Wednesday, October 12, 2016

D5 Plat Kereta Paling Mahal Di Dunia Berharga RM37 Juta!


Seorang ahli perniagaan Dubai dari India, Balwinder Sahani mengejutkan dunia apabila berjaya memiliki plat D5 sebagai nombor pendaftaran kereta termahal di dunia.

D5

Bilionaire taikun hartanah rantau Asia Barat itu yang juga dikenali sebagai Abu Sabah diumumkan oleh Lembaga Pengangkutan Wilayah (RTA) berjaya membida plat D5 mencecah harga 33 juta dirham (kira-kira RM37.5 juta).

Nilai tawaran tersebut sekali gus mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu plat ‘1’ yang dibida hartawan Abu Dhabi, Saeed Abdul Ghaffer Khouri pada 2008 lalu dengan harga bidaan 31.6 juta dirham (RM35.9 juta) ketika itu.

Portal berita terkenal Emiriah Arab Bersatu (UAE), Emirates 247 melaporkan bahawa, plat D5 itu akan dipasang pada salah sebuah kereta mewah Rolls Royce milik Balwinder setelah disahkan RTA memenangi bidaan tersebut.

“Ini memang hobi saya. Saya suka kumpul nombor plat unik dan saya berbangga dapat ada nombor sebegini. Lagi pun kebetulan saya suka nombor sembilan kerana D5 apabila dicampur jadi angka sembilan,” kata beliau lagi.

Pemilik kumpulan RSG International, sebuah syarikat pengurusan hartanah terkenal di UAE, Kuwait, India dan Amerika Syarikat itu memberitahu akhbar Gulf News, setakat ini beliau sudah memiliki 10 nombor plat cantik.

Tahun lalu, Balwinder berjaya membida plat 09 dan selepas D5, beliau berhasrat menambah lebih banyak koleksi nombor pendaftaran kereta yang unik kerana: “Saya begitu bersemangat dengan mempunyai nombor sebegini!”

Setiap tahun, lebih 300 pembida menyertai acara lelongan secara langsung yang diadakan pihak RTA setiap dua atau tiga bulan dengan menyaksikan persaingan amat sengit antara ramai ejen pembida dari seluruh dunia.

D5 ditawarkan pada bidaan selain sejumlah 80 nombor lain daripada satu sehingga lima digit.

Menurut jurucakap RTA, acara pada hujung minggu lepas menampilkan banyak tawaran bidaan paling besar dalam sejarah.

Ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif RTA, Ahmad Hashim Behroozian yang berkata, sepanjang menyelia agensi pelesenan plat kenderaan itu, D5 adalah tertinggi tawaran hingga penuh sesak dewan acara di Hotel JW Marriott.

Bidaan plat pendaftaran malah menjadi perniagaan besar di UAE kerana ramai pembeli kaya boleh ‘buat duit’ pada nilai kenderaan mereka termasuk acara lelongan menerusi atas talian anjuran pihak RTA pada setiap bulan.

Segala-galanya bermula pada 2007 lalu apabila Talal Ali Mohammed Khouri menjadi ‘berita besar’ setelah menang bidaan nombor plat ‘5’ di Abu Dhabi dengan nilai 25 juta dirham (RM28.4 juta). -Mynewshub

Bida Plat Kereta Lucu Trend Unik Di Hong Kong

Plat Kereta Lucu

Plat-plat pendaftaran kereta yang lucu sebenarnya adalah suatu perkara biasa di Hong Kong sejak pengenalan Skim Penanda Pendaftaran Kenderaan Peribadi diperkenalkan oleh pihak kerajaan pada 2006 lalu.

Ia hasil satu program yang membolehkan orang ramai untuk memilih sendiri kombinasi abjad dan nombor unik sebelum mereka mengemukakan taruhan dengan bidaan minimum ialah HK$5,000 (kira-kira RM2,750).

Acara lelongan berlangsung 12 kali setahun atau sebulan sekali sahaja dan ini bermakna penduduk Hong Kong yang berminat kena bangun awal pada hari Sabtu minggu terakhir untuk berkumpul di sebuah dewan khas.

Mereka beramai-ramai sanggup datang ke dewan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Hong Kong bagi mengemukakan taruhan untuk plat lesen impian dengan maksimum 8 aksara termasuk huruf dan nombor.

Plat Kereta Lucu

Stesen penyiaran milik pemerintah Singapura, Channel NewsAsia melaporkan, jabatan tersebut bagaimanapun tidak membenarkan penggunaan abjad I dan O kerana bimbang ia tidak dapat dibezakan dengan angka 1 dan 0.

Pembida juga dilarang membida huruf Q atas faktor sama dan proses penawaran itu diadakan berasingan daripada acara lelongan nombor plat cantik yang dilaksanakan juga pada Sabtu tetapi ia dua kali setiap bulan sejak 1973.

Antara yang pernah menarik perhatian ialah plat pendaftaran APPLE HK menerima bidaan HK$38,000 (kira-kira RM20,900) dan plat PLAYER yang kemudian dijual pada harga dua kali ganda daripada jumlah tersebut.

Plat Kereta Lucu

Bidaan unik lain adalah HK$387,527 (kira-kira RM213,712) bagi plat YF yang pernah dimenangi oleh seorang lelaki tempatan dengan mendakwa huruf YF itu sebenarnya adalah sebagai singkatan daripada namanya sendiri.

Plat M0D1 pula pernah dijual pada harga HK$4,650 (kira-kira RM2,558) yang dibida oleh seorang peniaga Hong Kong dengan mendakwa dirinya merupakan peminat setia Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Bagi seorang peniaga plat kereta tempatan, Chan Ming Choy pula, beliau kini sedang cuba menjual plat MR RIGHT pada harga HK$178,262 (kira-kira RM98,059) yang dimenanginya kepada sesiapa yang berminat.

Setakat ini, rekod bidaan paling tinggi ialah 1 LOVE U dengan harga HK$1.4 juta (kira-kira RM770,000) yang dijual menerusi acara lelongan kebajikan dan melibatkan 105Â plat unik lain pada 24 September 2006 lalu.

Plat Kereta Lucu

Apa yang pasti, kerajaan Hong Kong setakat ini telah meraih HK$310 juta (kira-kira RM170.5 juta) hasil daripada penjualan plat-plat pendaftaran unik kenderaan itu, sejak skim tersebut diwujudkan sembilan tahun lalu.

Pendapatan itu bagaimanapun dimanfaatkan Jabatan Pengangkutan untuk menyara hidup 987 warga Hong Kong yang kurang berkemampuan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat. -Mynewshub

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon