Islamofobia merujuk kepada istilah kontroversi, prasangka dan diskriminasi terhadap Islam dan Muslim dan istilah itu sendiri sudah digunakan sejak tahun 1980-an tetapi menjadi popular selepas serangan 11 September 2001.
Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai "rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam."
Islamofobia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka dari kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.
Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada (dikenali) sebagai satu agama.
Abstrak
Beberapa insiden keganasan yang berlaku di dunia seringkali dikaitkan dengan umat Islam biarpun pada hakikatnya ianya dilakukan juga oleh penganut agama yang lain.
Kejadian pembunuhan lebih 120 orang di Paris, peristiwa 11 September 2001 yang telah mengorbankan kira-kira 2996 nyawa diikuti oleh pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 melibatkan kematian 191 orang dan pengeboman di London pada 7 Julai 2005 yang meragut 52 nyawa oleh pengganas yang disyaki Muslim telah memburukkan lagi imej Islam di mata masyarakat dunia.
Seiring dengan perkembangan negatif ini, istilah Islamofobia telah menjadi popular dalam memberikan gambaran tentang persepsi masyarakat terhadap umat Islam dan Islam itu sendiri.
Ini juga dibuktikan dengan penerbitan beberapa filem berunsur Islamofobia seperti filem “Innocence of Muslim’ arahan Sam Becille yang secara jelas menghina Islam dan Rasulullah SAW serta menunjukkan salahfahaman terhadap Islam itu sendiri.
Fenomena Islamofobia semakin hari semakin popular dan memberikan implikasi pelbagai kepada kehidupan umat Islam sehinggakan Pertubuhan Negara-negara Islam telah menubuhkan “OIC Islamofobia Observatory” bagi memantau perkembangan isu ini dan juga mengambil inisiatif usaha-usaha ke arah membetulkan persepsi negatif terhadap Islam.
Walaupun istilah Islamofobia ini hanya digunakan secara meluas oleh media dan ahli akademik di sekitar 1990an, namun pada hakikatnya fenomena Islamofobia telah pun berlaku sejak permulaan pengembangan Islam di Makkah dalam bentuk yang berbeza.
Di Malaysia, Islamofobia juga terus berlaku di mana insiden-insiden yang melibatkan sensitiviti agama antara menjadi halangan bagi mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat yang pluralistik.
Sehubungan dengan topik Islamofobia yang terus berlaku dan dibincangkan, artikel ini akan mengupas dan cuba memberikan kefahaman terhadap beberapa isu, aspek, konsep, manifestasi, implikasi, bentuk, faktor-faktor Islamofobia termasuk menggariskan beberapa langkah yang boleh diusahakan dalam membetulkan persepsi masyarakat terhadap Islam.
1.0 Pendahuluan
Mahu tidak mahu, sememangnya tidak dapat dinafikan peristiwa keruntuhan menara Pusat Perdagangan Dunia di New York pada 11 September 2001 telah menjadi pencetus utama kepada fenomena Islamofobia.
Kejadian pembunuhan yang melibatkan lebih 120 orang mati di Paris baru-baru ini memburukkan lagi keadaan Islamofobia masyarakat antarabangsa kepada Islam.
Peristiwa ini telah memberikan kesempatan yang meluas kepada ramai pihak terutamanya musuh Islam untuk terus memberikan gambaran buruk terhadap Islam.
Bahkan telah terdapat gerakan secara teratur dan dibiayai sepenuhnya oleh pihak tertentu untuk mempromosi dan menyebarkan propaganda mengenai Islamofobia kepada masyarakat dunia.
Ironinya, walaupun terdapat banyak lagi gerakan yang mempelopori keganasan seperti Liberation Tigers of Tamil Elam di Sri Lanka, gerakan Khalistani di India, Pemberontak Ireland Utara, ‘Basque separatists’ di Sepanyol, Zionis Israel dan Ku Klux Clan di Amerika, kumpulan-kumpulan ini tidak pula dianggap sebagai mewakili agama mereka dan tiada istilah Kristianofobia atau Hindufobia atau Judaismofobia dikaitkan dengan mereka.
Ini membuktikan bahawa fenomena Islamofobia yang berlaku di dunia ini bukanlah disebabkan oleh jenayah keganasan umat Islam sahaja tetapi ianya juga berkaitan dengan faktor-faktor lain yang perlu diberikan perhatian secara serius oleh umat Islam.
Seiring dengan perkembangan Islamofobia ini, penulis merasakan bahawa kefahaman dan kesedaran yang secukupnya perlu diberikan kepada masyarakat umum mengenai isu ini.
Maklumat dan informasi yang betul berdasarkan fakta dan bukti-bukti sahih mengenai Islamofobia akan dapat memberikan kefahaman yang sebaiknya dan seterusnya sedikit sebanyak akan membetulkan salah tanggapan ramai terhadap Islam.
Sehubungan dengan itu, artikel ini akan secara khusus membicarakan tajuk Islamofobia dengan membincangkan isu-isu berkaitan, konsep, manifestasi, implikasi, bentuk, faktor-faktor Islamofobia termasuk menggariskan beberapa strategi yang boleh diusahakan dalam membetulkan persepsi masyarakat terhadap Islam.
2.0 Memahami Konsep Islamofobia
Memahami konsep Islamofobia adalah perkara yang amat penting sebelum kita dapat membicarakan dengan lebih lanjut aspek lain yang berkaitan dengannya.
Bahagian dua artikel ini akan membincangkan konsep Islamofobia secara umum dari sudut pentakrifan, bentuk dan manifestasi.
Penjelasan terhadap ketiga-tiga aspek ini akan dapat memberikan kefahaman yang sewajarnya mengenai konsep Islamofobia secara umum.
2.1 Definisi
Sekiranya dirujuk dan diperhatikan di dalam media massa dan saluran yang lain, istilah lain yang hampir sama dengan Islamofobia juga digunakan bagi merujuk kepada fenomena kebimbangan atau fobia kepada Islam.
Istilah seperti ‘Muslim radicalization’, ‘anti-Muslim hate crime’, ‘anti-Islamic phenomena’, ‘xenophobia’ dan ‘religiously based hate crimes’ juga sering kali digunakan.
Namun, Islamofobia masih menjadi istilah yang lebih popular dan ianya kini diterimapakai secara meluas di akhbar, majalah, media elektronik dan lain-lain saluran.
Berdasarkan sorotan literatur, istilah Islamofobia ini telah mula digunakan di Perancis oleh Etienne Dinet dan Slima Ben Ibrahim pada 1925 di dalam bukunya “Acces De Delire Islamophobe”.
Istilah Islamofobia ini walaubagaimanapun tidak popular dan ianya juga sama sekali tidak menjadi isu pada waktu itu.
Di Amerika, Islamofobia ini sebenarnya telah mula digunakan pada 1991 melalui satu artikel di dalam majalah ‘Insight’, namun masyarakat tidak ambil kisah dan tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap fenomena Islamofobia ini.
Akhirnya istilah Islamofobia ini semakin popular dan mencapai kemuncak penggunaannya selepas 11 September 2001 diikuti dengan pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 dan pengeboman di London pada 7 Julai 2005.
Secara umumnya Islamofobia ini merujuk kepada rasa fobia atau kebimbangan terhadap Islam sama ada pada penganutnya, ajarannya, budayanya dan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam.
Menurut Pelapor Khas PBB, Islamofobia bermakna “suatu permusuhan dan ketakutan tidak berasas terhadap Islam dan akibat ketakutan atau kebencian pada orang Islam atau majoriti daripada mereka”.
Pentakrifan yang hampir sama diberikan oleh Laporan ‘Commission on British Muslims and Islamofobia’ yang menyatakan bahawa ianya merujuk kepada “dread or hatred of Islam and, therefore, to fear or dislike all or most Muslims”atau “irrational fear of Islam or anti-Muslim racism and continuation of anti-Asian and anti-Arab racism”.
Melalui pentakrifan ini, dapatlah disimpulkan bahawa Islamofobia ini merujuk kepada persepsi negatif terhadap Islam dalam bentuk diskriminasi pelbagai yang dimotivasikan oleh ketakutan dan kebimbangan terhadap Islam atau umat Islam.
Persepsi negatif yang terbina akibat fobia terhadap Islam ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek dan ini merangkumi pandangan serong terhadap undang-undang, nilai-nilai dan budaya yang dibawa oleh Islam.
Persepsi negatif yang terbentuk ini disahkan dengan Laporan yang dibuat oleh Runnymede di London bertajuk ‘Islamofobia: A Challenge for Us’ All yang secara khusus menyatakan bahawa “Islam is perceived as a monolithic block, static and unresponsive to change; it is viewed as separate and “other”; it does not have values in common with other cultures, is not affected by them and does not influence them. Islam is seen as inferior to the West; it is considered barbaric, irrational, primitive and sexist; Islam is seen as violent, aggressive, threatening, and supportive of terrorism and engaged in a “clash of civilizations.”
Rumusan yang dibuat Runnymede ini mengesahkan bahawa Islam telah disalahfahami secara serius oleh ramai pihak terutamanya masyarakat bukan Islam di barat.
Sehubungan dengan itu, persepsi yang salah ini perlu diperbetulkan segera bagi memastikan Islam yang menjadi rahmat sekalian alam ini difahami atau tidak disalahtanggapi.
Sesungguhnya, tanggungjawab ini mestilah dipikul oleh setiap individu Muslim termasuk institusi-institusi, badan-badan dan pertubuhan Islam.
2.2 Bentuk Islamofobia
Akibat daripada persepsi negatif terhadap Islam, diikuti dengan rasa kebimbangan atau ketakutan yang tidak berasas, Islamofobia ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bentuk diskriminasi dan ketidakadilan.
Dalam hal ini, Islamofobia boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk. Penulis mengklasifikasi Islamofobia ini kepada beberapa kategori iaitu ‘institutional Islamophobia’ dan ‘non-Institutional Islamophobia’, ‘Islamophobia of the State’, ‘dominant Islamophobia’ dan ‘non-dominant Islamophobia’ dan ‘unconscious Islamophobia’.
‘Institutional Islamophobia’ merujuk kepada organisasi atau mana-mana pertubuhan yang mendiskriminasi berdasarkan identiti agama. ‘Non-Institutional Islamophobia’ berlaku apabila ianya melibatkan Islamofobia oleh individu.
Islamofobia diperingkat institusi seperti organisasi tertentu, syarikat dan badan korporat lebih memberikan implikasi berbanding individu.
Islamofobia di peringkat institusi ini kebiasaannya melibatkan diskriminasi sama ada dalam bentuk penafian peluang pekerjaan, kenaikan pangkat, hak-hak beragama sewaktu bekerja dan sebagainya.
‘Islamophobia of the State’ atau Islamofobia yang melibatkan polisi negara adalah sesuatu yang perlu dibendung.
Melalui Islamofobia ini, amalan sistematik yang mendiskriminasi berdasarkan identiti agama boleh berlaku terutamanya di jabatan atau kementerian sesebuah kerajaan.
Akibatnya Muslim atau institusi dimiliki Muslim yang berhubung atau mempunyai apa-apa perhubungan dengan kerajaan sebegini akan mengalami pelbagai masalah dan memberikan pelbagai implikasi negatif.
“Dominant Islamophobia” merujuk kepada Islamofobia yang berlaku di negara majoriti bukan Islam dan ’non-dominant Islamophobia” apabila ianya berlaku di negara majoriti Muslim.
Islamofobia yang berlaku di negara majority Muslim adalah berbeza dengan negara yang penduduk Muslimnya adalah minoriti.
“Dominant Islamophobia’ adalah lebih membimbangkan kerana Muslim minoriti ini akan lebih berpotensi untuk didiskriminasi dan dilayan dengan tidak adil.
“Unconscious Islamophobia” pula bermaksud Islamofobia yang berlaku secara tidak disedari. Ini kerap berlaku dikalangan bukan Islam dan ianya boleh juga terjadi kepada Muslim itu sendiri.
Kenyataan yang menghina dan mempertikaikan undang-undang Islam dan hak-hak asasi manusia dalam Islam oleh golongan tertentu misalnya boleh dianggap sebagai fenomena Islamofobia yang tidak disedari.
Bentuk-bentuk Islamofobia di atas menunjukkan bahawa fenomena Islamofobia ini memberikan kesan kepada persepsi masyarakat dan ianya boleh berlaku dalam bentuk ekspresi individu dan juga institusi termasuk melalui dasar dan polisi sebuah Negara.
Setelah mengenalpasti bentuk Islamofobia ini, maka segala strategi untuk mengatasi perkara ini hendaklah juga berdasarkan klasifikasi atau pembahagian ini. Ini bagi memastikan sebarang usaha ke arah membetulkan persepsi masyarakat dalam isu Islamofobia ini dapat dilakukan secara berkesan.
2.3 Manifestasi Islamofobia
Manifestasi Islamofobia merujuk kepada situasi di mana persepsi negatif atau kebimbangan atau kebencian kepada Islam itu dizahirkan dalam bentuk ekspresi intelektual seperti penulisan karya ilmiah atau perbuatan yang merangkumi keganasan, protes dan gerakan Islamofobia itu sendiri.
Penulis akan membincangkan kategori manifestasi Islamofobia ini kepada lima bahagian iaitu:-
2.3.1 Media
Peranan media dalam membentuk pendapat umum sememangnya tidak dapat dinafikan. Media yang pro-barat dan sentiasa mengambil peluang untuk memberikan imej yang buruk kepada Islam sudah pasti akan terus menyebarkan berita-berita yang menggambarkan kenegatifan Islam.
Misalnya penerbitan filem ‘Fitna’ oleh ahli politik Belanda bernama Geert Wilders yang kemudiannya disiarkan secara berleluasa menyebabkan masyarakat umum mempunyai pandangan yang amat negatif terhadap Islam khususnya al-Quran.
Ini diikuti dengan liputan yang sangat berat sebelah mengenai kes pembunuhan Marwa al-Sherbini di Dresden, Jerman pada 1 Julai 2009 yang bermotifkan benci dan salah faham terhadap Islam.
Media juga menghangatkan lagi isu kontroversi seperti pembinaan masjid di ’Ground Zero’, ’Tea Party Movement’ dan gerakan pengharaman Shari’ah yang menanamkan kebencian terhadap muslim di Amerika.
2.3.2 Intelektual
Tren politik dan ideologi semasa kuat dipengaruhi oleh legitimasi intelektual dan saintifik terhadap elemen perkauman, ’xenophobia’ dan sikap tidak bertoleransi.
Tren ini jelas kelihatan dalam sejumlah buku yang diterbitkan oleh beberapa penulis dengan tujuan untuk memanfaatkan peluang dalam meningkatkan gejala Islamofobia dan mengubah imej Islam kepada yang lebih negatif.
Antara karya yang cuba untuk memberikan gambaran negatif terhadap Islam dan seterusnya menyuburkan Islamofobia ialah ‘Legacy of Jihad’, ‘While Europe Slept: How Radical Islam is Destroying the West from Within’ dan ‘Muslim Mafia: Inside the Secret Underworld That’s Conspiring to Islamize America’.
Bukan itu sahaja, ucapan kontroversi Pope Benedict XVI yang menghina Nabi Muhammad dan mempertikaikan al Quran merupakan salah satu manifestasi intelektual dalam konteks Islamofobia.
2.3.3 Politik dan Perundangan
Persepsi kebencian dan kebimbangan terhadap Islam ini juga dizahirkan dalam politik dan perundangan. Umpamanya di Switzerland, akibat dari kempen anti Islam yang dipelopori oleh Daniel Streich, undang-undang telah dipinda bagi mengharamkan pembinaan menara-menara masjid.
Walaupun ianya melanggar hak asasi umat Islam di Switzerland, bahkan dikecam oleh pelbagai kerajaan, badan bukan kerajaan, badan hak asasi, termasuk Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ’Amnesty International’, pindaan undang-undang ini tetap diteruskan atas faktor kuatnya kemahuan politik dalam isu ini.
Ini ditambah lagi dengan gerakan anti Islam yang diketuai oleh ahli politik Belanda bernama Geert Wilders yang memusuhi Islam atas dasar populariti dan politik.
Walau bagaimanapun, Daneil Streich akhirnya telah memeluk Islam dan kini merupakan aktivis Muslim yang terkehadapan di Switzerland.
2.3.4 Struktur
Manifestasi struktur merujuk kepada diskriminasi atas sebab Islamofobia dalam pelbagai sektor seperti masalah dalam mendapat keperluan asas, peluang pekerjaan, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Banyak insiden yang berlaku menunjukkan situasi Islamofobia berstruktur ini semakin meningkat.
Sebagai contoh, kes BBC mengenai perlantikan seorang Muslim yang dianggap ‘penghinaan’ bagi orang Kristian. Di Itali, wanita muslim yang bekerja sebagai pencuci dianggap sebagai satu ‘ancaman keselamatan’. Lebih berat lagi, di Jerman, ada doktor yang enggan merawat seorang remaja Muslim yang bernama Jihad.
Begitu juga di Kanada apabila pelajar muslimah di Kanada telah dibuang sekolah hanya kerana tidak mahu menanggalkan tudung.
Kes-kes ini membuktikan bahawa Islamofobia ini telah memberikan kesan kepada kehidupan umat Islam dalam pelbagai bentuk khsususnya di negara majoriti bukan Islam.
2.3.5 Manifestasi Protes dan Keganasan
Kebencian terhadap Islam juga diterjemahkan dalam bentuk protes dan lebih teruk lagi keganasan atau jenayah.
Penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad oleh Kurt Westergaard di Denmark membuktikan Islamofobia yang dizahirkan melalui kartun.
Peristiwa membakar al-Quran sepanjang 9 bulan dari September 2010 hingga April 2011 di Amerika termasuk kempen untuk membakar al-Quran oleh Pastor Terry Jones menunjukkan manifestasi protes kesan daripada Islamofobia.
Bahkan keganasan juga berlaku di mana ada Muslim yang di tembak di Amerika setelah menunaikan solat Jumaat, di Nevada, polis menahan Muslim yang menunaikan solat di tempat letak kereta dan peristiwa pembunuhan kejam Marwa El Sharbini di dalam Mahkamah di Dresden, Jerman akibat daripada perasaan benci yang tidak berasas kepada Islam.
3.0 Islamofobia: Antara Persepsi dan Realiti
Persepsi adalah suatu perkara yang dibentuk melalui fakta yang kadangkala sahih dan ada yang tidak tepat.
Sekiranya persepsi itu dibentuk melalui fakta yang tidak benar, sudah pastilah persepsi itu akan menimbulkan kesan yang sangat negatif kepada sesuatu perkara.
Dalam erti kata lain persepsi tidak semestinya melambangkan realiti dan kerap kali realiti itu tidak diendahkan atau diabaikan oleh kerana persepsi yang terbina melalui fantasi.
3.1 Antara Persepsi dan Realiti
Islamofobia pada hakikatnya terbina melalui pembentukan persepsi berdasarkan kepada fakta yang tidak tepat atau kurang lengkap.
Ditambah dengan propaganda dan gerakan memburukkan imej Islam termasuk sikap dan tindakan segelintir Muslim juga telah meningkatkan persepsi negatif terhadap Islam.
Sekiranya dirujuk kepada kajian, laporan dan maklumat mengenai keganasan dan jenayah, persepsi umum mengatakan bahawa Muslim sinonim dengan ’terrorism’ adalah tidak tepat. Fakta membuktikan bahawa keganasan dilakukan juga oleh penganut agama lain.
Sebagai bukti, artikel ini merujuk kepada data dimiliki Federal Bureau Investigation, United States mengenai serangan pengganas di Amerika sepanjang 1980-2005.
Fakta oleh FBI ini mengesahkan bahawa serangan pengganas di Amerika didominasi oleh golongan ’Latino’ atau pengganas daripada Amerika Selatan seperti Mexico, Colombia dan lain-lain iaitu 42% diikuti oleh ’Extreme Left Wing Groups’ 24% dan lain-lain 16%.
Bahkan pengganas yahudi mewakili 7% yang menunjukkan golongan yahudi adalah lebih ramai melakukan keganasan berbanding Muslim.
Data ini secara jelas membuktikan bahawa diskriminasi dan fenomena Islamofobia yang berlaku di dunia ini hanyalah berdasarkan persepsi dan bukan realiti.
Bahkan Muslim hanya mewakili kelompok kecil pengganas dan tidak signifikan berbanding dengan pengganas yang lain.
Berdasarkan fakta ini juga membuktikan bahawa persepsi mengatakan bahawa Islam mempromosi keganasan dan sinonim dengan jenayah awam adalah tidak tepat serta sangat berlawanan dengan fakta dan realiti.
3.2 Persepsi kepada Ekspresi
Walaupun hanya melalui persepsi, kebencian terhadap Islam ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bentuk dan memberikan implikasi yang tidak baik kepada umat Islam dan imej Islam itu sendiri.
Islamofobia mampu memberi implikasi yang amat signifikan kepada kehidupan umat Islam dan keharmonian masyarakat umumnya dan ianya juga memberi kesan kepada pembangunan sosio-ekonomi termasuk kesan mental dan fizikal individu.
3.2.1 Diskriminasi dan Perasaan Prejudis
Menurut kajian oleh ’The Pew Forum on Religion and Public Life’ mengenai Islamofobia di Amerika, fenomena diskriminasi terhadap Muslim adalah tinggi.
Didapati bahawa enam daripada sepuluh iaitu (58%) bersetuju mengatakan bahawa diskriminasi terhadap Muslim mempunyai kebarangkalian yang amat tinggi.
Ini disahkan oleh kajian yang dijalankan oleh USA Today Gallup Poll dan mendapati bahawa rakyat Amerika mengakui mempunyai prejudis kepada Muslim iaitu kira-kira empat daripada sepuluh (39%).
3.2.2 Kesan Kepada Sosio-ekonomi
Islamofobia juga memberikan kesan kepada pembangunan sosio-ekonomi. Diskriminasi terhadap umat Islam dalam bidang pendidikan, tempat kerja, peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan sebagainya juga memberikan impak kepada kehidupan umat Islam terutamanya di negara majoriti bukan Islam.
Hak-hak asas kehidupan berpotensi untuk diketepikan dan akibatnya ia mampu mengganggu pembangunan sosio ekonomi sesebuah negara.
Sebagai contoh, negara miskin seperti Somalia, Afghanistan dan lain-lain akan kurang mendapat bantuan antarabangsa oleh kerana faktor Islamofobia.
3.2.3 Kesan Mental dan Fizikal
Islamofobia juga mampu memberi kesan kepada mental dan fizikal. USA Today Gallup Poll melaporkan bahawa 22% daripada responden yang ditemubual mengakui bahawa mereka tidak mahu berjiran dengan Muslim dan 18% berasa gementar jika ada wanita Muslim sama-sama berada di dalam kapal terbang dan 31% jika penumpang adalah lelaki muslim.
Ini menunjukkan keadaan mental yang terganggu kepada mereka yang mempunyai persepsi negatif dan ketakutan kepada Islam. Kesan penganiayaan individu dan kerosakan fizikal juga berlaku akibat Islamofobia.
Menurut ‘OIC Observatory Report’ insiden berkaitan mencemar kesucian masjid meningkat sebanyak 100% dan penodaan terhadap perkuburan Islam sebanyak 75%.
Insiden keganasan dan gangguan terhadap Muslimah berpurdah dan burqah juga meningkat sebanyak 500% dan sikap tidak bertoleransi terhadap simbol-simbol suci Islam lebih dari 100%.
4.0 Faktor Islamofobia
Kajian dilakukan oleh Henk Dekker dan Jolanda van der Noll bertajuk ’Islamophobia and Its Origins: A study Among Dutch Youth’ terhadap 580 remaja di Belanda pada 2006 telah mengesahkan bahawa 54% daripada responden mempunyai pandangan negatif tentang Islam dan Muslim.
Antara rumusan penting kajian ini ialah kesimpulan yang dibuat mengenai faktor-faktor Islamofobia.
Kajian ini mengesahkan bahawa terdapat faktor luaran dan dalaman yang membina persepsi negatif bukan Islam dan seterusnya meningkatkan rasa kebimbangan atau kebencian mereka terhadap Islam atau umat Islam.
4.1 Faktor Luaran
4.1.1 Penghijrahan
Penghijrahan orang Islam ke negara majoriti bukan Islam merupakan antara faktor terjadinya Islamofobia. Faktor kemunduran ekonomi dan masalah kesempitan hidup menyebabkan ramai umat Islam berhijrah ke negara maju.
Situasi ini menyebabkan persaingan peluang pekerjaan kepada rakyat negara itu dan juga menggugat taraf ekonomi mereka.
Terdapat juga segelintir umat Islam yang berhijrah ini melakukan pelbagai jenayah dan tidak menghormati budaya negara itu.
Ini adalah antara faktor menyebabkan masyarakat negara itu memandang serong kepada orang Islam dan melihat imej Islam sebagai sesuatu yang negatif.
4.1.2 Kurang Ilmu Pengetahuan dan Pendedahan
Kejahilan dan kurang pengetahuan orang bukan Islam juga dilihat antara punca Islamofobia. Sistem pendidikan sedia ada tidak mempunyai aspek khusus untuk mendedahkan masyarakat dengan sebarang ajaran Islam.
Dengan kurangnya ilmu pengetahuan dan tiadanya pendedahan terhadap ajaran Islam di peringkat rendah dan tinggi, Islam akhirnya dilihat sebagai sesuatu yang menggugat gaya hidup dan ganas termasuk mempromosi ketidakadilan terutamanya apabia ianya melibatkan hak-hak wanita.
4.1.3 Prejudis dan Kesan Serangan Menara Pusat Perdagangan New York
Serangan menara Pusat Perdagangan Dunia pada 11 September 2001 merupakan pencetus dan kemuncak kepada Islamofobia.
Mulai dari tarikh ini, Islam telah dijenamakan dengan keganasan dan masyarakat dunia sudah mempunyai persepsi umum bahawa Islam dan keganasan adalah sinonim.
Kesan daripada peristiwa ini masyarakat dunia mula berprejudis kepada umat Islam. Ini ditambah lagi dengan siri pengeboman yang berlaku di seluruh dunia seperti di Madrid, di London dan malangnya jenayah ini sering kali dikaitkan dengan Islam.
Sebagai contoh, peristiwa pengeboman di Oslo pada 22 Julai 2011 yang mengorbankan lapan nyawa dan beberapa jam selepas itu pembunuhan beramai-ramai 69 remaja di Utoya Island, Norway.
Sejurus selepas pengeboman dan pembunuhan ini, akhbar-akhbar utama dunia seperti Washington Post, New York Times dan lain-lain telah mengesyaki bahawa penjenayah terbabit adalah Muslim sedangkan beliau ialah penganut Kristian Konservatif yang bernama Aders Breivik.
Peristiwa ini menunjukkan betapa prejudisnya masyarakat barat terhadap Islam sehinggakan sebarang keganasan akan dikaitkan dengan Islam atau umat Islam.
4.1.4 Pengaruh Media dan Gerakan Islamofobia
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa media mempunyai pengaruh yang sangat kuat membentuk persepsi masyarakat.
Media yang dikuasai oleh pihak yang prejudis kepada Islam sudah pasti akan menggunakan saluran ini untuk menanamkan perasaan kebimbangan dan kebencian kepada Islam.
Ini ditambah lagi dengan gerakan Islamofobia yang mendapat pembiayaan yang lumayan oleh pihak-pihak tertentu.
’The Center for American Progress’ melaporkan terdapat tujuh yayasan yang telah membayar sebanyak USD42 juta untuk menanamkan ketakutan dan kebimbangan serta kebencian kepada Muslim di Amerika.
Di antara badan yang membiayai gerakan Islamofobia ini ialah ‘Donors Capital Fund’, ‘Richard Mellon Scaife Foundations’, ‘Lynde and Harry Bradley Foundation’, ‘Newton D. dan Rochelle F. Becker Foundations’ and ‘Charitable Trust’, ’Russell Berrie Foundation’, ’Anchorage Charitable Fund’, ’William Rosenwald Family Fund’ and ’Fairbrook Foundation’.
Dilaporkan juga bahawa Salman Rushdie telah dibayar sejumlah 850 ribu pound sterling untuk menghasilkan buku ‘Satanic Verses’ yang diterbitkan oleh penerbitan Viking.
4.2 Faktor Dalaman
Berbanding faktor luaran, faktor dalaman merujuk kepada Islamofobia yang berpunca daripada sikap, amalan, budaya, perlakuan umat Islam itu sendiri. Kelemahan dan kesilapan serta keganasan yang dilakukan segelintir umat Islam juga telah menyebabkan persepsi masyarakat yang serong terhadap Islam.
4.2.1 Kelemahan Penyebaran Maklumat
Di antara punca berlakunya Islamofobia ialah kelemahan dan kurang penyebaran maklumat mengenai Islam. Media-media kebanyakannya dimiliki oleh bukan Islam dan sering kali Islam ini diberikan liputan yang negatif.
Didapati juga media tidak mempunyai maklumat yang tepat mengenai keganasan oleh gerakan agama yang lain bahkan tiada data yang lengkap negara Islam yang menjadi mangsa keganasan akibat daripada Islamofobia.
Media yang dimiliki institusi Islam pula pada hakikatnya adalah kurang efisyen dan kurang berjaya menampilkan program-program yang mampu memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap Islam.
4.2.2 Isu Siapa Mewakili Islam?
Esposito dan MOgahed di dalam bukunya ’Who Speaks for Islam?: What a Billion Muslims Think’ menimbulkan beberapa persoalan mengenai siapa sebenarnya mewakili Islam.
Ada di kalangan masyarakat melihat bahawa Osama bin Laden, Ayman Al Zawahiri, Muammar Gaddafi, Husni Mubarak, Saddam Hussein dan lain-lain mewakili umat Islam dan ini telah memberikan gambaran negatif terhadap Islam.
Dalam isu ini, umat Islam perlu memastikan masyarakat dunia mengetahui bahawa mereka-mereka ini sama sekali tidak mewakili Islam bahkan telah menyeleweng dengan ajaran Islam yang sebenarnya.
4.2.3 Kebangkitan Negara Islam
Kebangkitan kuasa politik Islam termasuk kemajuan teknologi seperti Iran dan Turki juga telah menimbulkan kebimbangan pihak tertentu terhadap pengaruh Islam.
Kebangkitan ini juga berlaku pada kekuatan ekonomi negara-negara Islam seperti negara pengeluar minyak yang mula melabur dan membeli aset strategik di negara-negara lain. Fenomena ini menimbulkan keraguan dan kebimbangan ramai terhadap Islam.
Umpamanya Iran sering kali dilihat sebagai ancaman kepada kestabilan di Timur Tengah sedangkan pada hakikatnya Israel yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia lah punca sebenar dan utama ketidakstabilan di rantau Timur Tengah.
4.2.4 Salah faham Terhadap Konsep Jihad
Terdapat beberapa gerakan yang mendakwa mereka mewakili Islam dan berjihad memperjuangkan Islam tetapi jauh tersasar daripada ajaran agama.
Konsep jihad yang sebenarnya menuntut untuk semua umat Islam berjuang di jalan Allah dengan mematuhi prinsip syariat dan etika.
Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya iqh al-Jihad: Dirasatun Muqaranatun li Ahkamihi wa Falsafatihi fi Daw’ al-Qur’an wa al sunnah ada menggariskan ruanglingkup jihad yang dituntut oleh Islam.
Gerakan ISIS umpamanya adalah kelompok yang telah memburukkan nama Islam dan telah membawa satu perjuangan yang jelas bertentangan dengan Islam.
Malahan, kewujudannya juga disangsikan atas faktor tertentu yang menunjukkan mereka ini di taja dan didanai oleh pihak berkepentingan.
5.0 Islamofobia di Malaysia
Walaupun Malaysia merupakan negara Islam yang majoriti penduduknya adalah Islam, Islamofobia juga berlaku dikalangan masyarakat.
Ini membuktikan Islamofobia ini boleh subur di mana-mana selagi mana ianya tidak diatasi dan dibendung dengan program yang berkesan.
5.1 Manifestasi Islamofobia di Malaysia
Manifestasi Islamofobia di Malaysia berlaku dalam pelbagai bentuk. Umpamanya, parti DAP dalam keadaan bekerjasama dengan parti PAS masih tetap tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum hudud.
Ini ditambah dengan kenyataan keras Dato’ Seri Chua Soi Lek yang terang-terangan telah menghina undang-undang Islam.
Dilaporkan juga terdapat segelintir pihak termasuk pimpinan agama lain yang menghina Islam seperti anggapan undang-undang Islam terlampau bodoh dan kuno dan sebagainya.
Beberapa akhbar harian juga ada yang menerbitkan gambar yang sensitif kepada umat Islam seperti masakan babi dalam ‘Ramadhan Delights’ di akhbar ’the Star’.
Didapati juga kes-kes melibatkan penghinaan terhadap Islam lebih-lebih lagi melalui laman sosial seperti ’Facebook’ dan ’Twitter’ yang semakin hari semakin menjadi-jadi.
Manifestasi Islamofobia di Malaysia ini ada juga dizahirkan dalam bentuk yang lain iaitu dengan menafikan hak berpakaian muslim dalam pertandingan renang di sebuah kompleks sukan di Selangor.
Kes yang melibatkan kakitangan sebuah hotel terkemuka yang ditamatkan perkhidmatan kerana memakai tudung juga antara insiden yang boleh diklasifikasikan sebagai Islamofobia.
5.2 Faktor Islamofobia di Malaysia
5.2.1 Media
Peranan media di Malaysia sudah pasti menjadi salah satu punca berkembangnya fenomena Islamofobia.
Gambaran negatif dan salah terhadap Islam seperti liputan larangan memasuki masjid oleh bukan Islam, bantahan bukan Islam membaca ayat al-Quran di dalam perucapan umum, kes memijak kepala lembu dan lain-lain telah menyuburkan lagi Islamofobia di Malaysia.
Media juga kerap memaparkan insiden-insiden keganasan yang dilakukan orang Islam tanpa mengimbangkannya dengan jenayah bukan Islam.
Media secara umumnya masih tidak dapat memainkan peranannya untuk membetulkan persepsi Islamofobia ini.
Bahkan kerap kali media ini menayangkan program-program termasuk filem dan drama yang menimbulkan kekeliruan terhadap Islam.
5.2.2 Kurang Keberkesanan Institusi Agama
Umum sudah sedia maklum bahawa Malaysia menikmati kelebihan untuk menegakkan syiar Islam memandangkan banyaknya institusi agama yang ada untuk menjalankan dakwah ini.
Bukan itu sahaja, institusi agama di negeri-negeri dan kerajaan persekutuan juga mempunyai kuasa dan bajet yang amat besar untuk dakwah Islam.
Berdasarkan fakta ini sudah pastinya sepatutnya fenomena Islamofobia tidak akan berkembang dan mendapat tempat di negara ini sekiranya institusi Islam ini telah memainkan peranannya secara efisyen.
Namun demikian, apa yang berlaku ialah sebaliknya. Dalam keadaan ruang lingkup undang-undang dan peruntukan yang tinggi untuk Islam, fenomena Islamofobia ini masih berleluasa dan malahan semakin menyubur di negara ini.
Kenyataan menghina undang-undang Islam, mempersoalkan institusi fatwa, memperleceh amalan ibadah umat Islam dan sebagainya membuktikan bahawa terdapat kelemahan yang amat ketara ada pada institusi Islam ini.
Oleh itu, institusi Islam ini perlu melakukan transformasi segera demi memastikan peranan dan tanggungjawab terhadap Islam dapat dilaksanakan dengan berhikmah dan berkesan.
5.2.3 Kemahuan Politik
Oleh kerana Malaysia ini majoriti penduduknya beragama Islam, maka perhatian kurang diberikan bagi menangani Islamofobia.
Ini ditambah pula dengan kurangnya kemahuan politik dan komitmen di mana ianya menafikan keperluan menangani isu Islamofobia.
Sekiranya kemahuan politik itu ada dan mempunyai momentum yang kuat, sudah pasti pelbagai program ke arah membetulkan persepsi negatif terhadap Islam dalam konteks Islamofobia ini akan diadakan di seluruh negara.
Sebagai contoh, dialog dan diskusi ilmiah menangani isu Islamofobia termasuk aspek toleransi agama adalah sangat kurang di Malaysia.
Sekiranya ada, forum dan dialog ini hanya dipelopori golongan tertentu dan tidak sampai ke akar umbi.
Memandangkan Islamofobia ini tidak menjadi isu utama kebanyakan ahli politik dan tiada inisiatif untuk mengatasinya, fenomena Islamofobia ini dijangka akan terus berkembang dan seterusnya mampu memberikan kesan yang agak signifikan kepada umat Islam.
5.2.4 Salah Faham Syariah
Secara umumnya, masyarakat di Malaysia masih tidak mempunyai kefahaman yang baik tentang Islam. Ini bukan sahaja berlaku di kalangan orang bukan Islam bahkan terjadi pada Muslim juga.
Aspek yang sering disalahfaham tentang Islam ialah berkenaan dengan undang-undang hudud, pewarisan dan hak-hak wanita.
Salah anggapan terhadap beberapa prinsip Shariah seperti faraid atau pewarisan menyebabkan ramai yang bimbang dan cuba mempertikai ajaran Islam.
Perkara ini juga boleh membina persepsi negatif orang bukan Islam terhadap kepercayaan dan amalan fiqh yang terima dan diamalkan oleh umat Islam.
Di samping itu, isu kedudukan wanita dalam Islam yang dilihat oleh orang bukan Islam sebagai menindas juga menjadi faktor Islamofobia di Malaysia.
5.2.5 Pengaruh Golongan Fundamentalis
Peristiwa jenayah al Maunah di Bukit Pelandok yang dilakukan oleh golongan berlatarbelakangkan agama merupakan salah satu punca terbinanya persepsi negatif terhadap Islam di Malaysia khususnya mengaitkan Islam dengan keganasan.
Kemunculan golongan fundamentalist yang militan bahkan mendokong satu matlamat iaitu menghapuskan orang bukan Islam seperti Kumpulan Mujahidin Malaysia telah menyuburkan lagi fenomena Islamofobia.
Melalui peristiwa dan perkembangan pengaruh golongan fundamentalis ini, Islam dilihat sebagai sesuatu yang sangat sinonim dengan keganasan dan menjadi punca ketidaktenteraman awam.
6.0 Inisiatif Membasmi Islamofobia
Seiring dengan perkembangan Islamofobia yang semakin meningkat di serata dunia, telah terdapat pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dari segenap peringkat ke arah menangani isu ini.
Program dan aktiviti yang dirancang dan diimplementasi ini merangkumi inisiatif yang dijalankan oleh masyarakat sivil, institusi, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pertubuhan Negara Islam dan Malaysia sendiri.
6.1 Masyarakat Sivil
Gerakan menangani Islamofobia ini telah giat dijalankan di seluruh dunia. Pelbagai aktiviti, kempen, forum, dialog dan penerbitan risalah ilmiah telah dilaksanakan secara sistematik dan berterusan.
Terdapat beberapa organisasi dan institusi yang aktif menjalankan usaha ini antaranya Forum Against Islamophobia and Racism, the National Association of Muslim Police, Islamic Human Rights Commission di UK, the Council on American-Islamic Relations di Amerika, European Muslim Initiative for Social Cohesion di Denmark dan Perancis, Jewish-Muslim Cooperation Platform di Belgium, Austrian Muslim Initiative di Austria, Collectif Contre l’Islamophobie en France di Perancis, Ethnic Debate Forum and Fair Play di Denmark, Western Thrace Minority University Graduates Association di Greece, Muslim Community of Bulgaria, Muslim Committee on Human Rights di Kazakhstan dan Federation of Western Thrace Turks in Europe di Jerman.
Gerakan menangani dan memantau Islamofobia ini giat menjalankan aktiviti dan advokasi di seluruh dunia.
6.2 Peringkat Institusi
Terdapat juga di beberapa Negara yang memberikan reaksi positif terhadap fenomena Islamofobia.
Ada beberapa Negara yang telah mengambil inisiatif dalam bentuk undang-undang dan polisi yang menyabitkan kesalahan berkaitan diskriminasi akibat Islamofobia.
Umpamanya Ireland telah meluluskan undang-undang di mana sesiapa yang mengkritik mana-mana agama dikenakan hukuman denda sehingga 25,000 Euro.
Senat Negara Republic Czech dan Britain telah mengharamkan kemunculan ahli politik Belanda iaitu Geert Wilders yang menjadi dalang dan pelopor Islamofobia.
Mahkamah di Denmark telah mengenakan bayaran kepada seorang lelaki yang menggantung poster anti Islam.
Hukuman juga dijatuhkan oleh pihak mahkamah di Belanda kerana menghina umat Islam. Mahkamah di Perancis juga telah mengharamkan risalah-risalah anti Islam dan apa-apa yang bertujuan menghasut masyarakat membenci Islam.
6.3 Pertubuhan Negara Islam
Setelah melihat kepada seriusnya kesan Islamofobia kepada umat Islam dan Negara Islam, Pertubuhan Negara-Negara Islam telah bersetuju untuk menubuhkan badan khas untuk memantau dan menangani isu ini.
Semua negara-negara Islam telah bersetuju untuk menubuhkan “OIC Islamofobia Observatory’ secara rasmi pada 2007.
Melalui penubuhan OIC Islamophobia Observatory’ sebanyak 4 laporan yang komprehensif telah dikeluarkan iaitu ‘the First Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory May 2007 to May 2008’, ‘the Second Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory June 2008 to April 2009’, ‘the Third Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory May 2009 to April 2010’ dan ‘the Fourth Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory June 2008 to April 2009 May 2010 to April 2011’.
Kesemua laporan ini telah menyediakan fakta dan maklumat yang terperinci mengenai kes-kes Islamofobia yang berlaku di seluruh dunia.
Laporan ini juga memaparkan segala aktiviti dan program yang telah dilaksanakan bagi menangani Islamofobia.
6.4 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
Inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam isu diskriminasi atas faktor agama telah pun dimulakan sejak 2001 iaitu semasa ‘Durban World Conference on Racism, Racial Discrimination, Xenophobia, and Related Intolerance’.
Atas faktor lobi Pertubuhan Negara-Negara Islam melalui ‘OIC Islamophobia Observatory’, ‘United Nation Human Rights Council’ akhirnya telah membuat resolusi menyokong usaha-usaha menangani isu Islamofobia ini.
Sebagai contoh, ‘the Ministerial meeting at the 62nd Session of the UN General Assembly on October 4-5, 2007’ di New York yang membincangkan topik ‘the High-Level Dialogue on Inter-religious and Intercultural Understanding and Cooperation for Peace’ telah mengeluarkan resolusi iaitu ‘the UN Resolution on Combating Defamation of Religions: Human Rights Council Resolution 7/19.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah melantik ‘Special Rapporteur on contemporary forms of racism, racial discrimination, xenophobia and related intolerance’ yang bertanggungjawab secara khusus menangani isu diskriminasi etnik termasuk Islamofobia.
6.5 Malaysia
Seiring dengan inisiatif di peringkat antarabangsa, Malaysia juga mengorak langkah untuk terlibat sama dalam usaha memerangi Islamofobia.
Malaysia telah menyokong Deklarasi dari Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Bagi Negara Anggota OIC Yang Menentang Islamofobia di Ibu Pejabat PBB, New York pada 24 September 2010.
Dalam masa yang sama, Malaysia juga telah melancarkan “Global Movement of the Moderates”. Di peringkat masyarakat sivil pula, badan bukan kerajaan telah awal-awal lagi menubuhkan ‘Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s’ (ACCIN) iaitu gabungan badan bukan kerajaan Islam untuk bersama-sama menjadi pemantau Islamofobia di Malaysia.
Pada waktu ini, Malaysia sedang dalam perancangan di bawah inisiatif Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk menubuhkan badan atau gerakan menangani dan memantau isu Islamofobia.
Gerakan ini akan dinamakan sebagai “Malaysia Islamofobia Observatory” untuk diselaraskan dengan “OIC Islamofobia Observatory” dan seterusnya “United Nation Islamofobia Observatory”.
7.0 Strategi Bersepadu Mengatasi Islamofobia
Walaupun telah wujud inisiatif untuk mengatasi Islamofobia di peringkat tempatan dan antarabangsa, bahagian ini mengesyorkan beberapa cadangan bagi melengkapkan usaha-usaha sedia ada.
Institusi Islam, individu dan pihak yang bertanggungjawab dalam dakwah Islam perlu menggembleng tenaga secara intensif bagi menggerakkan pelbagai aktiviti dan program tangani Islamofobia.
Pendekatan yang perlu dilaksanakan juga perlulah bermodelkan ‘konsep wasatiyah’ atau kesederhanaan dan berbentuk pendidikan dan dakwah.
Konsep Wasatiyah dan Pendekatan Dakwah dan Pendidikan ini akan dapat mewujudkan persepsi dan kefahaman masyarakat muumuu dan dunia terhadap Islam.
Pendekatan radikal, agresif dan berbentuk kekerasan bukan sahaja menimbulkan fitnah dan salah faham terhadap Islam, malahan hanya menjadi pencetus kepada persepsi buruk dan benci terhadap Islam dan orang Islam itu sendiri.
7.1 Media
Antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah fungsi media dalam membentuk persepsi dan pemikiran masyarakat.
Media harus lebih bertanggungjawab dalam memastikan program yang disiarkan termasuk berita yang dipaparkan tidak menggambarkan perkara yang salah tentang Islam.
Media sepatutnya menerbitkan program dan rancangan termasuk dokumentari mengenai realiti Islamofobia berdasarkan fakta yang sahih.
7.2 Membina Kefahaman
Merangka strategi dan program pendidikan yang komprehensif adalah amat perlu dalam proses membina kefahaman tentang Islam kepada bukan Islam dan Muslim.
Dalam aspek ini, kesedaran mengenai Islamofobia perlu diserapkan dalam silibus di sekolah.
Islam perlu disebar dan diajar di sekolah dengan kaedah yang lebih segar dan seterusnya menonjolkan ajaran Islam itu sendiri yang adil dan sesuai di semua zaman.
Dalam masa yang sama, program secara berterusan memberi kesedaran dan kefahaman mengenai Islamofobia perlu juga dijalankan di peringkat masjid, daerah, negeri dan kebangsaan.
Umpamanya di dalam kes di Johor yang melibatkan sekumpulan pengikut Budha yang menjalankan upacara keagamaan di surah sebuah hotel, badan bukan kerajaan ABIM telah mengambil langkah pro-aktif membuat pertemuan dengan pemimpin tertinggi agama Budha Malaysia dan mendapatkan penjelasan terhadap insiden tersebut yang akhirnya dapat diselesaikan dengan suasana harmoni.
7.3 Latihan, Forum dan Dialog
Latihan perlu diberikan kepada mereka yang terlibat dalam menangani isu Islamofobia ini. Melalui latihan yang sesuai mereka ini mampu berperanan sebagai agen untuk menyebarkan risalah Islam.
Di samping itu, penganjuran forum, dialog, bengkel toleransi agama dan hubungan antara agama juga perlu dipergiatkan.
Kempen kesedaran dan program kepada kakitangan kerajaan dan swasta serta masyarakat juga perlu dilaksanakan secara berterusan.
Sebagai contoh, ABIM bergiat aktif dalam program berbentuk kerjasama dengan badan bukan Kerajaan yang mewakili agama Kristian, Budha, Hindu dan lain-lain melalu kegiatan budaya dan aktiviti kemasyarakatan.
7.4 Penyelidikan
Umat Islam sudah sekian lama mengalami masalah kemandulan intelektual. Terlalu sedikit penyelidikan bermutu yang telah dikeluarkan oleh negara Islam di dunia.
Sehubungan dengan itu, umat Islam melalui institusi sedia ada perlu meningkatkan penyelidikan yang berkualiti mengenai Islamofobia.
Penyelidikan ini kemudiannya perlu diterbitkan dan disebarkan ke seluruh pelusuk dunia. Kajian ini merangkumi laporan Islamofobia, insiden Islamofobia, statistik Islamofobia dan sebagainya.
Institusi Islam ini juga dinasihatkan untuk merekodkan, memantau dan membina sistem maklumat mengenai insiden Islamofobia dan ianya boleh dibaca oleh semua pihak.
7.5 Meningkatkan Kerjasama Dengan Pihak Berkuasa, Badan Bukan Kerajaan dan Pertubuhan Antarabangsa
Polis dan pihak berkuasa agama perlu berkerjasama menanamkan kesedaran masyarakat mengenai Islamofobia.
Ini memandangkan institusi ini menyimpan rekod, statistik insiden Islamofobia dan maklumat yang lain.
Di peringkat yang lain badan bukan kerajaan juga perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan dan institusi agama. Usaha ini tidak akan lengkap sekiranya tiadanya jaringan kerjasama mantap dengan pertubuhan diperingkat serantau dan antarabangsa.
Membina jaringan dan kerjasama dengan institusi luar negara adalah perkara yang sangat perlu dilaksanakam terutamanya untuk memastikan keterlibatan dengan gerakan membasmi Islamofobia diperingkat antarabangsa.
8.0 Kesimpulan
Islamofobia bukanlah fenomena baru di alaf ini. Islamofobia telah lama berlaku sejak zaman awal perkembangan Islam di mana pada waktu itu Islam dipandang sebagai sesuatu ajaran yang asing bagi penduduk Mekah.
Fakta ini disokong oleh sepotong hadis Rasullulah Sallallahualaihiwasallam diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud:
“Islam bermula sebagai (sesuatu yang) asing dan akan kembali menjadi (sesuatu yang) asing seperti awalnya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu”. (Sahih Muslim, Hadis 145, Bab Iman)
Hadis ini secara jelas membuktikan bahawa Islam juga akan digambarkan dengan pelbagai perkara yang negatif sepertimana ianya terjadi ketika awal dakwah Rasulullah.
Persepsi melihat Islam sebagai ajaran yang asing dan tidak sesuai dengan budaya, hak asasi manusia dan nilai-nilai murni adalah perkara yang telah dijangkakan oleh Rasulullah.
Hadis ini memberikan tanggungjawab kepada umat Islam untuk berusaha memperbetulkan persepsi ini dan seterusnya meletakkan Islam itu di tempat yang sepatutnya serta difahami oleh masyarakat.
Berdasarkan kepada manifestasi dan implikasi Islamofobia kepada kehidupan, mental, fizikal dan sosio ekonomi umat Islam, usaha-usaha ke arah menangani isu ini perlu digembleng secara berhikmah dan berterusan.
Inisiatif bersepadu melalui kerjasama di setiap peringkat menerusi jaringan kerja yang mantap akan dapat memastikan usaha mengatasi Islamofobia dapat dicapai.
Segala gerakan, usaha, inisiatif dan program ini merupakan salah satu cabang jihad demi menegakkan Islam di muka bumi ini.
Bagi memastikan setiap usaha dakwah ini mencapai matlamatnya, istiqamah, iltizam dan itqan merupakan konsep yang sewajarnya dijadikan teras utama.
BACA INI JUGA:
sumber: zulkiflihasan

- Beruntunglah Insan-insan Yang Pelik Di Akhir Zaman
- Sejarah Kolonialisme Dan Kebencian Terhadap Islam
sumber: zulkiflihasan