Tuesday, May 02, 2017

Sambutan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) merupakan sambutan pesta buku yang paling berprestij di Malaysia bagi peminat-peminat buku di Malaysia.

PBAKL 2017

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), bersama-sama dengan enam persatuan Industri Buku Malaysia dengan kerjasama dan penyertaan pemain utama industri buku tempatan.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur adalah salah satu acara utama dalam kalendar penerbitan global kerana anda boleh melihat pesta buku jualan termurah di Malaysia.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur menyediakan peluang rangkaian untuk bertemu dengan masyarakat penerbitan tempatan dan antarabangsa.

Sejak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur mula dianjurkan, PBAKL telah mencatatkan lebih 2 juta pelawat setiap tahun.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur adalah tempat yang sempurna untuk pencinta buku mendapatkan buku-buku terbaru dan promosi daripada penerbit di seluruh rantau ini.

Pelancaran buku, seminar, konvensyen dan banyak aktiviti-aktiviti lain di tempat yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat membaca.

Tiket masuk adalah PERCUMA.

Sejarah penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Pameran buku peringkat antarabangsa yang pertama telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1972 dan dikenali sebagai International Exhibition of Book Trade and Industry. Ia dianjurkan oleh pengusaha buku tempatan sempena Tahun Buku Antarabangsa yang diisytiharkan oleh UNESCO.

Selepas itu, beberapa pameran lain yang lebih kecil telah diadakan oleh syarikat-syarikat persendirian. Pada tahun 1976, Persatuan Penerbit Buku Malaysia telah mengadakan “Pameran Buku Kebangsaan” di Dewan Perhimpunan China, Kuala Lumpur dengan harapan untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.

Penglibatan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dalam aktiviti promosi buku bermula pada tahun 1982 melalui penganjuran “Pesta Buku Malaysia” dengan kerjasama persatuan industri perbukuan tempatan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

MBKM, sewaktu penubuhannya pada tahun 1968 dikenali dengan nama Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia (MKBK) manakala urus setianya diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Penubuhan MKBK sebagai sebuah badan khas yang diberi peranan dan tanggungjawab ke arah memajukan bidang perbukuan negara adalah hasil saranan pakar-pakar buku dari Asia Pasifik yang bersidang di Tokyo, Jepun pada tahun 1966 atas undangan UNESCO.

Walaupun pesta buku di peringkat negara dan antarabangsa diadakan buat pertama kalinya pada tahun 1972, namun bagi MBKM, acara “Pesta Buku Malaysia” pada tahun 1982 adalah merupakan aktiviti yang julung-julung kali diadakan secara besar-besaran dengan cara terancang dan berterusan sebagai aktiviti tahunan.

Pada tahun 1988, pesta buku tersebut kemudiannya dikenali sebagai “Pesta Buku Kuala Lumpur” (PBKL) apabila lokasi penganjurannya berpindah ke Changkat Pavillion.

Dari Changkat Pavilion, pesta buku ini dipindahkan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan pada tahun 1991, Pesta Buku Kuala Lumpur sekali lagi telah dijenamakan semula dengan nama “Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur” (PBAKL) atau Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF), apabila penyertaannya dibuka kepada pengusaha buku dari luar negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: klibfmbkm | panduanmalaysia

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon