Wednesday, April 05, 2017

Jenis-jenis Diabetes Dan Fakta Ringkas Mengenai Penyakit Kencing Manis


Kencing Manis (Diabetes) ataupun selalu disebut oleh doktor dengan nama diabetes mellitus ialah suatu penyakit metabolik yang mana pengidapnya mempunyai tahap glukosa dalam darah (gula darah) yang tinggi pada suatu jangka waktu yang agak lama.

Jangan abai tanda awal diabetes

Ianya terjadi samada pengeluaran insulin yang tidak mencukupi ataupun sel-sel tubuh tidak bertindak dengan betul pada insulin.

Pengidap yang mempunyai gula darah yang tinggi kebiasaannya akan mengalami kerap buang air kecil (polyurea - frequent urination), menjadikan mereka selalu dahaga (polydipsia - increasingly thirsty) dan lapar (polyphagia).

Fakta Ringkas Mengenai Diabetes

Diabetes adalah suatu ganguan metabolik yang menyebabkan tahap gula dalam darah menjadi tinggi dan pada tahun 2013 dianggarkan seramai lebih dari 382 juta manusia di seluruh dunia mengidap diabetes.

1. Diabetes Jenis 1 (type 1)

Tubuh gagal menghasilkan insulin yang mencukupi. Dianggarkan 10% kes diabetes adalah jenis 1.

2. Diabetes Jenis 2 (type 2)

Bermula dengan kerintangan insulin (insulin resistance) di mana sel-sel tubuh gagal bertindak ataupun kurang sensitif terhadap insulin. Jika penyakit ini berkembang maka akan terjadi juga keadaan kekurangan insulin.

3. Diabetes Gestasi (Gestational Diabetes)

Jenis ketiga yang dihidap oleh wanita sewaktu mengandung.

Simptom

Tanda-tanda ataupun symptom yang biasa termasuklah kerap kencing, selalu dahaga atau lapar, pertambahan berat atau kehilangan berat yang mendadak, keletihan, luka yang lambat sembuh, alat kelamin lelaki kurang berfungsi, mata kabur, kebas dan berdenyut-denyut pada tangan dan kaki.

Jika anda pengidap Jenis 1 - dengan mengikuti pelan pemakanan sihat, melakukan senaman yang mencukupi, dan mengambil insulin, anda boleh hidup secara normal.

Jika anda pengidap Jenis 2 - anda perlukan makan secara sihat, aktif secara fizikal, selalu mengambil ujian gula darah anda. Anda munkin perlu juga mengambil ubat makan, dan/atau mengambil insulin untuk mengawal tahap gula di dalam darah anda.

Risiko penyakit kardiovaskular ( jantung dan pembuluh darah) adalah lebih tinggi pada diabetik. Maka adalah sangat penting untuk menjaga dan memantau tekanan darah dan tahap kolesterol di dalam badan.

Hypoglycemia ialah keadaan gula (glukosa) darah rendah atau gula dalam darah kurang dari sepatutnya .

Manakala Hyperglycemia pula adalah keadaan gula darah tinggi atau gula dalam darah lebih dari sepatutnya.

Diabetes dibahagi kepada tiga jenis:

1. Diabetes Jenis 1

Tubuh tidak menghasilkan insulin. Nama lain bagi jenis ini ialah insulin-dependent diabetes, juvenile diabetes, or early-onset diabetes. Ianya bermula kebiasaannya pada umur kurang dari 40 tahun, selalunya pada peringkat umur remaja atau belasan tahun.

Diabetes jenis 1 ini sangat jarang berlaku, hanya 10% dari keseluruhan kes diabetes adalah Jenis 1.

Pengidap diabetes jenis 1 perlu mengambil suntikan insulin sepanjang hayatnya. Dia perlu selalu mengambil ujian darah dan mematuhi diet pemakanan khas untuk kekal sihat.

2. Diabetes Jenis 2

Tubuh tidak menghasilkan insulin yang cukup ataupun sel-sel tubuh tidak bertindak dengan baik atau kurang sensitif terhadap insulin (kerintangan insulin).

Lebih kurang 90% dari keseluruhan kes diabetes di seluruh dunia adalah dari jenis 2.

Sesetengah orang mungkin boleh mengawal gejala kencing manis jenis 2 mereka dengan cara mengurangkan berat badan, mematuhi diet yang sihat, melakukan banyak senaman dan memantau tahap glukosa dalam darah mereka.

Walau bagaimanapun, diabetes jenis 2 biasanya adalah sejenis penyakit progresif jika tidak dikawal rapi - ia beransur-ansur menjadi lebih teruk - dan pesakit akhirnya mungkin perlu juga mengambil insulin.

Orang yang berlebihan berat badan dan obes (kegemukan) mempunyai risiko yang lebih tinggi mendapat diabetes jenis 2 berbanding mereka yang mempunyai berat badan yang sihat.

Orang yang mempunyai banyak lemak visceral, juga dikenali sebagai obesiti di bahagian tengah, perut buncit, atau obesiti abdomen, sangatlah berisiko.

Berat badan berlebihan atau obesiti menyebabkan tubuh melepaskan bahan-bahan kimia yang boleh menjejaskan kestabilan sistem kardiovaskular dan metabolik badan.

Dengan berat badan yang berlebihan, tidak aktif secara fizikal dan memakan makanan yang salah - semua ini menambahkan risiko dihinggap diabetes jenis 2.

Hanya dengan meminum satu tin soda (minuman berkarbonat) sehari boleh meningkatkan risiko sebanyak 22% (dilaporkan oleh penyelidik dari Imperial College London dalam jurnal Diabetología ).

Para saintis percaya bahawa kesan minuman ringan bergula pada risiko diabetes adalah secara langsung, bukan sekadar mempengaruhi berat badan.

Risiko mendapat diabetes jenis 2 juga lebih besar apabila kita meningkat lebih tua. Pakar-pakar tidak pasti kenapa, tetapi mengatakan bahawa apabila kita semakin tua kita cenderung menambah berat badan dan menjadi kurang aktif secara fizikal.

Mereka yang mempunyai keturunan terdekat yang mengidap diabetes jenis 2 juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit ini.

Lelaki yang mempunyai tahap hormon testosterone yang rendah juga didapati mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat diabetes jenis 2.

3. Diabetes Gestasi

Jenis ini dihidapi oleh wanita semasa mengandung yang sebelumnya tidak pernah ada rekod diabetes.

Sesetengah wanita yang mengandung, tahap glukosa darah mereka sangat tinggi dan badan-badan mereka tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup untuk mengangkut semua glukosa ke dalam sel-sel badan, menyebabkan tahap glukosa darah meningkat secara progresif.

Diagnosis penyakit diabetes gestasi dibuat semasa mengandung

Majoriti pesakit diabetes gestasi boleh mengawal penyakit kencing manis mereka dengan senaman dan diet.

Antara 10% hingga 20% daripada mereka perlu mengambil beberapa jenis ubat untuk mengawal glukosa di dalam darah.

Diabetes gestasi yang tidak dikenalpasti atau tidak dikawal boleh meningkatkan risiko komplikasi semasa melahirkan anak. Mungkin bayi itu akan lebih besar daripada sepatutnya.

Ahli-ahli sains dari Institut Kesihatan Kebangsaan dan Universiti Harvard mendapati bahawa wanita yang diet mereka sebelum hamil, tinggi dengan lemak haiwan dan kolesterol mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk penyakit kencing manis semasa mengandung, berbanding dengan rakan-rakan mereka yang diet yang rendah kolesterol dan lemak haiwan.

Diabetes Adalah Gangguan Metabolisme

Diabetes (diabetes mellitus) dikelaskan sebagai gangguan metabolisme. Metabolisme merujuk kepada cara tubuh kita mencernakan makanan untuk menghasilkan tenaga dan pertumbuhan.

Kebanyakan apa yang kita makan dipecahkan menjadi glukosa. Glukosa adalah bentuk gula ringkas dalam darah - ia adalah sumber utama bahan api untuk badan kita.

Apabila makanan kita dihadamkan, glukosa itu akan masuk ke dalam aliran darah kita. Sel-sel kita menggunakan glukosa untuk tenaga dan pertumbuhan.

Walau bagaimanapun, glukosa tidak akan dapat masuk ke dalam sel-sel kita tanpa hadirnya insulin - insulin perlu untuk membolehkan sel-sel kita mengambil glukosa dari aliran darah.

Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Selepas makan, pankreas secara automatik mengeluarkan kuantiti insulin yang mencukupi untuk menggerakkan glukosa dari dalam darah masuk ke dalam sel.

Sebaik sahaja glukosa memasuki sel-sel, tahap glukosa dalam darah akan menurun.

Seseorang yang menghidap diabetes mempunyai keadaan di mana kuantiti glukosa dalam darah terlalu tinggi (hiperglisemia).

Ini adalah kerana badan samada tidak menghasilkan insulin yang cukup ataupun tidak menghasilkan insulin langsung, ataupun sel-sel tidak bertindak balas dengan baik terhadap insulin yang dihasilkan oleh pankreas.

Ini menyebabkan terlalu banyak glukosa terkumpul dalam darah. Glukosa darah yang berlebihan itu akhirnya dialirkan keluar dari badan melalui air kencing.

Jadi, walaupun darah mempunyai banyak glukosa tetapi sel-sel tidak boleh mendapatkannya untuk keperluan tenaga dan pertumbuhan yang sangat penting bagi tubuh.

Kenapa Ianya Dipanggil "Diabetes Mellitus"?

Perkataan 'diabetes' berasal dari bahasa Yunani (Greek), dan ia bermaksud "sifon" (siphon).

Seorang doktor Yunani pada abad kedua dari Cappadocia bernama Aretus, menamakan keadaan penyakit itu sebagai "diabainein".

Beliau menyifatkan pesakit yang membuang terlalu banyak air kecil (polyuria) adalah seperti sifon. Perkataan ini menjadi "diabetes" daripada adopsi Bahasa Inggeris daripada Bahasa Latin Zaman Pertengahan.

Pada tahun 1675, Thomas Willis menambah perkataan "mellitus" kepada istilah itu, walaupun ia biasanya disebut hanya sebagai diabetes.

"Mel" dalam bahasa Latin bermaksud "madu"; air kencing dan darah pesakit diabetes mempunyai glukosa yang berlebihan, dan glukosa manis seperti madu.

Diabetes mellitus secara literalnya bermakna "siphoning off sweet water" ataupun "sifon keluarkan air manis".

Di zaman China kuno, orang memperhatikan bahawa semut akan tertarik kepada air kencing sesetengah orang, kerana rasanya manis. Maka istilah "Penyakit Kencing Manis" pun tercipta.

BACA INI JUGA: Tanda-Tanda Awal Penyakit Kencing Manis, Langkah Pencegahan Dan Rawatannya Yang Anda Perlu Tahu

sumber: fruitsetcetera

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon