Wednesday, June 14, 2017

Jawapan Untuk Pertanyaan Di Manakah Allah?


Soalan: Anak saya yang baru di sekolah rendah beberapa kali bertanya, “Di manakah Allah?” Saya tidak tahu apakah jawapan yang sepatutnya diberikan. Suami saya pula terus melarang anak kami daripada bertanya soalan tersebut. Maka saya tertanya-tanya, bolehkah bertanya soalan “Di manakah Allah?” Jika boleh, apakah jawapannya?

Di Manakah Allah

Jawapan:

Apabila anak-anak kita bertanya tentang Allah, ia adalah petanda yang baik. Ia bererti mereka berminat untuk tahu lebih lanjut tentang pencipta mereka dan alam ini.

Ia lebih baik berbanding kebiasaan masyarakat kita yang lebih kerap memperkenalkan anak-anak tentang hantu dan pelbagai khurafat lain berbanding Allah.

Ia juga lebih baik berbanding kelaziman masyarakat kita yang suka fokus kepada pendidikan hukum-hukum fiqh berbanding pendidikan tauhid dan aqidah.

Dibolehkan bertanya “Di manakah Allah?” kerana Rasulullah SAW sendiri pernah bertanya kepada umat Islam pada zaman baginda soalan yang sama.

Hadis berikut menjadi rujukan:

Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami menceritakan: Saya pernah memiliki seorang hamba wanita yang bekerja sebagai pengembala kambing di gunung Uhud dan al-Jawwaniyah (satu lokasi berhampiran gunung Uhud).

Pada satu hari aku pergi memeriksa, ternyata seekor serigala telah membawa lari seekor kambing. Saya adalah seorang lelaki daripada Bani Adam, aku marah sebagaimana mereka (Bani Adam) juga marah, lalu aku menampar (hamba tersebut).

Maka aku mendatangi Rasulullah SAW (dan menceritakan apa yang berlaku), lalu baginda memandang berat apa yang telah aku lakukan (yakni menampar hamba wanita itu).

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah saya memerdekakannya?” Baginda menjawab, “Bawa hamba itu kepadaku.”

(Setelah dibawa menghadap Rasulullah), baginda bertanya, “Di manakah Allah?” Hamba itu menjawab, “Di atas langit.”

Baginda bertanya lagi, “Siapakah aku?” Hamba itu menjawab, “Kamu ialah Rasulullah.” Maka Rasulullah bersabda, “Merdekakanlah dia kerana dia seorang wanita yang beriman.”

Hadis ini sahih, dikemukakan oleh Imam Muslim dalam kitab Shahihnya, hadis no: 836/537.

Di dalamnya terdapat beberapa pengajaran.

Pertama, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memandang perbuatan menampar seorang hamba wanita sebagai satu kesalahan yang berat. Baik wanita hamba atau wanita merdeka, Islam menegah seorang lelaki daripada mengasari mereka.

Kedua, Rasulullah bertanya kepada hamba tersebut, “Di manakah Allah?” Pertanyaan ini menunjukkan ia adalah sesuatu yang dibolehkan dan bukan satu kesalahan.

Bahkan jawapan daripada pertanyaan ini Rasulullah jadikanlah sebagai salah satu kayu ukur bagi menentukan sama ada hamba tersebut adalah seorang wanita beriman atau tidak.

Oleh itu berdasarkan hadis ini, dibolehkan bertanya “Di manakah Allah?” dan jawapannya ialah “Di atas langit.”

Sebenarnya jika kita mengkaji al-Qur’an, terdapat ayat-ayat yang menunjukkan bahawa Allah di atas langit.

Contohnya dalam surah al-Mulk, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: "Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di atas langit bahwa Dia akan menunggang balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang? atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di atas langit bahwa Dia akan mengirimkan angin ribut yang berbatu? Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku?" [al-Mulk 67:16-17]

Oleh itu termasuk pendirian Ahli Sunnah wal Jamaah ialah berkeyakinan bahawa Allah di atas langit. Pendirian ini memerlukan dua penjelasan lanjut.

Pertama: Apabila dikatakan Allah di atas langit, ia tidak bererti Allah memiliki tempat sebagaimana yang lazim difahami oleh manusia. Ini kerana Allah di langit sesuai dengan ciri dan sifat-Nya yang tidak sama langsung dengan apa yang difahami oleh makhluk.

Dalam surah al-Ikhlas yang kerap kali kita baca, Allah menyatakan tentang diri-Nya: "Dan tidak ada apapun yang serupa dengan-Nya." [al-Ikhlas 112:04]

Dalam ayat yang lain, Allah menyatakan: "Tiada sesuatupun yang semisal dengan-Nya (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat." [al-Syura 42:11]

Oleh itu kita katakan dan berkeyakinan, Allah di atas langit sesuai dengan sifat-Nya, bukan dengan sifat yang difahami oleh manusia.

Kedua: Apabila kita membaca di dalam al-Qur’an ayat-ayat yang menerangkan kedekatan Allah kepada manusia, maka ia bermaksud rahmat-Nya atau ilmu-Nya.

Contohnya ialah ayat berikut: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu." [al-Baqarah 2:186]

Hampir yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah ilmu Allah, bermaksud Allah mengetahui doa serta hajat orang-orang yang berdoa kepada-Nya.

Penjelasan ini secara keseluruhannya mungkin dianggap berat untuk difahami, apatah lagi untuk dijelaskan kepada anak-anak.

Oleh itu berdoalah kepada Allah agar kita diberikan kefahaman yang baik lagi tepat tentang-Nya dan dapat menjelaskannya secara hikmah kepada anak-anak kita.

Sesungguhnya ilmu tauhid dan aqidah adalah ilmu yang penting lagi mulia, maka hendaklah berusaha dan memberi keutamaan kepadanya.

BACA INI JUGA: 25 Janji Allah Kepada Manusia Yang Sentiasa Beristighfar

sumber: hafizfirdaus

1 comment

  1. Lalu ada juga versi Allah tidak bertempat karena dia tidak bergantung pada makhluk ciptaannya. bagaimana ?

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon