Wednesday, March 29, 2017

Kelebihan Di Bulan Rejab


Sempena kedatangan bulan Rejab ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan baik kita dan semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang kita lakukan agar ia tidak bercanggah dengan al-Qur’an dan juga sunnah Rasulullah SAW.

Bulan Rejab

Namun begitu, apakah terdapat kelebihan atau amalan tertentu (khusus) dalam Bulan Rejab berdasarkan pendapat para ulama?

Di sini kami nyatakan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan kelebihan bulan Rejab, antaranya ialah:

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus.” [Tabyin al-‘Ajab, 9]

Imam Ibn al-Qayyim mengatakan, “Setiap hadith yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka.” [al-Manar al-Munif, 96]

Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif.” [al-Sail al-Jarrar, 297]

Imam Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW.” [Faidh al-Qadhir, 4:210]

Tarjih

Setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu.

Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.

Ini kerana, bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon