Friday, May 12, 2017

Hari Yang Di Haramkan Berpuasa Dalam Islam


Selain puasa wajib, Allah turut menggalakkan umat-Nya menunaikan puasa sunat. Hari untuk puasa sunat sudah diketahui umum oleh umat Islam antaranya, puasa 6 hari pada bulan Syawal atau puasa pada hari Isnin dan Khamis.

Hari Di Haramkan Berpuasa

Bagaimana pula dengan hari yang diharamkan puasa? Mungkin ada sesetengah daripada kita yang mengetahui akan hari-hari tersebut tetapi ada juga yang tidak mengetahuinya.

Bagi yang mengetahuinya pula, mungkin tidak mendapat penjelasan kenapa hari-hari tersebut diharamkan berpuasa. Keterangan di bawah mungkin menjawab semua soalan yang bersarang di minda kita.

1. Hari Syak (30 Syaaban)

30 Syaaban dipanggil Hari Syak iaitu hari di mana keesokan harinya umat Islam akan memasuki bulan Ramadhan untuk menjalani ibadah puasa.

Menurut mazhab Syafie, Qaul masyhur Maliki dan Hambali, Hari Syak ialah pada 30 Syaaban, dan mazhab Hanafi mengatakan ianya pada hari terakhir bulan Syaaban.

Ada sesetengah mazhab berpendapat makruh berpuasa pada hari ini dan ada juga yang mengatakannya haram.

Daripada Abu al-Yakzan iaitu Amar bin Yasir r.a katanya, "Sesiapa yang berpuasa pada hari yang diragukan apakah bulan Syaaban sudah habis atau bermulanya sudah bulan Ramadhan, sesungguhnya ia telah melanggar perintah Nabi SAW.” (Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Salah satu bentuk persiapan dalam menghadapi Ramadhan yang seharusnya dilakukan oleh kaum Muslimin adalah menghitung bulan Syaaban, kerana satu bulan dalam hitungan Islam adalah 29 hari atau 30 hari sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah SAW, “Satu bulan itu 29 malam. Maka jangan berpuasa sampai kalian melihatnya (anak bulan). Jika kalian terhalang (dari melihatnya), maka genapkanlah 30 hari.” (al-Bukhari).

2. 1 Syawal (Hari Raya Aidilfitri)

Pada 1 Syawal umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.

Hari ini sememangnya hari yang dinanti oleh umat Islam. Waktu inilah masa yang diambil untuk bermaafan dan berkunjung ke rumah saudara mara.

Dari Umar bin Khattab ra., ia berkata bahwa dua hari ini hari yang dilarang Rasulullah SAW untuk berpuasa, iaitu hari raya Aidilfitri setelah kalian berpuasa (Ramadhan) dan hari raya makan (daging korban) setelah kalian menunaikan ibadah haji.

Antara hikmah diharamkan berpuasa seperti yang disebut dalam hadis di atas ialah ketika semua orang bergembira, seseorang itu hendaklah turut bersama meraikannya.

3. 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha)

Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah merupakan hari di mana umat Islam meraikan Hari Raya Korban. Hari Raya Korban yang membawa maksud hari penyembelihan binatang ternakan bagi yang berkemampuan.

Hari ini sehingga 13 Zulhijjah umat Islam yang berkemampuan dianjurkan atau disunatkan menyembelih binatang ternak untuk dikorbankan.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: “Rasulullah SAW melarang puasa pada dua jenis hari. Iaitu pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal).”

Amalan korban dan ibadah korban ini tidak ada di bulan yang lain, hanya di bulan Zulhijjah. Ia merupakan pengorbanan dari binatang peliharaan untuk mencapai darjat hamba ALLAH yang bertaqwa, sebagaimana ALLAH S.W.T menyatakan perintah berkorban ini di dalam Al-Quran.

4. Hari Tasyrik pada 11,12,13 Zulhijjah

Hari Tasyrik yang jatuh pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah iaitu pada hari ke-2 hingga ke-4 Hari Raya Korban. Hari tersebut umat Islam juga diharamkan untuk berpuasa.

Berkorban dengan melakukan penyembelihan binatang ternakan selama 4 hari berturut-turut (pada 10, 11,12 dan 13) di bulan Zulhijjah bagi orang-orang yang berkemampuan, adalah satu tuntutan syariat yang telah ditentukan.

Dari Nubaisyah Al-Hudzali r.a katanya, “Rasulullah SAW bersabda: Hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari-hari makan minum.”

Oleh yang demikian hari ini diharamkan berpuasa. Umat Islam diharamkan berpuasa pada hari ini kerana mereka masih lagi meraikan Hari Raya Korban.

Kita sedia maklum yang ibadah korban yang dijalankan adalah berupa penyembelihan binatang peliharaan seperti lembu, biri-biri, kambing dan binatang peliharaan yang dibenarkan dalam Islam.

Ibadah ini dilakukan dengan penuh keikhlasan beserta niat kerana ALLAH SWT.

BACA INI JUGA: Kenapa Umat Islam Diwajibkan Berpuasa?

sumber: pokokkekden

2 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon