Monday, April 10, 2017

Serangan Terbaharu AS Bukti Syria Medan Perang Dunia Ketiga?


1. Kenapa Amerika Syarikat (AS) tergesa-gesa menyerang Syria tanpa menunggu hasil siasatan penuh tragedi senjata kimia oleh badan bebas?

Perang Dunia Ketiga

Kenapa Donald Trump mungkir janji kempen pilihan raya untuk bekerjasama dengan Bashar serta Rusia bagi menyelesaikan konflik Syria?

Adakah serangan Donald Trump ini mengundang tindakbalas yang jauh lebih agresif dari Syria dan Rusia sekaligus menjerumuskan Timur Tengah ke kancah Perang Dunia Ketiga?

2. Pergolakan dalaman di Rumah Putih: Donald Trump awalnya pro-Rusia, lihat sahaja manifesto dan ucapan kempennya ketika menentang Hillary Clinton dahulu.

Namun, kemenangan beliau dalam pilihan raya AS mula disiasat kerana disyaki ada campur tangan Kremlin. Penasihat Keselamatan yang dilantik, Michael Flynn turut meletak jawatan kerana mempunyai hubungan dengan Rusia.

Penasihat strategik Donald Trump, Steve Bannon juga digugurkan daripada Majlis Keselamatan Negara AS. Banyak usaha Donald Trump turut ditekan oleh Kongres dan kehakiman.

Kesemua perkembangan terkini politik dalaman AS ini berkemungkinan besar menjelaskan sebab Donald Trump terpaksa bertindak tegas terhadap Rusia dan Syria, berbeza dengan manifesto pilihan raya beliau dahulu.

3. AS melancarkan serangan ke atas Lapangan Tentera Udara Shayrat, Homs milik Syria dengan 59 peluru berpandu Tomahawk dibedil dari dua kapal perang AS di Laut Mediterranean, iaitu USS Ross dan USS Porter.

Sasarannya ialah pesawat pejuang, pelindung pesawat pejuang, simpanan logistik dan petroleum, kubu bekalan peluru, sistem pertahanan udara dan radar.

Donald Trump berkata serangan ini untuk ‘mencegah penyebaran dan penggunaan senjata kimia’.

AS memaklumkan bahawa mereka telah memberi amaran kepada Rusia sebelum menyerang dan mereka mengetahui adanya kehadiran tentera Rusia di kawasan serangan yang mereka sasarkan.

4. Asas serangan AS ialah dakwaan bahawa kerajaan Syria pimpinan Bashar al-Assad yang bertanggunjawab menggunakan senjata kimia gas Sarin di Khan Al Shekhoun.

Terdapat saksi yang menuduh pesawat Sukhoi 22 milik kerajaan Syria melancarkan senjata kimia tersebut.

5. Sebaliknya Rusia menuduh senjata kimia itu milik puak pemberontak Syria, kerana ia sama seperti kesan senjata kimia yang digunakan puak pemberontak di Aleppo tahun lalu.

Maka Kremlin menegaskan tindakan puak pemberontak Syria yang menyimpan senjata kimia di Idlib yang sepatutnya disiasat dan dipersalahkan.

Rusia turut menggunakan kuasa veto terhadap usaha AS, Perancis dan UK di PBB untuk mengenakan sekatan terbaru ke atas Syria kerana tiada usaha siasatan terperinci oleh badan bebas dilakukan.

6. Penasihat Keselamatan Nasional AS yang baharu, H.R. MacMaster berhujah: ‘serangan udara AS ini memang tidak akan menghapuskan keupayaan Assad untuk melancarkan serangan senjata kimia sekali lagi, namun ia memadai bagi mengubah perkiraan Assad selepas ini’.

7. Pastinya tidak menghairankan apabila antara kumpulan yang menyambut baik serangan udara Donald Trump ke atas Syria ini ialah pemberontak bersenjata Syria seperti Ahrar Al Sham yang ‘mengalu-alukan sebarang campur tangan AS yang boleh mencegah keupayaan rejim Assad’.

8. Dmitry Peskov jurucakap Presiden Putin menegaskan serangan Tomahawk ini memburukkan hubungan AS-Rusia.

Serangan tersebut disifatkan sebagai ‘serangan ke atas negara berdaulat dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa’.

Rusia menegaskan bahawa AS ‘mengambil tindakan tanpa berfikir panjang dan akan memburukkan keadaan keselamatan global sedia ada’.

9. Akibatnya, Rusia menggantung perjanjian keselamatan udara Syria dengan AS dan menggesa mesyuarat tergempar diadakan di Majlis Keselamatan PBB bagi membincangkan serangan AS ini.

Rusia menurut Mejar Jeneral Igor Konashenkov juga sudah pun mengambil keputusan memperluaskan penglibatan tentera Rusia di Syria melalui program peningkatan sistem pertahanan udara.

Rusia menegaskan AS sebenarnya memang bersedia untuk menyerang Syria sebelum peristiwa senjata kimia di Idlib lagi berdasarkan posisi kapal tentera laut AS berkenaan.

10. Naib utusan Rusia ke PBB, iaitu Vladimir Safronkov pernah memberi amaran sebelum ini tentang akibat kemungkinan serangan tentera AS ke atas Syria.

Beliau memberi contoh situasi huru-hara anarki di Iraq dan Libya apabila jalan pertumpahan darah diambil mengatasi jalan rundingan telus.

11. Dalam keadaan rejim Bashar mula kukuh susulan kemenangan di Aleppo, serangan Donald Trump ini cukup berpotensi untuk memberi isyarat kemungkinan campur tangan AS yang lebih agresif pada masa depan.

Sekaligus, rejim Bashar dengan sokongan Rusia (dan juga China) bakal mengatur posisi strategik ketenteraannya ke tahap yang lebih maksimum!

nota editor: ABDUL MUEIN ABADI, Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

BACA INI JUGA: Bukti Persediaan Perang Dunia Ketiga!?

sumber: sinarharian

4 comments

  1. Perang dunia ketiga dah tak lama dah.. percaturan mereka (zionis) akan mereka laksanakan dengan jayanya.. kalau tak.. tak tercapai impian new world order mereka

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul dan pasti akan merebak ke seluruh dunia.

      Delete
  2. bila baca sejarah, ianya adalha petanda dekat dah kiamat

    ReplyDelete
  3. memang seram kalo betul terjadi nama peperangan ke 3

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon