Thursday, June 22, 2017

8 Festival Muzik Terbaik Di Seluruh Dunia


Ribuan manusia berkumpul dan bersatu mendengar muzik dari zaman festival muzik era ‘Hippy’ 1960-an lagi dan terus berevolusi ke semua cabang dan aliran muzik.

Dari pentas rancak Electronic Dance Music (EDM) di Belgium hingga ke pentas manifesto seni ‘Burning Man’ di tengah gurun tandus Nevada, saya senaraikan 8 festival muzik terbaik di seluruh dunia yang berbaloi untuk dikunjungi oleh peminat tegar muzik.

1. Burning Man
Lokasi: Nevada, USA
Tema: Steampunk

Burning Man

Seperti berada di lokasi penggambaran filem ‘Mad Max’, festival diadakan di tengah-tengah gurun tandus Nevada, Amerika Syarikat.

Burning Man dicetuskan oleh seorang penggiat seni bernama Lary Harvey sejak 1986 lagi. Dia membakar sebuah tugu unggun api berupa seakan-akan seorang lelaki bagi menandakan hari Soltis musim panas.

2. Songkran
Lokasi: Thailand
Tema: Pesta air

Songkran

Sambutan seluruh Thailand bagi merayakan Tahun Baru Thai yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 April.

Lebih kepada pesta budaya, Songkran bermaksud ‘perubahan’ dan setiap tahun seluruh bandaraya akan bergempita dengan dendangan lagu-lagu Thai, klasik dan moden serta diraikan warga Thai juga pelancong asing.

Festival 'bermain' dan bersiram sesama sendiri, membuatkan pesta air ini mesti dikunjungi sekali seumur hidup.

3. Carnaval De Bahidorá
Lokasi: Cuautla, Mexico
Tema: Hutan, sungai dan alam bunian

Carnaval De Bahidorá

Berlangsung selama 24 jam tanpa henti, Bahidorá bertemakan karnival di dalam hutan dan sungai, dengan pengunjung berpakaian seperti manusia halus Elf.

Muziknya pula gabungan antara Alternative Indie dan Electronica dan ini satu-satunya festival yang mengajar pengunjung melakukan trik sarkas dan asas kayak.

4. FUSION
Lokasi: Larz, Jerman
Tema: Seni, arca dan militari

FUSION

Mengambil tempat di bekas lapangan tentera udara Jerman, FUSION sarat dengan persembahan muzik dan dihiasi perhiasan-perhiasan askar serta arca-arca besar.

Pengunjung disarankan berpakaian beret, melakukan hasil seni dan memainkan peralatan muzik yang boleh menzahirkan manisfeto diri.

Hanya makanan vegetarian sahaja dibenarkan dijual atau dimakan di tapak festival.

5. Montreux Jazz Festival
Lokasi : Montreux, Switzerland
Tema : Muzik jazz

Montreux Jazz Festival

Walaupun ia sebenarnya sebuah festival muzik Jazz, penganjur selalu menjemput nama-nama besar muzik Rock, Pop dan Hip-Hop dari Hollywood.

Dalam salah satu sambutan, pentas yang sepatutnya berpaksikan muzik Jazz ini digegarkan oleh The Chemical Brother, Lionel Ritchie dan Lady Gaga.

Barangkali, penganjur tidak mahu festival Jazz terbesar ini tenggelam dimamah usia, mungkin?

6. Itadaki
Lokasi: Shizuka, Jepun
Tema: Teknologi hijau

Itadaki

Lokasi di sepanjang pesisir pantai Suruga, festival musim panas ini dijana menggunakan bio-diesel.

Konsep mesra alam dibawa kerana penganjur menentang penggunaan petrol yang membawa kemudaratan kepada alam sekitar.

Festival ini benar-benar mengetengahkan budaya maju pemuzik Jepun melalui persembahan berteknologi hijau, lampu-lampu neon dan barisan pemuzik hebat seperti Rhymester, Kemuri dan Shibusashirazu Orchestra.

7. Tomorrowland
Lokasi: Boom, Belgium
Tema: Alam fantasi EDM

Tomorrowland

Bermula hanya di sebuah pekan kecil pada 2005, Tomorrowland berevolusi menjadi antara festival muzik EDM terbesar dunia.

Pernah dibarisi artis-artis EDM bertaraf Hollywood seperti Avicii, Alesso dan David Guetta, ia terus membesar saban tahun dengan 15 pentas muzik, bola disko gergasi dan istana kisah dongeng saiz sebenar.

8. Rainforest World Music Festival
Lokasi: Sarawak, Malaysia
Tema: Hutan hujan, budaya dan etnik

Rainforest World Music Festival

Mengangkat kesenian dan muzik peribumi Borneo, di samping pemuzik-pemuzik peribumi dari serata benua dunia.

Uniknya, mereka memainkan instrumen-instrumen muzik eksentrik yang menyatu dengan bunyi-bunyi alam semula jadi.

Hayati muzik-muzik indah dan mengagumkan ini sambil berlatar belakangkan Gunung Santubong.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: stail

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon