Thursday, October 06, 2016

Kenali The Third Force, Mereka Membantu Insan Yang Dalam Kesusahan!


Seorang lelaki berkulit cerah dan bercermin mata menjengkot-jengkot masuk. Sebaik mendekati, lelaki itu melemparkan senyuman.

Raja Shamri

Lelaki dengan satu nama yang dikenali di seluruh Malaysia. Orangnya berjiwa tulus, penuh dengan keikhlasan. Ya, siapa tidak kenal dengan Abang Raja.

Nama Raja Shamri mula terkenal sewaktu banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 2014.

Waktu itu, semua media terputus hubungan. Hanya Raja Shamri yang sentiasa memuat naik status perkembangan banjir di Kelantan ketika itu.

Facebooknya menjadi tumpuan ramai sehingga pengikutnya mencecah 600 ribu orang.

Siapa sebenarnya Raja Shamri ini?

Dr. Raja Shamri, anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan. Lahir dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan.

Ayahnya seorang penoreh getah yang hanya menerima pendapatan lebih kurang RM300 sebulan. Ayahnya terpaksa menyara tujuh orang adik-beradik.

Seorang anaknya dilahirkan tanpa sebelah kaki dan juga jari-jari tangannya melekat antara satu sama lain. Anak yang kurang upaya itulah Raja Shamri.

Walaupun selalu diejek dan banyak pergerakannya terbatas, namun semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya.

Sewaktu mula bersekolah, Raja Shamri terpaksa melompat-lompat ke sekolah kerana sebelah kakinya cacat.

Tapi disebabkan kesungguhan dan juga cinta kepada ilmu, dia tidak pedulikan semua itu.

Akhirnya, anak kurang upaya itu berjaya menghabiskan pelajarannya ke peringkat Doktor Falsafah dan mempunyai empayar konsultannya sendiri.

Itulah serba sedikit mengenai Raja Shamri. Hebat kan!

Tekad Membantu Orang Susah

"Saya dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Pengalaman yang saya lalui itulah menjadi pembakar semangat untuk saya terus membantu orang lain," kata Raja Shamri.

Raja Shamri masih teringat satu cerita sewaktu sekolah dahulu. Dia yang dalam keadaan sedemikian tidak mampu bersukan.

Tetapi cikgunya telah memilih Raja Shamri sebagai penolong ketua rumah sukan biru.

Cikgu meminta semua pelajar membeli baju berwarna putih untuk dicelup pewarna tiruan. Tapi waktu itu ayahnya memang tidak mampu membelikannya baju.

Tapi, kasih sayang seorang ayah, satu malam ayahnya meminjam wang daripada neneknya untuk membeli baju untuk Raja Shamri.

"Awak bayangkan, nak beli sehelai baju sukan pun tak mampu. Sama juga dengan orang yang saya bantu sekarang ini.

"Apabila mereka bercerita tak ada duit nak makan, tak ada duit nak beli barang dapur, saya dapat memahaminya kerana saya pernah melalui saat itu," ujar Raja Shamri.

Masyarakat Malaysia Sedang Sakit

Menurut Raja Shamri lagi, masyarakat kita sekarang sebenarnya sedang sakit. Kita hidup dalam masyarakat yang mempunyai perasaan hasad dengki, prasangka buruk dan macam-macam lagi.

Sebab itulah Raja Shamri terpanggil untuk mengajak masyarakat menjadi lebih baik.

Tapi cabaran itu bukannya mudah. Memang sukar. Sewaktu dia mengetuai misi bantuan banjir dahulu pun, bermacam-macam cabaran yang dihadapi.

Ada yang marah dengan tindakan pasukan Raja Shamri memberikan bantuan. Ahli politik turut merasa tercabar dengan bantuan dihulur Raja Shamri.

Kononnya Raja Shamri sengaja mahu menjatuhkan wakil rakyat kawasan itu apabila masuk memberikan bantuan dalam kawasan mereka.

"Semua itu tanggapan yang salah. Tujuan kita adalah untuk memberikan bantuan dengan segera.

"Tidak perlu isi borang atau menghadapi pelbagai karenah birokrasi. Tidak ada niat langsung mahu menjatuhkan sesiapa.

"Kalau mereka itu perlukan publisiti, silakan turun bersama kami. Panggillah media dan buatlah liputan besar-besaran.

"Pasukan kami langsung tidak mahu semua itu. Apa yang penting, orang yang susah menerima bantuan," jelas Raja Shamri.

Pendaftaran The Third Force

Raja Shamri telah menubuhkan The Third Force iaitu bantuan ketiga selepas bantuan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Pada bulan Ogos 2015, The Third Force didaftarkan dengan sambutan daripada komuniti dalam talian yang sangat memberangsangkan. Ramai yang menyatakan hasrat untuk membantu.

Misi utama The Third Force ialah untuk menyampaikan bantuan kepada fakir miskin dan asnaf dengan segera. Selain itu, tujuannya adalah untuk membantu pihak kerajaan.

The Third Force bukanlah satu ancaman, sebaliknya pasukan ini adalah sukarelawan untuk membantu masyarakat dan juga kerajaan.

Paling utama, Raja Shamri ingin membuat satu fenomena besar dalam masyarakat supaya suka menolong orang lain dan menjadikan amalan bantu membantu sebagai satu tabiat dalam diri masyarakat. Itulah hasrat Raja Shamri.

The Third Force juga tidak pernah sesekali meminta derma daripada mana-mana syarikat mahupun orang perseorangan. Ramai yang salah anggap.

Mengajak Masyarakat Membantu Orang Lain

Raja Shamri

"The Third Force turut memberi peluang kepada orang ramai kerana kita tak mampu nak tolong sendiri.

"Sebab itu setiap kali ada bantuan diterima, kita akan bagitahu lokasi beserta nombor penerima untuk dihubungi.

"Pergilah sendiri bantu kalau tak percaya kepada kita," kata Raja Shamri.

Menurut Raja Shamri lagi, kerja pasukan mereka langsung tidak mendapat keuntungan. Bukan berniaga, jauh sekali untuk kaya.

Tujuan mereka adalah untuk membantu orang susah dan memerlukan bantuan segera.

The Third Force akan mencari orang yang memerlukan bantuan, lalu diuar-uarkan kepada masyarakat untuk sama-sama membantu.

Pada awal penubuhan, The Third Force hanya tertumpu pada mangsa banjir sahaja, tetapi selepas itu skop mereka lebih besar iaitu membantu golongan miskin dan asnaf.

Alhamdulillah. Allah mempermudah segala urusan. Satu persatu usaha mereka berjaya.

Kerja pemulihan surau, pemulihan jambatan juga dilakukan.

The Third Force juga menjaga lebih 200 orang anak-anak yatim dan dibayar yuran persekolahan mereka, disebabkan adanya sambutan dan kerjasama daripada masyarakat.

The Third Force juga tidak pernah meminta apa-apa bantuan daripada kerajaan.

Bantuan Dari Seluruh Dunia

The Third Force berjaya disebabkan pertolongan orang ramai yang bukan saja dari masyarakat Malaysia, malah dari luar negara. Mereka menyumbang daripada segi teknologi dan juga kepakaran.

Untuk membantu, bukan hanya wang yang diperlukan. Sebab itu tiada duit bukan alasan utama untuk tidak membantu. Paling kurang kita menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib.

Kalau mempunyai kepakaran, bantulah melalui tenaga. Sekiranya ada pendapatan berlebihan, bolehlah membantu dari segi kewangan.

"Kita selalu memberi alasan tak dapat membantu disebabkan kekurangan wang, tetapi banyak cara lain lagi boleh kita hulurkan bantuan," ujar Raja Shamri.

Sanggupkah kita melihat orang disekeliling kita tidak tidur malam kerana kelaparan, sedangkan kita tidur dalam kekenyangan?

Biasanya miskin macamana yang diberikan keutamaan?

Dalam Al-Qur'an surah Al-Baqarah ayat 273 yang bermaksud, "Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya."

Benar kata Raja Shamri. Adakalanya kita terlepas pandang jiran-jiran sekeliling. Atau kita sering merasa tidak mampu untuk membantu.

Tidakkah anda sendiri terkesima mendengar kata-kata Raja Shamri? Orang kurang upaya yang mampu memberi cahaya kepada orang lain!

Apa kata kita semua menjadi sebahagian daripada The Third Force?

Perdulikan birokrasi dan karenah yang ada dalam sistem kita sekarang. Biarkan mereka dengan agenda dan kepentingan diri masing-masing.

Kalau terjumpa orang yang benar-benar memerlukan dan dalam kesusahan, salurkan maklumat. Bantu selagi terdaya.

Boleh saja hubungi Raja Shamri di talian 09-7868 787 atau 012-3598 767.

*Nota editor: Artikel ini dipetik dan diubahsuai daripada majalah Mastika September 2016.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

2 comments

  1. entri hebat..marilah mengamalkan apa juga kebaikan ketika masih hidup

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lapor untuk bantuan jika terlihat insan2 yang memerlukan..:)

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon