Tuesday, February 21, 2017

Alatan Perisikan Dan Teknik Mengintip Rahsia Paling Terkenal!


Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua yang menandakan bermulanya penguasaan Amerika Syarikat, negara itu serta sekutunya telah mendahului dalam selok belok perisikan.

007
Gambar hiasan.

'Pembelotan' bekas juruteknik NSA, Edward Snowden, mendedahkan bagaimana teknologi menghubungkan manusia seperti Facebook dan e-mel turut sama digunakan untuk tujuan perisikan telah menggemparkan dunia.

Snowden telah membocorkan rahsia dengan membuat pendedahan, bagaimana NSA membina sistem komputer yang dapat mengintip sesiapa sahaja yang menggunakan Internet, Facebook, e-mel dan pelbagai lagi.

Menjadikan isu ini lebih besar adalah bagaimana pemilik Google, Facebook dan Microsoft menjalin kerjasama sulit dengan NSA untuk membolehkan semua akaun media sosial pengguna di seluruh dunia diintip.

Kita boleh lihat bagaimana AS yang menjadi begitu berpengaruh selepas meraih kemenangan bergaya pada Perang Dunia Kedua menggunakan segala medium untuk melakukan risikan terhadap musuh sebenar mahupun musuh yang dicipta mereka.

Menceroboh melalui internet

Segalanya bermula apabila Presiden AS, Barack Obama secara rahsia melalui dasar luarnya membenarkan pengintipan ke atas pemilik akaun media sosial, telefon dan e-mel.

Tindakan ini sememangnya dikecam hebat dan dianggap menceroboh ruang peribadi individu. Apatah lagi pengintipan itu bukan sahaja kepada warga AS malah terhadap sesiapa sahaja di negara lain yang disyaki menggugat keselamatan AS.

Modus operandi pengintipan adalah merakamkan data interaksi secara sulit oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan NSA. Tujuannya sebagai langkah awal mengekang dan mengenalpasti pengganas yang mengancam AS.

Usaha ini dilihat sebagai pelan pre-emtif pasca serangan 11 September 2001 yang memusnahkan mercu tanda kebanggaan AS, Pusat Dagangan Dunia di New York.

Bagaimanapun program pengintipan itu berjaya dirahsiakan daripada pengetahuan umum sehinggalah didedahkan oleh Snowden.

Tindakan mengintip yang disifatkan sebagai menceroboh ruang peribadi tanpa waran yang sah memberikan tamparan hebat terhadap rejim Obama.

Pada masa yang sama dunia mempersoalkan tindakan AS yang dilabelkan sebagai "polis dunia" kerana menceroboh ruang peribadi warga negara lain yang dilindungi oleh undang-undang negara masing-masing.

Keadaan ini sudah tentu mendedahkan sesiapa sahaja di dunia termasuk kita serta ahli keluarga sebagai mangsa intipan menerusi akaun media sosial, e-mel atau perbualan di telefon.

Ini sekaligus menjadikan sebarang interaksi menerusi maya sudah tidak selamat kerana boleh diceroboh oleh pengintip AS.

Lebih malang lagi bagaimana pula dengan nasib agensi keselamatan mana-mana negara termasuk Malaysia sendiri khususnya Polis Diraja Malaysia yang terdedah kepada kebocoran maklumat.

Adalah malang bagi dunia yang dikatakan semakin bebas tanpa sempadan kini terdedah kepada pencerobohan yang direstui hanya untuk memenuhi kehendak kelompok yang mahu meneruskan kuasa sebagai polis dunia tanpa mengira dan menghormati soal kerahsiaan dan keselamatan negara atau orang lain.

Selain cara paling canggih setakat ini diatas, mari kita lihat beberapa kaedah dan gajet yang begitu meluas digunakan suatu ketika dahulu dan mungkin sebahagian dari cara ini masih lagi digunakan semasa risikan oleh perisik pada zaman moden ini.

Kertas Mudah Terbakar

Mungkin kebanyakan kita terpengaruh menonton filem Mission Impossible bila mana maklumat yang diterima akan terbakar setelah dibaca.

Namun sebenarnya taktik ini telah wujud sejak Perang Dunia Kedua apabila sebuah buku catatan atau kertas yang mengandungi maklumat rahsia akan terbakar selepas dibaca.

Kertas atau buku berkenaan diperbuat daripada Pyrofilm dikatakan mudah terbakar apabila ditekan dengan sebuah pensil khas.

Taktik ini sering digunakan ketika membawa maklumat baharu untuk diberikan kepada ejen yang bertugas di tempat lawan secara rahsia.

Peranti Pepijat

Alat ini adalah perkara yang paling berguna dalam dunia perisikan sejak ia digunakan secara meluas sekitar tahun 1960-an.

Sebelum itu transmitter merupakan alat yang sering digunakan tetapi kerana bentuknya yang besar menyukarkan penggunaannya.

Apabila peranti pepijat diperkenalkan saiznya 10 kali lebih kecil dari transmitter dan ia memudahkan perisik mendengar perbualan yang menjadi rahsia ketika musuh menggunakan telefon atau pun semasa mereka bermesyuarat di pejabat atau di rumah.

Alat ini semakin hari semakin canggih dan terus digunakan secara meluas oleh orang ramai dan tidak hanya tertumpu kepada kerja-kerja perisikan.

The Dead Drop

Teknik ini dikatakan antara paling popular dalam menghantar rahsia atau maklumat yang diperolehi.

Bagi seorang perisik untuk menghantar sesuatu maklumat bukanlah semudah yang disangka kerana segala gerak geri sedang diperhatikan.

Untuk itu mereka memerlukan usaha teliti dengan menggunakan teknik atau barangan yang boleh memesongkan perhatian musuh.

Antaranya adalah dengan menggunakan duit syiling yang boleh dibuka dan maklumat diletakkan di dalamnya.

Walaupun ruang dalamnya agak kecil tetapi melalui teknik penulisan mikro membolehkan sesuatu rahsia itu diletakkan dalam mikrodot, yang berfungsi seperti sebuah cip bersaiz kecil.

Ataupun mereka akan menggunakan teknik dua beg yang serupa sebelum proses pertukaran dilakukan.

Mereka juga akan menandakan sesuatu kawasan yang ditentukan sebagai satu penanda tempat itu telah diletakkan bahan rahsia yang dikehendaki dan rakan perisik mereka akan datang mengambilnya.

Kod Rahsia

Taktik ini mula diperkenalkan pada tahun 1950-an dan orang yang perlu diberikan ucapan terima kasih adalah ahli silap mata.

Ini kerana seorang ahli silap mata terkenal, John Mullholland yang memberitahu CIA tentang bagaimana mereka berinteraksi sesama mereka secara rahsia.

Sebagai contoh melalui ikatan kasut, seseorang perisik akan mengetahui apa maklumat rahsia yang mahu disampaikan.

Contohnya jika ikatan simpul kasutnya longgar bermaksud seseorang dalam bahaya.

Taktik ini berkembang dengan cepat dan pelbagai kod rahsia telah dicipta sejak itu. Malah dalam satu kejadian perisikan antara AS dan Rusia, maklumat penting dikatakan terlepas kerana mereka gagal melihat dengan teliti sebuah pita rakaman yang dikatakan memaparkan filem lucah tetapi sebenarnya ia adalah mesej rahsia.

Teknik Knockout

Diperkenalkan pada tahun 1950-an teknik ini adalah antara yang paling mudah dan berkesan dalam memperoleh rahsia atau maklumat penting.

Caranya adalah dengan meletakkan dadah sama ada dalam bentuk cecair atau serbuk dalam minuman musuh. Walaupun dilihat mudah namun pelbagai taktik telah dicipta untuk memudahkan bahan itu di campur dalam minuman.

Dadah berkenaan akan diletakkan dalam kotak mancis, pen atau pensil atau mungkin diselitkan dalam pakaian dalam wanita.

Dalam melaksanakan tugasan ini walaupun kelihatan mudah tetapi ia perlu dilakukan secara tenang kerana jika dilihat gelabah atau tidak keruan adalah mudah untuk pihak musuh mengenalpasti kelemahan atau kelakuan seseorang perisik.

BACA INI JUGA: Kedutaan Australia Pusat Pengintipan Di Asia

Sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon