Saturday, October 01, 2016

Misteri Puaka Banglo Minxiong


Banglo Minxiong telah ditinggalkan tidak berpenghuni sejak tahun 1950-an, rumah agam tiga tingkat dengan seni bina gaya Sepanyol itu dibina pada tahun 1929 dan dimiliki oleh keluarga Liu yang kaya-raya.

Banglo Minxiong

Dan dalam remang-remang senja, rumah agam Banglo Minxiong berbata merah yang tersergam berdiri di sebalik semak-samun dan tumbuhan menjalar itu sudah cukup membuatkan sesiapa yang melihatnya berasa seram.

Ditambah dengan akar-akar pokok besar yang melitupi bahagian dinding dan menerobos setiap pintu serta tingkapnya, rumah itu sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian misteri dan mistik.

Tidak hairanlah banglo yang terletak di Minxiong, Chiayi, Taiwan ini cukup dikenali dengan nama Rumah Berhantu Minxiong di kalangan masyarakat tempatan.

Diceritakan, pemilik rumah yang juga tuan tanah, Liu Rong-yu menggaji ramai pekerja daripada tukang kebun sehinggalah pembantu rumah untuk membantu menguruskan rumah tersebut.

Banglo Minxiong

Rong-yu jatuh cinta dengan salah seorang pembantu rumahnya dan menjalinkan hubungan sulit tanpa pengetahuan isteri serta tujuh orang anaknya.

Pun begitu, hubungan mereka akhirnya dapat dihidu si isteri yang kemudian membalas dendam dengan mendera serta memaksa pembantu rumah itu melakukan kerja-kerja berat setiap kali Rong-yu tiada di rumah.

Tidak tahan dengan seksaan si isteri, pembantu rumah malang itu mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan terjun ke dalam perigi yang terletak di kawasan halaman rumah.

Penyakit misteri

Banglo Minxiong

Menurut cakap-cakap masyarakat tempatan, sejak tragedi itu, keluarga Liu tidak dapat hidup dalam suasana harmoni kerana sering diganggu roh pembantu rumah tersebut.

Kononnya, setiap malam, Rong-yu dan isterinya diganggu sehingga mereka sukar untuk melelapkan mata. Gangguan itu berlarutan dan semakin teruk sehingga memaksa keluarga Liu berpindah keluar daripada rumah agam tersebut.

Diceritakan lagi, nasib malang terus menghantui keluarga Liu meskipun mereka telah berpindah jauh dari situ.

Lebih menakutkan, seorang demi seorang ahli keluarga Liu mati sama ada dilanggar kereta, terbabit dalam kemalangan jalan raya atau menderita penyakit misteri.

Terdapat versi lain yang mengatakan selepas keluarga Liu meninggalkan rumah agam tersebut, ia menjadi lokasi perlindungan sementara buat sekumpulan tentera.

Pun begitu, seorang demi seorang jatuh sakit dan meninggal dunia akibat penyakit misteri. Ada juga di antara mereka yang nekad membunuh diri kerana tidak tahan menanggung kesakitan yang dialami.

Kehadiran roh-roh yang tidak tenang menambah seram kepada rumah agam itu sehingga ia diberi jolokan Rumah Berhantu Minxiong dalam kalangan masyarakat tempatan.

Kabus putih

Banglo Minxiong

Selain itu, banyak kejadian misteri dan insiden tragik menghantui rumah agam itu sejak ia ditinggalkan tidak berpenghuni.

Ada penduduk setempat mendakwa, mereka akan terdengar bunyi lolongan dan suara mersik tangisan disertai hilai ketawa di sekitar kawasan rumah agam berkenaan.

“Tiada sesiapa berani menghampiri apatah lagi masuk ke kediaman terbiar itu. Kemunculan kabus atau kepulan asap putih setiap kali tiba waktu senja juga membuatkan orang ramai takut untuk melalui kawasan ini pada waktu malam,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Li Shan seperti dipetik portal China Post.

Kini, selepas lebih 65 tahun, Rumah Berhantu Minxiong menjadi salah satu tarikan pelancong ke Chiayi, malah sebuah kafe dipanggil Kedai Kopi Berhantu dibuka di dalam kawasan rumah agam itu.

“Lokasi ini sangat digemari orang muda khususnya pelajar kolej. Mereka yang datang ke sini boleh singgah berehat minum kopi sambil melihat kawasan sekitar,” ujar Li Shan.

BACA INI JUGA: Misteri Sumpahan Berlian 'The Heart of The Ocean' Yang Berpuaka

Sumber: Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon