Thursday, April 27, 2017

Sambutan Festival Regatta Lepa ‘Pesta Air Sabah’


Regatta Lepa adalah sambutan pesta air tahunan dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' yang diadakan di daerah Semporna, Sabah, sejak tahun 1994, pada bulan April setiap tahun.

Festival Regatta Lepa

Kepada kaum Bajau Semporna, 'Lepa' (sejenis bot) banyak kegunaannya dalam kehidupan harian. Bot ini digunakan untuk menangkap ikan dan kenderaan harian.

"Lepa' juga digunakan sewaktu upacara perkahwinan dan persembahan kebudayaan. Kehidupan unik berteraskan lepa ini dipusakai turun-temurun sehingga kini.

Daerah Semporna, Sabah, menyambut Perayaan Regatta Lepa setiap tahun pada bulan April. Lepa merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan kaum Bajau sejak zaman dahulu.

Perayaan Regatta Lepa merupakan tapak untuk memperkenalkan dan mempromosi seni, budaya dan adat kaum Bajau yang berwarna-warni.

Setiap tahun pengunjung akan berpeluang melihat sendiri keunikan pembuatan bot Lepa yang cantik disulami dengan tarian dan muzik yang dimainkan di atas bot lepa.

Regatta Lepa merupakan acara tahunan untuk semua peminat, pengusaha dan penggiat seni-budaya Bajau dan Lepa berkumpul.

Melalui perayaan ini, kaum Bajau yang berada di merata tempat termasuk di pulau-pulau akan bertemu, bersosial dan bertanding. Pertandingan utama adalah merebut gelaran 'Lepa Tercantik'.

Perayaan ini memakan masa 2 hingga 3 hari. Bayangkan di tepi pantai terdapat ratusan Lepa yang dihias cantik dengan segala macam renda, payung, sambulayang (layar) berwarna-warni, pakaian tradisi, persembahan kebudayaan dan pertandingan acara laut.

Semua lepa-lepa ini akan beratur sambil bergerak perlahan dihadapan pentas yang disediakan untuk para hakim dan orang kenamaan untuk menilai dan memilih pemenang. Pemenang akan dipilih berdasarkan kecantikan Lepa dan tarian yang dipersembahkan.

Festival Regatta Lepa

Aktiviti sambutan Regatta Lepa dibahagikan kepada 2 kawasan utama iaitu 'Acara Laut' di tepi pantai dan 'Pentas Budaya' dan pameran di Padang Pekan Semporna.

Pada sebelah malamnya pula, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan persembahan kebudayaan tempatan sambil diselang-selikan dengan nyanyian artis tempatan dan nasional. Pertunjukan bunga-api turut mewarnai langit Semporna pada malam tersebut.

Lepa: Dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud 'bot'. Ia dipercayai berasal dari komuniti nelayan yang menetap di Pulau Bum-Bum Semporna pada satu ketika dahulu.

Regatta Lepa: Merupakan perayaan tahunan Daerah Semporna sejak tahun 1994.

Regatta Lepa mula diperkenalkan pada tahun 1994 sebagai perayaan peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan peringkat negeri Sabah.

Pada tahun 2003 Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' dan kini Regatta Lepa merupakan salah-satu acara tahunan Malaysia.

Daerah sunyi Semporna akan bergemerlapan dan berpesta apabila menyambut Regatta Lepa.

Di sepanjang jalan 'Sambulayang' akan menghiasi pandangan disamping pemidang dan iklan yang berwarna-warni.

Bot-bot Lepa akan berlabuh disepanjang pantai Semporna dan menghiburkan pengunjung dengan pelbagai tarian, nyanyian dan muzik.

Festival Regatta Lepa

Setiap bot lepa akan dihiasi dengan 'sambulayang'. 'panji-panji', tipas-tipas' dan renda. Perayaan ini mengundang ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri saban tahun.

Acara-acara lain disepanjang perayaan ini termasuklah acara 'lumba kelle-kelle', tarik-tali lepa, lumba renang dan menangkap itik.

Pada sebelah malamnya pula, pertunjukan 'pentas budaya' akan diadakan di Padang Pekan Semporna.

Datanglah dan saksikan sendiri perayaan hebat ini!

BACA INI JUGA: 6 Lokasi Pelancongan Di Sabah Yang Setanding Luar Negara!

sumber: sabah

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon