Thursday, January 19, 2017

Insiden Raja Memukul Rakyat Antara Punca Pindaan Perlembagaan 1993


Hari ini, kita belajar dari sejarah bagaimana pelembagaan yang boleh membicarakan raja-raja yang melakukan jenayah telah digubal untuk mengembalikan sistem raja yang bermaruah dan dihormati.

Forest City

Sejak dari itu, raja-raja Melayu tidak lagi boleh buat sesuka hati tanpa memikirkan kesan dari perbuatan mereka.

Pada 18 Januari 1993, sebutan kedua telah dibaca oleh Perdana Menteri ketika itu untuk meminda perlembagaan. Ianya telah diluluskan di Parlimen dan disokong oleh ramai wakil rakyat; termasuklah wakil rakyat dan menteri kabinet dari Pekan.

Di bawah adalah petikan dari perbahasan tersebut:

RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993

Perdana Menteri: Ketika negara menuntut kemerdekaan, pemimpin- pemimpin negara yang telah mendapat kemenangan besar dan sokongan padu dalam Pilihanraya Umum tahun 1955 telah membuat pilihan supaya sistem pemerintahan di negara ini ialah sistem Demokrasi Berparlimen (Parliamentary Democracy) dan Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy).

Sistem ini dipilih kerana semasa Negeri-negeri Melayu diperintah melalui sistem feudal dengan kuasa di tangan Raja, Negeri-negeri Melayu adalah begitu lemah dan pentadbirannya berada dalam keadaan kucar-kacir.

Negeri-negeri ini tidak dapat menentukan keamanan dan menguat- kuasakan undang-undang. Akibatnya negeri-negeri ini terpaksa meletakkan diri di bawah naungan kuasa-kuasa asing seperti China, Siam dan negara Barat.

Akhirnya semua Negeri Melayu ditakluki oleh British dan diperintah sebagai tanah jajahan British melalui perjanjian di antara Raja-Raja yang memerintah dengan pihak Kerajaan British.

Selepas Perang Dunia Kedua, Raja-Raja Melayu berharap apabila British mentadbir semula kedudukan mereka sebagai Raja yang berada di bawah nasihat pegawai- pegawai British akan dikembalikan.

Negeri-negeri Me!ayu akan sekali lagi diperintah oleh British walaupun tidak seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. di mana British berkuasa penuh.

Bagi majoriti rakyat Melayu negeri-negeri Semenanjung, mereka juga bersedia menerima pemerintahan di mana kemelayuan Negeri-negeri Melayu diakui oleh British, walaupun pentadbiran dikuasai hampir sepenuhnya oleh British.

Namun ada pendapat di kalangan sebilangan orang Melayu bahawa negeri-negeri Melayu sepatutnya dibebaskan daripada pemerintahan Kolonial British sama sekali.

Orang Melayu hanya sedar akan kemungkinan mereka diketepikan dan menjadi pengemis di negeri mereka sendiri apabila Raja-Raja Melayu tunduk kepada ugutan MacMichael dan menandatangani perjanjian baru dengan British yang menyerahkan Negeri-negeri Melayu terus kepada British untuk diperintah sebagai tanah jajahan takluk British sama seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka.

Oleh kerana begitu mudah Raja-Raja menyerahkan Singapura, Pulau Pinang dan Pangkor kepada penjajah dan kemudiannya menyerah pula Negeri-negeri Melayu, maka rakyat tidak lagi boleh menerima sistem yang memberi kuasa hanya kepada Raja dan rakyat tidak diberi peranan apa-apa dalam politik negara.

Lagipun selepas Perang Dunia Kedua, Sistem Raja berkuasa penuh sudah menjadi lapuk di seluruh dunia. Di merata-rata tempat, Sistem Beraja ditamatkan terus. Di mana ia dikekalkan, kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan ataupun undang-undang asas negara.

Justeru itu, semasa Persekutuan Tanah Melayu menuntut kemerdekaan, pemimpin-pernimpin rakyat telah mengkaji sistem-sistem pemerintahan dengan mengambil kira sejarah negeri-negeri Melayu dan sistem-sistem pemerintahan lain.

(beberapa perenggan berikutnya)

Hanya dalam Perlembagaan Malaysia sahaja yang diperuntukkan secara khusus bahawa di bawah Artikel 181(2) bahawa, dengan izin, no proceedings whatsoever shall be brought in any court against the Ruler of a State in his personal capacity”.

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pertama negara ini, pernah menulis bahawa kekebalan ataupun immunity ini tidak “satisfactory” kerana Raja boleh membunuh tanpa sebarang tindakan terhadapnya. Kesan peruntukan Artikel 181(2) ini amatlah luas.

Oleh kerana Perlembagaan-perlembagaan Persekutuan dan Negeri adalah juga undang-undang, Artikel 181 (2) sebenamya membenarkan Raja melanggar Perlembagaan. Sebab itu apabila Raja berniaga, walaupun dilarang oleh Perlembagaan, tidak ada apa-apa yang boleh dibuat oleh kerajaan. Yang di-Pertuan Agong juga tidak boleh didakwa dalam mana-mana mahkamah. Tetapi Majlis Raja-Raja boleh melucutkan jawatannya. Sebaliknya sebagai Raja, Artikel 181(2) akan melindunginya.

Jika Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kekebalan yang diberikan kepada Raja-Raja perlulah dihapuskan.

Oleh kerana Perlembagaan di negara-negara yang mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan tidak memberi kekebalan kepada Raja-Raja mereka, maka penghapusan kekebalan Raja-Raja Melayu tidak akan menjejaskan sovereignty atau kedaulatan mereka.

Di zaman moden ini, hanya kerana Raja tidak boleh melakukan jenayah dengan sewenang-wenangnya tidak akan menjejaskan taraf Raja, terutama di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

(beberapa perenggan berikutnya)

Tuan Yang di-Pertua, saya berasa amat sedih kerana pada hari ini saya terpaksa mengemukakan kepada Dewan yang mulia ini satu Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan yang sedikit sebanyak mencemar nama baik Raja dan Institusi Raja. Dengan hati yang berat saya telah mengemukakan dan mengulas pindaan-pindaan yang dicadangkan ini.

Kerajaan membuat keputusan untuk meminda Perlembagaan bukannya tanpa sebab. Sebenarnya seperti yang telah saya katakan, kerajaan telah mengelak daripada membuat pindaan ini semenjak daripada mula kita mencapai kemerdekaan.

Kita mengelak kerana ingin menjaga maruah Raja-Raja. Tetapi pendekatan secara ini tidak meredakan keadaan. Sebaliknya, keadaan menjadi lebih buruk.

Akhirnya dengan berlakunya insiden Raja memukul rakyat dan sebelum ini satu lagi insiden di mana anak Raja juga memukul rakyat, kerajaan tidak dapat memandang ringan kejadian-kejadian ini tanpa menjejaskan kredibiliti kerajaan sebagai pemerintah yang bertanggungjawab. (Siapakah Raja dan anak Raja tersebut?)

Kerajaan terpaksa membuat pendirian tegas untuk melindungi rakyat daripada dianiaya oleh Raja. Sudah tentu pendirian ini tidak dibuat kerana dua insiden ini sahaja.

Sebelum ini terdapat banyak insiden di mana Raja menganiaya rakyat, Raja menyalahi undang-undang civil dan criminal, Raja menyalahgunakan wang serta harta kerajaan dan negara, Raja menekan dan menganiaya pegawai-pegawai.

Insiden di Johor hanyalah dengan izin, “the straw that broke the camel’s back”. Reaksi rakyat terhadap insiden-insiden ini jelas menunjukkan bahawa rakyat tidak lagi dapat menerima dan “tolerate” perbualan seperti ini.

Tuan Yang di-Pertua, memang ada orang tertentu yang seolah-olah ingin memberi kuasa dan mempertahankan Raja apabila Raja melakukan jenayah.

Mereka cuba memesongkan fikiran rakyat dengan menuduh bahawa kerajaan bercadang menghapuskan Sistem Beraja.

Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak bercadang sama sekali untuk menghapuskan Sistem Beraja.

Ini jelas daripada pindaan yang dikemukakan. Sebarang cadangan untuk menghapuskan Sistem Beraja akan ditafsir sebagai hasutan dan kerajaan akan mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan ke atas sesiapa sahaja yang mengesyor atau bertindak untuk menghapuskan Sistem Beraja. (Tepuk)

Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan sedar bahawa rakyat, khususnya orang Melayu menerima dan menyokong Institusi Raja- Raja Melayu.

Tuduhan yang dibuat bahawa kerajaan bercadang untuk menghapuskan Sistem Beraja adalah kerana kepentingan politik sahaja.

Kerajaan yang mewakili majoriti orang Melayu dan kaum-kaum lain akan mematuhi kehendak rakyat dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh rakyat.

Oleh kerana jelas majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini masih menghendaki Sistem Beraja, khususnya Sistem Raja Berperlembagaan, maka Kerajaan akan menentukan sistem ini dilindungi oleh Perlembagaan.

Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang berpendapat bahawa Raja Melayu diperlukan untuk melindungi orang Melayu. Peristiwa Perjanjian MacMichael dan Malayan Union jelas membuktikan bahawa yang sanggup dan mampu melindungi orang Melayu ialah orang Melayu sendiri.

Jika tidak kerana mereka bangun dan menentang Malayan Union, hari ini orang Melayu akan menjadi pengemis di negeri sendiri.

Apakah dengan hanya menghalang Raja daripada melakukan jenayah, maka Raja akan hilang kedaulatan dan tidak lagi menjadi Raja?

Pendapat bahawa Raja hanya boleh menjadi Raja jika ia berhak dan diberi keistimewaan melakukan jenayah adalah bertentangan dengan konsep Raja sebagai punca undang-undang.

Di zaman dahulu di Barat, Raja memang mempunyai hak melakukan jenayah. Umpamanya, mengikut kepercayaan kepada konsep, dengan izin, “Droit du seigneur”, ataupun “right of the Lord”, ataupun Hak yang di-Pertuan, Raja berhak bermalam dahulu dengan semua pengantin baru. (Ketawa) (dahulu ada banyak kes di mana anak raja memaksa isteri-isteri atau kekasih orang untuk tidur dengannya)

Tetapi di Barat pun, semua hak ini telah dihapuskan. Sebab itu, di negara-negara Barat yang mengekalkan Sistem Beraja tidak ada kekebalan secara khusus bagi Raja.

Jika adapun sebutan bahawa Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah, ini hanyalah formaliti sahaja. Raja, Kerajaan dan rakyat tahu bahawa jika Raja melakukan jenayah, ia akan dihadapkan ke mahkamah dan ia akan diturunkan dari takhta. Justeru itu, Raja di negara Barat tidak akan dengan sengaja melakukan jenayah.

Walaupun jelas Raja-Raja di Barat tidak kebal ataupun immune daripada tindakan undang-undang dan bukan undang-undang, Raja masih tetap juga Raja. Mereka masih dihormati dan disegani.

Tuan Yang di-Pertua, di zaman British Raja-Raja Melayu bukan sahaja tidak kebal tetapi juga berada di bawah telunjuk pegawai-pegawai British.

Mereka boleh dinaikkan ataupun diturunkan dari takhta. Satu daripada ugutan MacMichael supaya Raja menandatangani Perjanjian Malayan Union ialah mereka akan diturunkan dari takhta jika mereka tidak menandatangani perjanjian tersebut. (Ramai ingin tahu Sultan mana yang pertama menandatangani perjanjian tersebut)

Dalam keadaan sebeginipun, Raja masih terus menjadi Raja. Rakyat tidak menuntut supaya Raja-Raja disingkir atau Sistem Beraja dihapuskan walaupun Raja-Raja telah menyerahkan Negeri-negeri Melayu kepada penjajah.

Sayugia diingatkan bahawa pada masa itu Raja-Raja di Indonesia, India dan Pakistan telah ditolak oleh rakyat yang menuntut kemerdekaan.

Sebaliknya rakyat Malaysia, terutama orang Melayu dan UMNO, telah berjuang untuk menyelamatkan Raja-Raja dan Sistem Beraja.

Dengan tindakan orang Melayu melawan Malayan Union adalah jelas bahawa nasib orang Melayu berada di tangan rakyat Melayu.

Keselamatan orang Melayu tidak terjejas dengan Raja Melayu tidak memiliki hak untuk melakukan jenayah.

Ada pihak yang berkata dengan penghapusan hak Raja melakukan jenayah, maka orang Melayu tidak akan Melayu lagi atau akan habislah keistimewaan kedudukan orang Melayu. Ini tidaklah benar. Ini adalah fitnah.

Yang akan menjamin Melayu terus Melayu dan hak-hak orang Melayu terus terpelihara ialah orang Melayu sendiri.

Merekalah melalui wakil-wakil dan kerajaan yang mereka pilih yang mencipta dan melaksanakan berbagai-bagai rancangan untuk memelihara dan menebus maruah bangsa Melayu.

Anda boleh membaca lebih lanjut di parlimen.gov.my.

Raja-raja+Melayu

Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu with Field Marshal Sir Gerald Templer, The High Commissioner of Malaya, seated in the middle. Standing in the rear are the Menteris Besar of the respective Malay States. Raja Dato Haji Ahmad is seen standing third from right. (Courtesy of Raja Shahrul Reza Raja Abdul Aziz) Courtesy of https://sembangkuala.wordpress.com

Antara pindaan yang dicadangkan ketika itu adalah:

a) raja-raja boleh dikenakan tindakan undang-undang jika melakukan jenayah di dalam urusan tidak rasmi.

b) mahkamah khas disediakan untuk membicarakan raja-raja yang telah melakukan jenayah.

c) raja-raja yang sedang diambil tindakan undang-undang hendaklah berhenti melakukan tugas tugas diraja dan seorang pemangku raja perlu mengambil alih tugas tersebut sementara kes dibicarakan. Jika dia disabit kesalahan dan dihukum lebih dari satu hari penjara, maka raja itu mesti turun takhta, melainkan jika dia diampunkan.

d) raja-raja tidak lagi boleh mengampunkan diri sendiri atau puteranya apabila mereka didapati bersalah di dalam melakukan jenayah. Pengampunan hanya boleh dilakukan oleh majlis raja-raja tanpa penglibatan raja yang disabitkan kesalahan.

e) ahli-ahli dewan rakyat diberi semula hak menegur raja-raja semasa berbahas di dalam parlimen (hak ini ditarik pada tahun 1971).

Nota: Yang DiPertuan Agong ketika itu adalah almarhum Sultan Azlan Shah dari Perak.

PERSITIWA GOMEZ 1992

Kita sering mendengar kisah kononnya Tun Mahathir ialah pengkhianat raja-raja melayu kerana menjadi dalang utama kes perlucutuan kekebalan raja-raja Melayu, tetapi tahukah anda peristiwa besar apakah yang berlaku di sebalik peristiwa tersebut?

Luahan Hati Anak Douglas Gomez

Anak kepada jurulatih hoki Douglas Gomez yang dilaporkan dikasari oleh Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail pada tahun 1992 menyifatkan krisis perlembagaan yang berlaku ketika itu sebagai kebangkitan rakyat.

Brian Gomez melalui akaun media sosial Facebook pada tahun 2016 lalu, mengimbau kembali tragedi yang menimpa mendiang ayahnya sehingga menyebabkan rakyat biasa bersatu menentang ketidakadilan.

Menurutnya, pengalaman melihat bapanya pulang dari istana dengan mata yang lebam merupakan tragedi hitam dalam hidupnya.

“Saya masih ingat, dalam habuk pergolakan dua gergasi, rakyat biasa yang tampil, bangkit, mencerahkan jalan.

“Saya masih ingat bagaimana ayah saya, seorang guru dan jurulatih pasukan hoki sekolah, dibawa ke istana. Saya masih ingat matanya yang lebam setelah pulang ke rumah.

“Saya masih ingat ceritanya tentang apa yang berlaku di istana; dan milik siapa tangan yang menyebabkan lebam itu,” katanya memetik luahan tersebut.

Ekoran insiden tersebut Perdana Menteri pada ketika itu meminta Tun Ghafar Baba selaku timbalan perdana menteri untuk membentangkan satu usul di Parlimen mengambil ketetapan supaya insiden kezaliman Raja terhadap rakyat tidak berulang.

Usul ini mencatat sejarah apabila mendapat sokongan 100% termasuk ahli parlimen dari blok pembangkang.

Susulan daripada itu Raja-Raja Melayu akhirnya bersetuju untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan Raja-Raja Melayu didakwa dan dibicara dalam sebuah Mahkamah Khas.

Mengulas lanjut Brian berkata disebabkan peristiwa itu keluarganya telah menerima ratusan surat sokongan daripada rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.

“Paling ketara ialah peti surat rumah saya, yang menerima ratusan surat dari semua lapisan rakyat Malaysia; dari orang yang kami tak kenal pun; yang merakamkan sokongan kepada ayah saya.

“Saya masih ingat drebar-drebar teksi sekitar JB, yang untuk bertahun, enggan menerima apa-apa bayaran tambang dari ayah saya.

“Ia (kuasa sebenar) wujud dalam keberanian, keyakinan-diri dan hak setiap individu untuk mempersoalkan keadaan yang sedia ada. Kuasa sebenar milik rakyat,” ujarnya pula.

Luahan Brian itu dikatakan sebagai respon terhadap kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengimbas kembali sejarah hitam yang menimpa pihak istana pada 1992 ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lucut kekebalan

Pada tahun 1992, apabila Persekutuan Hoki Malaysia menggantung Tunku Abdul Majid, putera kedua Sultan Iskandar daripada bermain selama lima tahun kerana memukul penjaga gol pasukan hoki Perak selepas pasukan Johor ditewaskan dalam satu perlawanan, ayahandanya menjadi berang.

Sultan Iskandar kemudiannya bertindak memberi tekanan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Johor supaya mengarahkan semua pasukan hoki sekolah di negeri itu supaya memulaukan kejohanan kebangsaan.

Ini menjadikan Douglas Gomez sebegitu kecewa lalu membidas Jabatan Pendidikan Johor serta menuntut peletakan jawatan semua ahli jawatankuasa dalam Persatuan Hoki Johor.

Bengang dengan perkembangan itu, Sultan Iskandar kemudian menitahkan Gomez ke istana dan didakwa mengasarinya. Jurulatih hoki itu kemudiannya membuat laporan polis. -suaraTv

Susulan daripada itu sesi khas parlimen yang bersidang meluluskan usul untuk melucutkan kekebalan Raja-raja Melayu.

Kekebalan Raja Dilucut

Peristiwa ini telah mendatangkan kemarahan rakyat sehingga memaksa parlimen melakukan sesuatu.

Selepas disiasat dan dibincangkan, peristiwa yang membawa kepada insiden-insiden di atas kerana kekebalan raja-raja Melayu pada waktu itu daripada undang-undang.

Selaku perdana Menteri, Tun Mahathir terpaksa melakukan perubahan walaupun dengan berat hati, tetapi mahu mengelakkan perkara ini daripada menjadi nanah dalam negara, maka rang undang-undang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing pada 19 dan 20 Januari 1993.

Rang undang-undang yang berusul melucutkan kekebalan ini diluluskan oleh enam daripada sembilan raja namun menghadapi tentangan hebat daripada tiga raja yang lain, termasuk Sultan Iskandar sendiri.

Sultan Iskandar mengambil inisiatif untuk meraih sokongan diraja untuk menghalang pelaksanaan usul tersebut.

Rang undang-undang yang berusul melucutkan segala kekebalan dari para raja dan ahli kerabat diraja, menjadikan mereka boleh didakwa mengikut undang-undang bila-bila masa timbulnya salah laku jenayah yang terbukti.

Kita nampak di sini, bukan Tun sahaja yang bersetuju dengan hal ini, bahkan terdapat 6 raja-raja Melayu yang turut sekepala dengan Tun.

Tun bukanlah menentang sistem monarki itu, tetapi untuk mempertahankan sistem monarki tersebut daripada runtuh.

Kalau sikap ini berterusan gara-gara kekebalan itu, kamu rasa orang Melayu akan mampu bertahan?

Bukan tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana raja digulingkan.

Pernah dengar kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang?

Memandangkan raja-raja Melayu ialah benteng terakhir umat Melayu, maka Tun terpaksa berbuat sesuatu untuk melindungi senjata yang akan mempertahankan Hak Agama Islam dan Bumiputera ini.

Kita berharap selepas ini tiada lagi sebarang tuduhan mengatakan bahawa Tun Mahathir adalah pengkhianat bangsa.

KEKEBALAM RAJA-RAJA MELAYU

Oleh: TAN SRI DR. NORDIN KARDI, Penyandang Kursi Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pada minggu lepas, saya dan kawan-kawan melepak di Balai Seni Lukis Negara.

Kawan-kawan itu termasuk Dato’ Seri Helmi, Dato’ Seri Anwar Zaini, Dato’ Kamarudin, General Dato’ Yunus Long, Tan Sri Kamal Salleh, Dr. Hasan Mad, Roslan dan Faridah, dari USAHANITA.

Selain bertanya khabar kami berbual mengenai banyak perkara mengenai Melayu.

Sultan dan Raja-Raja Melayu menghadiri Mesyuarat ke-220 Majlis Raja-Raja di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada tahun 2011.

Kecuali saya, kawan-kawan saya itu rupanya sangat cergas bergerak dalam pelbagai badan bukan kerajaan mengikut kecenderungan dan latar belakang pendidikan masing-masing.

Dalam perbincangan itu seperti ada persetujuan antara kami bahawa ada beberapa tunggak yang jika salah satu daripadanya diusik, maka keseluruhan Melayu itu terusik.

Tunggak-tunggak itu adalah bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan agama Islam, hak Istimewa orang Melayu (termasuk tanah simpanan Melayu) di dalam Perlembagaan.

Antara beberapa perkara yang menarik perhatian saya adalah mengenai kekebalan Raja-Raja Melayu dalam konteks undang-undang.

Pada 1993, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi membolehkan prosiding undang-undang diambil terhadap mana-mana Raja Melayu di dalam Mahkamah Khas.

Sebelum pindaan itu, baginda semua adalah kebal daripada apa-apa prosiding mahkamah.

Perbualan kami bertukar serius apabila disentuh mengenai wasiat Raja-Raja Melayu semasa menandatangani watikah kemerdekaan pada tahun 1957 seperti yang dititahkan semula oleh Raja Muda Perak, Dr. Raja Dr. Nazrin Shah di dalam suatu majlis dan disiarkan di Utusan Malaysia pada 23 Ogos 2009.

Wasiat itu dicatat begini,

Pertama: Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

Kedua: Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Ke-tiga: Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

Ke-empat: Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.

Ke-lima: Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan.

Ke-enam: Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Ke-tujuh: Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Disebutkan juga bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah dari empat ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan lima ‘Negeri Melayu Tidak Bersekutu’ telah memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut.

Jika demikian keadaannya, Raja-Raja Melayu yang sebelumnya memerintah secara kuasa mutlak telah berkenan menyerahkan kuasa baginda-baginda itu kepada apa yang dipanggil sebagai “Perlembagaan Persekutuan” yang boleh ditambah atau dipinda melalui kuasa yang dipilih rakyat di rumah yang mulia dinamakan Parlimen.

Disebutkan juga bahawa beberapa fasal dalam perlembagaan hanya boleh dipinda oleh Parlimen jika mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu.

Fasal-fasal tersebut adalah perkara 3 (1), (2), (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12, Perkara 38 (5); Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

Dalam hal inilah, wajar diteliti semula sama ada parlimen boleh meluluskan penubuhan Mahkamah Khas bagi membolehkan sesuatu prosiding diambil terhadap Raja-Raja Melayu tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu.

Jika jawapannya boleh, maka fasal tersebut di dalam perlembagaan adalah halal dan jika tidak maka fasal berkenaan adalah sebaliknya.

Selain dari melihat aspek teknikal yang menyentuh kekebalan Raja-Raja Melayu itu elok juga dilihat apakah doktrin yang boleh diguna pakai sama ada untuk mempertahankan kekebalan Raja-Raja Melayu atau yang sebaliknya.

Jika kuasa Parlimen menambah atau meminda perlembagaan itu asalnya diberikan oleh Raja-Raja Melayu, adakah wajar parlimen yang diberi kuasa itu kemudiannya membuat peraturan mengatasi dan melebihi kehendak kuasa yang memberi?

Demikianlah dalam kes Bropho melawan State of Western Australia (1972), Ketua Hakim Mason dan Hakim-hakim Deane, Dawson, Toohey, Gaudron and McHugh mengeluarkan pernyataan bersama yang menentang sebarang statut yang akan mengikat ‘Crown’ (sebagai ingatan, Ketua Negara bagi Australia masih lagi Raja Inggeris).

Dalam konteks ‘English Common Law’ dikatakan bahawa oleh sebab sumber undang-undang itu datangnya daripada kedaulatan raja, maka raja tidak boleh dipertanggungjawabkan di mahkamah yang dicipta dengan kuasanya.

Jika mahkamah atau undang-undang itu hendak diadakan juga maka raja hendaklah memberi persetujuan atau ‘consent’.

Di Amerika Syarikat (AS) suatu ketika dahulu kekebalan turut diberi kepada negara daripada sebarang tindakan undang-undang dengan menggunakan doktrin yang sama.

Kes Gibbons melawan United States (1986) Mahkamah Agung memutuskan bahawa Kerajaan Pusat tidak boleh disaman tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Kongres.

Hal ini ditegaskan lagi di AS dalam kes Alden v. Maine (1999).

Di England dikatakan walaupun Crown Proceedings Act 1947 seperti memberi kelonggaran dalam kes ‘tort’ dan kontrak tetapi Raja tetap kebal daripada prosiding jenayah.

Kekebalan Raja yang menjadi ketua sesebuah negara bukan sahaja wujud dalam negara-negara berkenaan tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini, duta-duta, yang mewakili negara atau ketua negara juga mendapat perlindungan daripada kekebalan ini.

Daripada prinsip ‘customary international law’ negara itu kebal daripada sebarang prosiding di negara lain.

AS sendiri mengiktiraf konsep ini di bawah akta Foreign Sovereign Immunities (1976).

Apa yang kelihatan daripada contoh-contoh ini adalah, secara konvensyennya, sumber kuasa sesuatu undang-undang itu diberi kekebalan.

Doktrin memberi kekebalan ini nampaknya dihormati di banyak negara termasuk Singapura yang memberi kekebalan kepada Presidennya.

Di Itali pula, percubaan mempertanggungjawabkan Presiden ke mahkamah adalah suatu jenayah.

Di Malaysia pada keseluruhannya, Raja-Raja Melayu masih kelihatan kebal daripada prosiding undang-undang tetapi penubuhan Mahkamah Khas seperti ‘precedence’ kepada sentuhan kepada kekebalan itu.

Rakan saya Azam menghujah kepada saya bahawa Mahkamah Khas itu adalah untuk kes-kes peribadi Raja.

Saya pula bertanya bagaimana hendak memisahkan yang peribadi dengan yang bukan peribadi seperti yang saya pernah alami di mahkamah dalam menanggung beban ‘vicarious liability’?

Adakah terdapat konsep ‘mutlak’ separuh-separuh? Ada pula yang menjawab ‘apa salahnya’.

Seperti persetujuan rakan-rakan yang melepak di Balai Seni Lukis Negara itu, kami sebutkan sekali lagi bahawa mengusik mana-mana tunggak yang telah dinyatakan bererti mengusik keseluruhan yang berkaitan dengan Melayu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: jebatmustdie | suarainsan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon