Tuesday, June 13, 2017

Selepas 'Penghinaan' Nazri Aziz, Sarawak Dan Sabah Tolak Pelaksanaan Cukai Pelancongan!


Kerajaan negeri Sarawak memutuskan untuk menarik balik penyertaan wakilnya dalam Lembaga Pelancongan Malaysia selepas menterinya, Abdul Karim Rahman Hamzah, seolah 'dihina' Nazri Aziz dengan membidas menteri berkenaan sebagai "menteri setahun jagung".

Nazri aziz hina Sarawak

Berdasarkan satu kenyataan media dari Pejabat Ketua Menteri Sarawak, keputusan itu akan berkuatkuasa serta merta.

Kerajaan negeri berpendapat bahawa perwakilannya dalam Tourism Malaysia tidak perlu kerana ia menyamai peranan dan fungsi Lembaga Promosi Pelancongan Sarawak.

Sabah tolak pelaksanaan Cukai Pelancongan

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, menolak sebarang pelaksanaan Cukai Pelancongan yang dicadangkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz bermula 1 Julai ini, lapor Sarawak Voice.

Menurut Masidi, sebarang bentuk cukai perlu disalurkan ke negeri Sabah, bukannya ke kantung Kerajaan Persekutuan.

Meskipun faham dengan langkah yang diambil kerajaan untuk menjana pendapatan dalam keadaan yang sukar, namun analisis kos dan faedah perlu dilakukan sebelum melaksanakan cukai sedemikian.

“Pelancongan dianggap penyelamat ekonomi negara ketika negara berdepan kesukaran. Banyak pemain tidak meraih pendapatan tinggi sekarang,” katanya.

Menurut Masidi, Kabinet ada membincangkan isu tersebut dan menyatakan cadangan cukai pelancongan itu wajar dipertimbangkan tetapi bukan pada ketika ini.

“Yang saya hendak tekankan ialah kita dapat ‘menjual’ Sabah lebih baik daripada orang lain, kerana ini negeri kita dan kita tahu dengan tepat bagaimana ‘menjualnya’.

“Ramai rakyat Sabah akan kehilangan pekerjaan jika industri pelancongan terjejas dan keadaan akan bertambah buruk jika kerajaan mengambil keputusan melaksanakan cukai pelancongan,” katanya lagi.

Tiada kesan, kata Nazri selepas Sarawak tarik diri dari lembaga pelancongan

Masidi Manjun
Datuk Seri Masidi Manjun.

Nazri Aziz hari ini tidak mengheboh-hebohkan keputusan Sarawak menarik diri dari Pelancongan Malaysia, menyifatkan keadaan akan “berjalan seperti biasa” dan tidak akan menjejaskan pelancongan di negeri itu.

“Saya boleh ganti mereka dengan orang lain,” kata Nazri kepada FMT, sehari selepas menteri pelancongan dan kebudayaan itu membidas menteri Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mempertikaikan culai pelancongan yang akan berkuatkuasa bulan depan.

Berikutan itu, kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan mereka menarik diri dari Pelancongan Malaysia, agensi persekutuan yang bertanggungjawab untuk mempromosikan industri pelancongan.

“Saya akan terus mempromosikan Sarawak walaupun tanpa wakil mereka. Itulah yang saya lakukan selama ini,” kata Nazri.

Pengumuman Sarawak itu menyusuli ketegangan akibat cukai pelancongan baharu tersebut yang bakal menyaksikan hotel mengenakan bayaran tambahan RM2.50 hingga RM20 bagi penginapan semalaman.

“Kerajaan negeri menganggap penyertaan wakilnya dalam Pelancongan Malaysia tidak lagi perlu kerana ia bertindih dengan peranan dan fungsi Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak,” kata pejabat ketua menteri hari ini.

Karim berkata cukai baru itu contoh kerajaan persekutuan mengenakan undang-undang cukai ke atas Sarawak tanpa berunding terlebih dahulu, dakwaan yang mengundang kemarahan Nazri.

“Anda (Karim) tidak perlu bercakap besar dalam politik. Jika anda mahu menunjukkan samseng, kita adalah samseng lagi besar,” kata Nazri.

Kenyataan itu dikutuk ahli politik kedua belah pihak di Sarawak. Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof mengecam Nazri kerana menghina Karim.

Untuk itu, Nazri berkata dakwaan Karim kononnya kerajaan persekutuan cuba merampas kuasa Sarawak juga menghina.

“Tuduhan itu tidak benar, jadi adakah dikira menghina juga? Adakah Fadillah fikir hanya rakyat Sarawak yang sensitif? Seluruh rakyat Malaysia tidak mempunyai hak untuk sensitif?

“Tidakkah dia fikir Karim sebagai menteri baru sepatutnya berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada saya, bukannya menipu dengan mengatakan ia adalah tipikal Malaysia Barat untuk merampas kuasa kerajaan negeri?”

Nazri menafikan tuduhan Putrajaya gagal berunding dengan Sarawak mengenai pelaksanaan cukai pelancongan.

Beliau berkata rang undang-undang cukai pelancongan pertama kali dibentangkan dalam jemaah menteri, yang ketika itu turut dianggotai Fadillah selaku menteri kerja raya, sebelum dibahaskan di Parlimen.

“Jadi kenapa kata kami mahu merampas kuasa Sarawak? Rang undang-undang itu dibahaskan di Parlimen dengan semua ahli Parlimen Sarawak hadir.

“Semasa kita membentangkan rang undang-undang cukai pelancongan, tidak terlintas di fikiran kita yang ia akan dilihat sebagai, atau digunakan untuk, mengambil alih kuasa rakyat Sarawak.

“Saya rasa kita semua perlu matang dan mula berfikir sebagai rakyat Malaysia,” kata Nazri.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani | arif | fmt

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon