Monday, July 31, 2017

Mat Sentol Perintis Teknik Kesan Khas Filem Melayu


Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya sememangnya merupakan seorang pelakon yang tidak asing lagi dalam dunia seni tanah air era 1950-an.

Mat Sentol

Selain berlakon, dia juga terlibat dalam bidang pengarahan, penulisan skrip, penciptaan lagu dan dalam masa yang sama cukup berbakat dalam bidang animasi dan penggunaan kesan khas.

Walaupun ketika zamannya itu teknologi amat terbatas, namun dia telah berjaya mencipta teknik kesan khas dalam filem-filemnya dan merupakan perintis pertama dalam bidang ini.

Bercerita tentang idea kreatifnya, menurut bintang legenda berusia 91 tahun ini, sedari kecil lagi dia sememangnya minat melukis dan setiap lukisan yang dilukisnya sarat dengan cerita di sebaliknya.

“Dulu masa kecil saya suka pusing satu kampung sambil melihat aktiviti rakan-rakan. Bila balik ke rumah saya akan lukis aktiviti yang mereka lakukan seperti memancing, melastik burung atau apa sahaja.

“Namun setiap watak dalam lukisan tersebut saya akan pastikan ia mempunyai dialog yang tersendiri dan mencuit hati.

"Biasanya lukisan tersebut saya akan tunjuk pada kawan-kawan sekampung,” ujar anak kelahiran Muar, Johor ini.

“Tidak cukup itu, ketika di sekolah, dia juga sering mengambil bahagian untuk membuat persembahan pentas terutamanya pada hujung penggal persekolahan.

“Setiap kali diminta oleh guru saya merupakan murid pertama yang akan menawarkan diri sehinggakan tahun-tahun berikutnya nama saya diwajibkan untuk membuat persembahan,” ujarnya yang turut mempunyai kebolehan bermain silap mata.

Asal-usul Gelaran Mat Sentol

Menyingkap kenangan lampau, nama panggilan Mat Sentol diperoleh ketika terlibat dalam persembahan drama di sekolah.

“Dalam drama tersebut ada menggunakan perkataan sentul. Bermula dari situlah kawan-kawan panggil saya dan terus kekal sehingga ke hari ini. Bukan kerana saya berasal dari Sentul atau duduk di Sentul,” selorohnya lagi.

Berkecimpung lebih 40 tahun dalam dunia perfileman, Mat Sentol baru-baru ini dianugerahkan dengan gelaran Bintang Legenda dan Ahli Kehormat oleh Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG).

Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), merupakan tanda penghargaan kepada bakat seni yang dimiliki pelakon veteran itu semasa hayatnya.

Bapa Teknik Kesan Khas filem Melayu

Dia bukan sahaja merupakan seorang pelakon komedi dan pengarah filem yang disegani dalam era 1950-an hingga 1970-an, malah perintis atau Bapa Teknik Kesan Khas filem Melayu.

"Anugerah tersebut adalah berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas filem lakonan dan arahannya sejak tahun 1950-an hingga 1970-an.

Ketika ditanya perasaannya, dia turut melahirkan perasaan gembira yang tidak terhingga di atas penghargaan yang diberi.

“Ia adalah sesuatu yang bagus dan perlu dilakukan untuk menghargai seseorang seniman. Pada pendapat saya, tidak perlu tunggu sampai orang itu dah tak ada atau sakit baru nak bagi,” ujarnya yang sentiasa bersedia untuk berkongsi idea kreatifnya bersama pembuat filem masa kini.

Kini dengan faktor usia, bapa kepada dua cahaya mata ini lebih banyak menghabiskan masa dengan berehat bersama keluarga tersayang dan melakukan aktiviti-aktiviti ringan bersama cucu-cucunya.

Menyoroti kisah hidupnya, memandangkan dia mempunyai bakat melukis, sejurus selepas tamat persekolahan, Mat Sentol memulakan kariernya sebagai guru lukis di sebuah sekolah Cina di Singapura.

Beberapa tahun bergelar guru, dia mula beralih arah ke bidang perfileman selepas bakatnya digilap oleh pelakon A.R Tompel yang ketika itu aktif bersama rombongan Sandiwara Khencana.

Kemudian dia mula mencuba nasib dalam drama radio di Singapura dan kemudiannya mengembangkan bakatnya di stesen televisyen Singapura.

“Filem pertama saya berjudul Sumpah Pontianak pada 1958. Ketika itu saya berpasangan dengan Wahid Satay. Tak sangka, filem tersebut diterima ramai, Selepas itu, banyak tawaran berlakon filem saya terima.

“Selain daripada bergelar pelakon di Cathay-Keris Film Productions pada ketika itu, saya juga turut menulis lirik dan mencipta lagu,” ujarnya.

Katanya lagi, ketika dia mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan, kebanyakan filem arahannya mempunyai kesinambungan yang mana setiap di awal tajuk filem itu dimulakan dengan perkataan Mat yang diambil sempena namanya.

“Antaranya filem Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Raja Kapor, Mat Toyol, Mat Karong Guni, Mat Magic dan banyak lagi,” ujarnya yang turut berlakon dalam filem arahannya.

Berbicara lanjut tentang pelakon veteran ini, dia memiliki idea yang kreatif dan mendahului zamannya. Malah teknik pengarahannya penuh dengan eksperimen yang tak masuk akal namun cukup menghiburkan.

Memiliki kreativiti yang cukup bagus ketika itu, dia menggunakan kesan khas dengan mencipta pelbagai teknik penggambaran dalam filem arahannya walaupun pada masa itu ia dihasilkan secara manual.

Antara filemnya yang memperlihatkan teknik kesan khas ketika zamannya itu adalah Mat Bond, Mat Tiga Suku dan Mat Magic.

Dek kerana itu, dia diberi kepercayaan untuk memberi sentuhan kreatif kepada era filem ketika itu. Antaranya filem Naga Tasik Chini.

“Saya diberi tanggungjawab membuat prop dalam filem tersebut. Masa tu saya buat prop api yang keluar daripada mulut naga. Sebenarnya bukan mudah untuk membuat kesan khas pada zaman itu kerana teknologi cukup terbatas.

“Tapi saya rasa itu bukan masalah utama, saya gunakan segala kreativiti yang ada kadang-kadang saya cipta kostum dan lukis prop yang difikirkan sesuai dan dapat menghiburkan.

“Jika tiada idea dan buntu, saya akan merayau-rayau di sekitar kampung halaman dan melihat keadaan sekeliling kerana cara tersebut akan membantu saya mendapatkan ilham,” ujarnya yang sering tidak tidur malam memikirkan idea menarik ketika itu.

Bersara?

Mat Sentol

Sekitar tahun 1980, Mat Sentol mula memperlahankan lakonannya setelah selesai menjayakan filem Mat Tenggek. Ketika itu ramai yang tertanya-tanya ke mana menghilangnya pelakon yang cukup berbakat ini.

“Saya bukanlah hilang daripada dunia seni tapi waktu itu saya mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian yang lebih kepada syarikat sendiri iaitu, Studio Maju Filem yang terletak di Larkin, Johor Bahru.

“Ketika itu agak aktif menghasilkan iklan-iklan untuk televisyen dan radio. Saya agak bernasib baik juga kerana saingan iklan ketika itu tak banyak.

“Antara iklan-iklan yang mendapat tempat di jiwa penonton ialah Jojo, Tora, Ding Dang, Apollo dan banyak lagi.

"Selain itu, syarikat saya juga aktif menghasilkan cerita-cerita dalam bentuk video cakera padat (VCD) dan mengedarkannya di pasaran,” ujarnya.

Memiliki kreativiti yang cukup bagus ketika itu dan melampaui masa. Dia menggunakan kesan khas dengan mencipta pelbagai teknik penggambaran dalam filem arahannya walaupun pada masa itu ia dihasilkan secara manual.

BACA INI JUGA: Pelakon Malaysia Pertama Yang Berlakon Di Hollywood

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon