Sunday, December 04, 2016

Kenapa Kita Perlu Dan Patut Menderma Darah?


Setiap hari darah diperlukan untuk menyelamatkan nyawa semasa pembedahan, mangsa kemalangan, untuk merawat pesakit leukemia, barah, pesakit jantung, penyakit hati dan hemophilia.

Derma Darah

Sumbangan anda mungkin mampu menyelamatkan nyawa seseorang kerana hospital sentiasa kekurangan darah.

Sebab itulah betapa pentingnya kita semua, sekiranya layak dan dibenarkan untuk menderma darah, patut menderma darah setiap 3 bulan.

Siapa Yang Layak Menderma Darah?

Jika anda berumur 17 tahun ke atas (pengesahan umur diperlukan) dan mempunyai berat badan melebihi 45 kg.

Pada amnya, pengambilan ubat tidak menjadi halangan untuk menderma darah kerana penerimaan dan penolakan berdasarkan laporan perubatan.

Bagaimanapun, sekiranya anda mengambil sebarang ubat, sila beritahu sebelum menderma darah.

Berapa Lama Masa Diambil Untuk Menderma Darah?

Proses menderma darah akan mengambil masa diantara 7-10 minit, tetapi anda dinasihatkan supaya berada di tempat menderma selama lebih kurang satu jam.

Adakah Suntikan Jarum Menyakitkan?

Anda cuma berasa sakit sedikit dan tidak lagi selepas itu.

Berapa Banyak Darah Yang Akan Diambil?

Darah anda akan diambil mengikut berat badan.

Contohnya: Jika berat badan anda 45 kg hingga 50 kg sebanyak 350ml dan 50 kg ke atas sebanyak 450ml sahaja.

*1 pain darah adalah sebanyak 586 ml).

Bagaimana Rasanya Selepas Saya Menderma Darah?

Anda akan berasa begitu gembira dan mendapat kepuasan apabila dapat membantu pesakit-pesakit yang memerlukan darah.

Bolehkah Saya Bersukan Selepas Menderma Darah?

Boleh. Cuma elakkan dari melakukan aktiviti yang berat untuk tempoh 5 jam selepas menderma darah.

Banyakkan minum air dalam tempoh 24 jam.

Berapa Lama Masa Yang Diambil Untuk Menggantikan Darah Yang Telah Didermakan Itu?

Plasma darah digantikan semula selepas 24 jam. Anda perlu minum 4 gelas air dan jangan melakukan kerja berat dalam tempoh 5 jam.

Darah merah memerlukan jangkamasa 8-12 minggu untuk digantikan dan anda boleh menderma semula selepas itu.

Apa Yang Berlaku Kepada Darah Yang Telah Anda Dermakan?

Darah anda akan diuji untuk menentukan kumpulan darah, jangkitan virus seperti Sifilis, Hepatitis B & C dan AIDS (HIV), kemudian disimpan untuk kegunaan pesakit.

Darah juga boleh diasingkan kepada beberapa komponen darah dan boleh digunakan untuk merawat lebih dari seorang pesakit.

Fakta Transfusi (Pemindahan) Darah

Jika anda seorang pesakit yang perlukan rawatan pemindahan darah, atau ada ahli keluarga yang menerima pemindahan darah, pastikan anda mendapat maklumat yang jelas daripada doktor sebelum menerima transfusi (pemindahan) darah.

Apa Itu Transfusi (pemindahan) Darah?

Transfusi darah ialah rawatan yang melibatkan pemindahan produk-produk darah ke dalam badan pesakit.

Produk-produk darah termasuklah:
  • Sel darah merah
  • Plasma
  • Platelet
  • Cryoprecipitate
  • Immunoglobulin atau faktor 'concentrate'

Jenis produk darah yang digunakan untuk transfusi adalah berdasarkan keperluan klinikal.

Apa Tujuan Transfusi Darah?

Transfusi darah diperlukan untuk merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.

Antara keadaan yang memerlukan transfusi darah ialah;
  • Pendarahan serius yang terjadi disebabkan kemalangan, pembedahan major, atau kompilasi semasa bersalin.
  • Demam denggi berdarah.
  • Anemia seperti thalasemia, leukimia atau kanser.
  • Mangsa kebakaran.
  • Bayi peringkat neonatal yang mengalami kekuningan yang teruk.
  • Pesakit haemofilia.

Adakah Transfusi Darah Selamat?

Beberapa langkah telah diambil bagi memastikan bekalan darah itu selamat.

Diantaranya:
  • Pemilihan penderma dari kalangan mereka yang selamat dan berisiko rendah.
  • Darah penderma disaring (diuji) untuk mengesan virus HIV, Hepatitis B, Hepatitis C dan Sifilis, menggunakan kaedah ujian semasa (terkini).
  • Hanya darah yang disahkan bebas dari agen jangkitan diatas akan digunakan untuk transfusi darah.
  • Menjalankan ujian kumpulan darah, RH dan keserasian ke atas darah anda dan darah penderma.

Sebelum transfusi darah, sampel darah anda akan diambil dan dihantar ke makmal bagi menjalankan ujian tersebut.

Walaubagaimanapun, masih terdapat risiko yang minima berkaitan dengan transfusi darah diantaranya;
  • Jangkitan virus HIV, Hepatitis B, Hepatitis C dan Sifilis, sekiranya pendermaan darah dibuat dalam masa 'window period'.
  • Jangkitan virus, bakteria atau parasit yang tidak dapat dikesan oleh ujian-ujian semasa.
  • Reaksi transfusi yang akut. Sebilangan kecil pesakit boleh mengalami tindakbalas transfusi darah.

Tanda-tandanya termasuklah;
  • Demam
  • Ruam
  • Kulit terasa gatal
  • Menggigil kesejukan
  • Sesak nafas dan sebagainya

Hanya darah yang benar-benar serasi sahaja akan digunakan untuk transfusi darah.

Apa Itu 'Window Period'?

Tempoh masa diantara waktu virus memasuki badan sehingga ianya dapat dikesan melalui ujian makmal.

Jika pendermaan darah dibuat dalam masa 'window period', ujian saringan akan menghasilkan keputusan yang negatif.

Apakah Tindakan Yang Sepatutnya Dilakukan Jika Berlaku Reaksi Transfusi Yang Akut?

Anda perlu memberitahu doktor dan jururawat dengan segera.

Transfusi darah akan dihentikan dan rawatan yang bersesuaian akan diberikan kepada anda.

Sebelum menerima transfusi darah, pastikan anda mendapat penjelasan dari doktor mengenai:
  • Tujuan transfusi darah.
  • Faedah serta risiko transfusi darah.
  • Alternatif atau pilihan lain selain transfusi darah (jika ada).

Apa Langkah-langkah Yang Diambil Semasa Proses Transfusi Darah?
  • Penerangan oleh doktor tentang tujuan, faedah serta risiko mengenai transfusi darah.
  • Anda memberi persetujuan untuk transfusi darah setelah memahami penerangan yang diberikan oleh doktor.
  • Anda mesti memberi pengenalan diri yang tepat kepada doktor dan jururawat yang akan mengambil sampel darah.
  • Sampel darah anda diambil untuk ujian penentuan kumpulan darah, RH dan ujian keserasian.
  • Darah yang diuji keserasiannya diberikan kepada anda dengan pengawasan doktor dan jururawat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Khasiat Sayur Peria Membersihkan Darah Dalam Badan

-SENTIASAPANAS.COM

3 comments

  1. Saya memang selalu menderma darah.. Setiap 3-6 bulan sekali wajib derma. Rasa puas dapat derma.. Bdan rasa ringan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu. Saya pun penderma darah yang aktif. Hari tu kat hospital kesian pula tengok rekod simpanan darah hospital yang hampir kosong. Kesian.

      Delete
  2. Saya nk sgt derma..tp saya takot jarum..jarum macam buluh..besar..tolong support saya pliss

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon