Thursday, November 17, 2016

Menteri Kata Semuanya OK, Tapi Kenapa Semakin Menyusahkan Rakyat?


Apa yang menteri cakap selalunya tidak menepati apa yang sebenarnya dialami rakyat. Kalau menteri kata “semua OK”, apa yang akan terjadi kepada rakyat ialah “semua KO”.

Johari Ghani bohong

Ambil isu minyak masak sebagai contoh terkini. Sebelum ini, Hamzah Zainuddin berkata, orang ramai tidak perlu bimbang lagi untuk mendapatkan minyak masak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berjanji, seperti yang disiarkan media: “Bekalan minyak masak di pasaran dijamin stabil sepenuhnya”

Tetapi pada hari yang dijanjikan, apa yang menteri janji tidak menjadi kenyataan. Sana-sini di seluruh negara bahan penting itu masih sukar ditemui. Tinjauan yang dibuat oleh stesen-stesen TV, termasuk TV kerajaan, mendapati minyak masak masih tidak dijual seperti biasa.

Menteri yang sama berkata lagi, “Peruncit yang sudah menerima bekalan minyak masak 1 kilogram (kg) tetapi tidak menjualnya, ia merupakan satu kesalahan, dan kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.”

Hakikatnya ialah ramai peruncit, termasuk di pasar raya, tidak menjual barangan penting itu, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil. Maka pengguna berandaian “menteri cakap tidak serupa bikin.”

Seperti yang diumumkan, di bawah penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak, minyak masak paket 1kg masih kekal dijual pada harga subsidi RM2.50.

Tetapi yang membeli paket lebih 1 kg, harga naik RM1.50 setiap kg. Ertinya jika membeli paket atau botol 5kg pengguna terpaksa membayar tambahan RM7.50, dan sekiranya membeli tin 10kg, ada tambahan harga RM15.

Beberapa minggu telah berlalu sejak kerajaan mengumumkan penstrukturan harga minyak masak, banyak kedai – termasuk pasar raya dan hipermarket – tidak menjual bahan tersebut bagi paket 1kg.

Kalau ada kedai jual pun pembelian terhad hanya dua paket seorang. Menteri senang sahaja cakap, “kalau hendak lebih beli botol 3kg atau 5kg.”

Itu cakap orang banyak duit. Bagi menteri kalau dia hendak beli yang 20kg atau 30kg pun tidak ada masalah. Tetapi bagi sebahagian besar rakyat tambahan RM1.50 per kg pun terasa membebankan.

Maka, apabila tertekan dengan kenaikan harga minyak masak, orang ramai selalu teringat kata-kata Datuk Ahmad Maslan mengenai GST tidak lama dulu, “Saya memberi jaminan GST akan menurunkan harga barang!” Satu lagi contoh menteri cakap tidak betul.

GST

Satu lagi ayat klise menteri ialah, “kenaikan minyak masak RM1.50 per kg tidak akan menjejaskan orang ramai.” Ini pun kenyataan tidak realistik @ tidak masuk akal @ tidak bijak @ tidak mesra pengguna @ auta lebih.

Agaknya YB bercakap dari bilik hawa dingin, tidak turun ke bawah, jadi tidak tahu realiti minyak. Ini yang sebenarnya terjadi: seorang penjual goreng pisang dan mi goreng di gerai bawah pokok memerlukan 7kg minyak masak setiap hari, sedangkan dia hanya dapat sepaket 1kg daripada peruncit.

Dia terpaksa merayau satu KL dan singgah empat atau lima kedai sekiranya hendak mendapat enam paket lagi, itu pun kalau ada.

Oleh sebab minyak motor sudah habis dan minyak masak paket 1kg tidak dijual, dia akhirnya terpaksa membeli botol/tin 7kg, dengan tambahan kos RM10.50.

Bagi kebanyakan penjaja kecil, mereka tidak ada pilihan kecuali menaikkan harga pisang goreng, karipap, roti canai, mi goreng dan lain-lain makanan yang disediakan menggunakan minyak masak.

Sebab itu baru dua minggu harga minyak masak naik, sana sini orang mengeluh harga makanan telah naik. Agaknya menteri tidak tahu hal itu, sebab itu dia yakin berkata kehidupan rakyat tidak terjejas.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pun mengakui rakyat – termasuk penjawat awam – terbeban dengan kenaikan harga minyak masak, dan meminta kerajaan mengkaji semula mekanisme pengawalan harga barang.

Presidennya, Datuk Azih Muda bercakap kepada media, “Kesannya amat dirasai berikutan kenaikan harga minyak menyebabkan harga dalam rantaian yang lain termasuk pakaian sekolah turut naik, ada sehingga lebih 10 peratus...malah teh tarik yang tiada kena mengena pun naik.”

Di Kuala Krai, Kelantan, dilaporkan seorang pembeli kecewa terpaksa membayar RM6 untuk sebungkus nasi berlauk seketul ayam dan sedikit kerang. Penjual mengakui terpaksa menaikkan harga “sebab harga minyak masak naik.”

Pada hemat kita, dalam hal-hal tertentu ada baiknya menteri kunci mulut, sebab lagi banyak menteri bercakap lagi banyak dia dianggap berbohong.

Kata bidalan, siakap senohong gelama ikan duri; bercakap bohong lama-lama mencuri.

Jangan nanti bidalan itu diubah menjadi: siakap senohong gelama ikan duri; bercakap bohong lama-lama jadi menteri.

BACA INI JUGA: Rakyat Bayar Hutang RM26.7 Bilion Jika Tuntutan IPIC-Aabar Berjaya!?

Sumber: SH

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon