Wednesday, February 01, 2017

Apa Sebenarnya Forex Dan Hukumnya Dalam Islam?


Forex adalah singkatan dalam bahasa Inggeris bagi Foreign Exchange dan jika diterjemah ke bahasa melayu bermaksud Pertukaran Matawang Asing.

Forex

Secara ringkas, Forex adalah pasaran matawang dunia di mana matawang dibeli dan dijual oleh saudagar-saudagar Forex dan bank-bank diseluruh dunia.

Sebelum tahun 1996, pasaran Forex hanya dibuka kepada ahli-ahli ekslusif yang terdiri daripada Bank, Institusi Pelaburan dan individu berpengaruh (High Net Worth Individuals), konglomerat multi millionaire seperti George Soros sahaja kerana modal permulaan sebanyak USD10 juta diperlukan untuk memasuki pasaran ini.

Disebabkan peraturan ketat tersebut, pasaran forex ketika itu kurang popular dikalangan pelabur biasa kerana ramai yang tidak mampu dan tidak dibenarkan melabur di dalam forex.

Kemudian, pada tahun 1996, forex dibuka kepada orang ramai selepas diluluskan buat pertama kali oleh Presiden Amerika ketika itu, Bill Clinton.

Semenjak itu, broker-broker forex tumbuh bagaikan cendawan dan jumlah dagangan terus meningkat setiap tahun dan kini purata dagangan harian forex mencapai USD2.5 - USD3 trilion setiap hari.

Pasaran Forex amat berkuasa sehingga dapat menjatuhkan ekonomi sesebuah negara dalam sekelip mata (Contoh di Russia dan Indonesia).

Anda masih ingat siapa George Soros? Beliau sangat bijak menggunakan kuasa yang ada pada pasaran forex bagi mendapat keuntungan melebihi USD1 bilion dalam sekelip mata sahaja.

Kini, broker Forex semakin bertambah banyak dan akibat daripada saingan broker forex di internet, modal minima membuka akaun telah menjadi semakin rendah.

Memadai dengan modal sebanyak USD1 sahaja, anda boleh membuka akaun dan memulakan dagangan (trade).

Forex adalah satu instrument pelaburan dunia terbesar, jauh melebihi jumlah dagangan di mana-mana bursa saham dunia.

Pasaran Forex di buka 24 jam sehari tanpa henti, 5 hari seminggu dengan jumlah dagangan (volume) adalah melebihi 4 hingga 5 kali saiz pasaran niaga hadapan (futures) US.

Forex juga adalah merupakan pelaburan utama bagi bank-bank perdagangan utama, bank pusat (central bank dan bank-bank komersial) di seluruh dunia.

Bagaimana menjana keuntungan trading forex?

Forex adalah singkatan bagi 'Forex Exchange' dan kebiasaannya ungkapan ini adalah bagi menggambarkan aktiviti trading forex atau berdagang pertukaran matawang.

Persoalannya, bagaimana menjana keuntungan dengan trade forex?

Begini. Nilai matawang sentiasa berubah-ubah mengikut negara. Apa yang kita BUY (Beli) ketika harga matawang tersebut rendah dan SELL (Jual) ketika harganya tinggi.

Contohnya, katakan pada awal tahun 2014 anda menukar RM3.30 bersamaan 1 US Dollar di MoneyChanger.

Kemudian, pada awal tahun 2017, kadar sudah berubah iaitu sekitar RM4.40 bersamaan 1 US Dollar.

Dan ketika anda tukar kembali duit 1 US Dollar tersebut di MoneyChanger, anda akan mendapat RM4.40.

Pengiraan = RM4.40 - RM3.30 = RM1.10 (Inilah keuntungan)

Tetapi. semua transaksi ini anda dapat lakukan secara pantas melalui online sahaja, melalui platform trading forex.

Ia tidak menggunakan MoneyChanger tetapi ia menggunakan Forex Broker.

Anda juga tidak perlu menunggu bertahun-tahun, sebab naik turun nilai matawang sangat aktif dan anda boleh BUY/SELL dengan sangat pantas semudah 'klik button' BUY atau SELL sahaja.

Anda boleh mendapat keuntungan dalam tempoh masa yang sangat singkat, dalam temph 5 minit pun boleh.

Anda hanya perlu melihat graf macam saham juga, beli harga rendah dan jual pada harga tinggi untuk mendapatkan keuntungan.

Apa Bezanya Spot Forex Dan Foward Forex?

1. Foward Forex

Kontrak Pertukaran Matawang Pada Masa Hadapan (Currencies Futures Contract) adalah kontrak yang sah dari segi undang-undang (bukan agama) yang melibatkan dua pihak yang memperdagangkan sejumlah wang dalam tukaran matawang pada nilai yang telah ditetapkan (kadar tukaran yang ditetapkan) pada satu masa tertentu pada masa hadapan.

Sebagai contoh, jika penjual tidak menamatkan atau menutup pegangan sebelum tarikh yang dipersetujui, dia boleh memiliki matawang tersebut pada masa yang telah ditetapkan, ataupun boleh 'meramal' nilai matawang tersebut akan jatuh di pasaran semasa (spot market) pada suatu masa sebelum tarikh persetujuan kontrak. (Maaf jika penerangan ini mengelirukan anda)

2. Spot Forex

Dalam Spot Forex pula adalah matawang yang didagangkan ditukar secara serta merta pada masa pasaran.

Secara umumnya, sebarang spot market (pasaran semasa) melibatkan pertukaran sebenar barangan dagangan dan perkara ini adalah lumrah dalam perdagangan barangan komoditi.

Sebagai contoh, apabila seseorang pergi ke bank ataupun pengurup wang (money changer) untuk menukar matawang, orang tersebut secara sedar atau tidak telah terlibat dalam pasaran Spot Forex.

Perbezaan

Perbezaan utama diantara Forward Forex dan Spot Forex adalah bila harga nilai pertukaran ditetapkan dan bila pertukaran matwang tersebut berlaku.

Dalam Forward Forex, nilai matwang ditetapkan semasa kontrak ditandatangani dan pertukaran pasangan matawang tersebut berlaku pada tarikh penghantaran (delivery date) yang biasanya ditetapkan pada suatu tarikh di masa hadapan.

Di dalam Spot Forex, harga ditetapkan pada harga semasa pasaran (real time) dan pertukaran pasangan matawang tersebut berlaku serta merta ataupun dalam jangkamasa yang singkat. -tradersguide

Hukum Pelaburan Forex Dalam Islam

Benar, memang FOREX matawang adalah diharuskan, tetapi keharusannya tertakluk kepada sejauh mana ia menurut garis panduan yang dikeluarkan dari hadith Nabi yang sohih iaitu:-

a- Ditukar (serah dan terima) dalam waktu yang sama ia disebut dalam hadis sebagai "yadan bi yadin". Dalam bahasa Inggerisnya adalah "on the spot basis". Ia datang banyak hadis antara yang paling utama adalah:

Ertinya: "Emas dengan Emas (ditukar atau diniagakan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus ( pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai." (Riwayat Muslim, no 4039 no hadith , 11/9 ).

b- Nabi bersabda:-

Ertinya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Pertukaran antara perak dan emas adalah riba kecuali jika ia dilakukan secara serentak (serah terima dalam satu masa)" (Riwayat Muslim, no 1586, 3/1209)

c- Manakala pembelian secara hutang dari salah satu antara dua pihak adalah haram berdasarkan hadis:-

Ertinya: "Rasulullah s.a.w melarang dari menjual emas dan perak secara berhutang."( Riwayat Al-Bukhari, no 2070, 2/762)

Hadis-hadis di atas menyebut perihal displin Islam dalam pertukaran emas dan perak. Untuk informasi, ulama bersepakat bahawa matawang (bank note) juga adalah sama displinnya dengan emas dan perak disebabkankan nilai dan fungsinya sebagai 'medium of exchange'. Justeru setiap displin dan syarat transaksi yang melibatkan emas dan perak juga TERPAKAI pada urusan transaksi matwang.

Demikian keputusan Majlis Fiqh Antrabangsa dan juga Majlis Kewangan Islam Antarabangsa di bawah AAOIFI.

Forex dalam matawang yang diuruskan oleh syarikat konvensional sudah pasti tidak akan menjaga syarat ini kerana kebanyakan Forex yang dijalankan oleh institusi Konvensional adalah ‘Forward FOREX' atau Forex yang menggunakan ‘Value forward' (nilai masa hadapan) yang tergolong dalam Riba Nasiah. Mereka juga kerap menggunakan SWAP, Options dan lain-lain instrument yang tidak halal di sisi Shariah.

Instrumen-instrumen tadi tidak memenuhi syarat Islam iaitu serah terima atau disebut "qabadh" dalam Islam secara benar "hakiki" atau "hukmi" pada waktu yang sama.

Masalah dalam implementasi Forex adalah bertangguh dalam penyerahan dari kedua-dua pihak. Tatkala itu aqad menjadi batal. (Radd al-Muhtar ala ad-durr, 4/531).

Tidak dinafikan, bahawa terdapat sesetengah Institusi Kewangan Islam yang melakukan forex ini setelah mendapatkan kelulusan Majlis Penasihat Shariah mereka, namun semua mereka hanya terlibat dalam FOREX jenis SPOT dan bukannya jenis ‘Forward'.

Jika adapun jenis forward ia menggunakan konsep Al-WA'D atau 'Unilateral Promise' dan ia telah disepakati keharusannya.

Apa yang pasti, Majlis Shariah mereka telah meletakkan beberapa syarat dan bukannya secara bebas begitu sahaja.

Justeru MELABUR MODAL (Bererti anda hanya melabur dan kemudian tunggu untung sahaja) dan di dalam institusi kewangan konvensional yang memperolehi untung melalui cara Forex adalah tidak halal di sisi Islam.

Ia adalah keputusan Panel Penasihat Shariah dunia yang bernaung di bawah nama Accounting & Auditing Organization For Islamic Institutions (AAOIFI).

Antara panel penasihat Shariahnya adalah Syeikh Mufti Taqi Uthmani, Prof. Dr. Syeikh Wahbah Zuhayli, Prof. Dr. Syeikh Siddiq Dharir, Syeikh Abdullah al-Mani', Dr. Abd Sattar Abu Ghuddah, Syeikh Dr. Nazih Hammad, Syeikh Dr. Hussain Hamid Hassan, Syeikh Nizam Ya'quby, Dr. Mohd Daud Bakar, Syeikh Al-Ayashi al-Sadiq Faddad, Syeikh Dr. Ajil Nashmi dan ramai lagi.

Hukum Forex Trading yang dijalankan (trade) sendiri

Bagi mengetahui hukum bagi bentuk kedua ini, pertama-tamanya ia tertakluk kepada:-

a- Terdapat unsur judi atau tidak apabila membeli dan menjual matawnag hanya kerana mengharap keuntungan dari perbezaaan nilainya, bukan kerana digunapakai di negara matawang terbabit. Maka setelah kajian perinci oleh JAKIM dan ISRA, mendapati unsur judi adalah wujud maka semua jenis forex trading adalah HARAM.

b- Kesohihan dan kewibawaan syarikat platform dari sudut lesennya dan pengenalannya. Ia diperlukan bagi mengelak anda ditipu oleh platform syarikat yang tidak sebenar. Butiran terperinci berkenaan platform ini mestilah diteliti dan boleh diperolehi. Jika tidak, transaksi anda adalah syubhat dari awal lagi kerana terdapat unsur gharar.

b- Jika platform tersebut mempunyai wibawa dan lesen serta info yang sangat mencukupi, perkara kedua adalah menilai akta-akata berkaiatan dengan aktiviti ini dari badan berwajib di Malaysia. Ini perlu bagi memastikan anda tidak terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang Negara.

Jika yang kedua juga lulus, transaksi jual matawang asing dan simpan dan kemudian jual semula apabila harga tukarannya naik adalah harus kerana ia secara automatiknya dilaksanakan menurut kaedah ‘spot'. -zaharuddin

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Apa Hukum Trade Binary Options? Adakah Halal Atau Haram?

-SENTIASAPANAS.COM



Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon