghilangkan nasab sebenar dan menyedihkan hati ibu bapa kandung. Allah S.W.T menjelaskan berhubung panggilan bagi seorang anak, firman-Nya:

“Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.” (Al-Ahzab:5)

Ayat ini adalah berkaitan suatu amalan Jahiliyyah, iaitu apabila seseorang itu mengambil anak angkat, anak tersebut akan dibinkan kepadanya. Sebelum turun arahan Allah ini, Rasulullah S.A.W juga telah melakukan perkara yang sama terhadap anak angkanya, Zaid Bin Harithah. Baginda pernah menamakan beliau sebagai Zaid Bin Muhammad sempena nama baginda sendiri.

Apabila turun ayat ini, bersegeralah baginda menukarnya kembali kepada Zaid Bin Harithah sebagai ketaatan terhadap perintah Allah.

Ramai ulama yang mengulas ayat ini menemukan kesimpulan yang sama, iaitu haram meletakkan bin bukan kepada bapa kandung yang sebenar. Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah menjelaskan tentang ayat ini dengan katanya:

“Allah mewajibkan kita memanggilnya (seseorang itu) dengan dibinkan kepada bapanya yang melahirkan dia, bukan bapa yang mengambilnya sebagai anak angkat…”.

Jika bapa yang memelihara seseorang sebagai anak angkatpun tidak berhak menasabkan seseorang kepadanya, apatah lagi nama yang tidak diketahui siapa tuan empunya badannya.

Ibn ‘Asyur juga menegaskan bahawa meletakkan bin kepada bapa kandung adalah keadilan yang sempurna manakala tindakan selainnya adalah kekejaman ke atas para bapa yang sebenar dan anak-anak angkat; ini kerana ia menghilangkan nasab yang sebenar.

Jika seorang ‘saudara baru’ dibinkan kepada Abdullah yang bukan bapa kandungnya, tentu sahaja ini mendedahkan kepada risiko tersebut.

Apatah lagi ada satu dua kes di mana bapa angkat kepada ‘saudara baru’ itu memang bernama Abdullah.

Tindakan mengubah ‘bin’ kepada Abdullah dapat menghapuskan ikatan saudara baru dengan bapa kandungnya.

Dibimbangi ini termasuk di dalam sabdaan Rasulullah S.A.W:

“Jangan kamu membenci bapa-bapa kamu, barangsiapa yang membenci bapanya maka ia adalah suatu kekufuran” (H.R Al-Bukhari)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan perkataan Ibn Battal yang mensyarahkan hadith ini, katanya:

“Maksud ‘membenci bapa’ ialah barangsiapa yang menukarkan nasabnya daripada (dibinkan) kepada bapanya (untuk dibinkan) kepada selain bapanya sedang dia mengetahuinya, secara sengaja dan dengan pilihan sendiri…dan kufur tersebut bukan dimaksudkan kufur sebenar yang mengekalkan nya di dalam neraka”.

Larangan yang lebih jelas berhubung hal ini didapati di dalam beberapa hadith, antaranya:

i- Daripada Anas Bin Malik:

“Barangsiapa yang mendakwa (berbinkan) kepada bukan bapanya atau bernasab kepada bukan maulanya, maka ke atasnya laknat Allah yang berterusan hingga Hari Kiamat”. (H.R Abu Daud dan disahihkan oleh Al-Albani)

ii- Ali Bin Abi Talib berkhutbah yang diambil daripada Rasulullah S.A.W:

“Barangsiapa yang mendakwa (berbinkan) kepada bukan bapanya atau bernasab kepada bukan maulanya, maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya, Allah tidak menerima daripadanya pada Hari Kiamat taubat mahunpun fidyah”. (H.R Muslim)

iii- Daripada Saad Bin Abi Waqqas dan Abi Bakrah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Barangsiapa yang mendakwa (berbinkan) kepada bukan bapanya, sedangkan dia mengetahuinya, maka syurga haram baginya”. (H.R al-Bukhari)

Para ulama hadith seperti Al-Nawawi, Ibn Hajar, Al-‘Azim Abadi dan yang seumpamanya ketika mengulas hadith-hadith ini menegaskan bahawa ia menunjukkan betapa beratnya pengharaman menasabkan diri kepada bukan bapa sebenar.

Ini kerana perbuatan ini membawa kepada kufur nikmat, memutuskan silaturrahim dan penderhakaan terhadap ibu bapa.

Kesimpulan

Perbuatan yang sudah menjadi kebiasaan ini walaupun tiada arahan rasmi jelas mengundang bencana. Ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

Walaupun ada pihak yang memandang enteng perkara ini, namun ia sesuatu yang besar di sisi mereka yang sentiasa menjunjung sunnah Rasul S.A.W.

Selanjutnya ia diangap kufur nikmat kerana tidak menghargai nikmat ibu bapa kandung yang sah. Ia juga seperti yang telah dinyatakan, menyebabkan banyak keluarga rasa dibuang akibat penukaran nama bapa ini.

Bukankah ini secara tidak langsung bermaksud memutuskan silaturrahim dan hubungan kekeluargaan?

Selanjutnya apabila ibu bapa kandung bersedih dengan tindakan ini sedangkan ia tidak dituntut agama, bererti penderhakaan terhadap mereka berdua.

Ini jelas bercanggah dengan arahan al-Quran supaya bergaul dengan mereka secara makruf seperti yang dijelaskan dalam surah Luqman ayat 15.

Penutup

Berdasar apa yang telah dikemukakan, ternyata tidak menjadi syarat memeluk Islam dengan menukar nama asal seseorang.

Rasulullah S.A.W hanya menukar nama-nama yang ‘bermasalah’ sahaja dan tiada nas menunjukkan ada sahabat menukarkan ‘bin’nya kepada Abdullah.

Oleh sebab itu, sebarang cadangan, arahan atau perbuatan meletakkan ‘bin Abdullah’ bagi saudara baru perlu dinilai semula.

Ia tidak disyariatkan malahan memberi kesan ke atas hubungan kekeluargaan dan pandangan ahli keluarga yang belum Islam terhadap dakwah Islam.

Di samping itu, memandangkan terdapat kemungkinan berlakunya penafian nasab akibat penukaran tersebut, mungkin suatu tindakan rasmi daripada pihak berwajib dapat menyekat daripada berlakunya larangan syarak itu.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: soaljawab

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon