Monday, May 08, 2017

Burung Botak Padi Spesis Migrasi Dari Benua India


Lebih dikenali sebagai Painted Stork (Myceteria leucocephala) atau burung botak padi, tidak ramai yang mengetahui ia merupakan spesies burung migrasi dan bukan berasal dari Malaysia.

Burung Botak Padi

Burung botak padi dipercayai berasal dari benua India dan boleh ditemui di sekitar Asia Tenggara seperti Vietnam, Myanmar dan Kemboja.

Persamaan

Di Malaysia terdapat satu spesies burung yang mempunyai persamaan dengan burung botak padi iaitu Milky Stork (Mycteria cinerea) atau burung botak upeh.

Apa yang membezakan ialah warna bulunya kerana burung botak upeh hanya mempunyai warna putih dan hitam sahaja manakala burung botak padi memiliki tambahan warna merah jambu di bahagian sayap.

Selain itu, burung botak upeh hanya boleh ditemui di daerah Kuala Gula, Kuala Krau, Perak berbanding burung botak padi yang banyak terdapat di sekitar Lembah Klang.

Burung botak padi dipercayai dibawa masuk ke negara ini ketika awal penubuhan Zoo Negara sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung.

Selepas beberapa dekad, populasinya semakin bertambah dan menyebabkan sebahagian daripadanya berhijrah ke lokasi lain sekitar Lembah Klang untuk mencari makanan.

Selain sekitar Bangi, burung tersebut boleh ditemui di Putrajaya, Shah Alam, Kuala Selangor dan Rawang dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Burung tropika

Burung botak upeh

Burung botak padi merupakan spesies burung tropika yang lazim ditemui di kawasan air tawar, paya bakau atau tasik.

Ia bersarang di atas pokok dan menggunakan paruhnya yang keras dan panjang untuk menangkap ikan, katak, cicak atau serangga sebagai makanan.

Sifat burung ini yang tahan lasak membolehkan ia menyesuaikan diri dengan kehidupan di dalam bandar apatah lagi mempunyai banyak sumber makanan.

Biarpun begitu, ia tidak menganggu manusia kecuali sering ditemui di atas pencawang elektrik atau tiang-tiang lampu di lebuh raya.

Seperti spesies burung lain, ia hidup secara berkumpulan dan membiak sekitar November hingga Mei bergantung kepada habitatnya.

Seekor burung betina mampu bertelur antara dua hingga lima biji. Ia akan bertelur setahun sekali.

Burung botak padi dewasa mampu mencecah antara 93 hingga 102 sentimeter (cm) dan berat antara dua hingga tiga kilogram (kg).

Secara tidak langsung, kehadiran burung botak padi di negara ini memberi nilai tambah terhadap spesies burung tempatan.

Selain itu, ia juga dapat menjadi sebahagian daripada ekosistem di kawasan air tawar, paya bakau dan tasik.

Kecantikan burung ini sentiasa mengundang perhatian peminat burung tempatan malah ia juga menjadi daya penarik pengunjung ke Tasik Shah Alam atau di Tasik Putrajaya.

Orang ramai dilarang untuk menangkap atau memburu spesies burung ini memandangkan ia merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

BACA INI JUGA: Sains Dan Al-Qur'an Membuktikan Burung Gagak Haiwan Paling Bijak!

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon