Saturday, September 24, 2016

'Sesuatu Yang Tidak Sopan Sedang Berlaku Di Malaysia'


Bila durian runtuh ia bukan datang secara tetiba. Bila empangan pecah ia bukan meledak serta merta. Bila perang bermula ia bukan sengaja meletus.

Politik

Apa sahaja babak yang sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang pasti telah ada tanda-tanda terlebih awal sampai.

Semua yang berlaku dalam kehidupan kita pasti ada sebab musabab. Tidak ada satu perkara yang wujud secara tetiba.

Mustahil tiba-tiba rakyat Malaysia benci kepada Najib dan Rosmah. Mustahil tiba-tiba Mahathir berani menuduh Najib sebagai pencuri. Mustahil tiba-tiba satu dunia mula melihat Najib sebagai penyamun berlesen.

Mustahil rakyat Malaysia mula melihat parti PAS sebagai parti belot dan parti kaki putar. Mustahil secara tiba-tiba rakyat Malaysia melihat United Malays National Organisation sebagai musuh.

Hakikatnya semua yang berlaku ketika ini muncul dan dilahirkan daripada perkara-perkara yang telah berlaku terdahulu.

Babak yang kita lihat hari ini sebenarnya adalah sambungan daripada babak-babak yang terdahulu. Semuanya sambung menyambung.

Mungkin babak ini tidak ‘linear’ - tidak terus menerus - lepas satu-satu. Mungkin babak ini terputus-putus. Mungkin babak ini mengambil masa sambungan yang bertahun, berdekad lama atau berkurun.

Tapi yakinlah hidup kita hari ini adalah sambungan kelmarin. Kelmarin sambungan kelmarin dan kelmarin dari kelmarin seratus tahun yang lalu.

Kehidupan adalah ekonomi. Kehidupan kita hari ini adalah sambungan ekonomi. Saya telah menerangkan beberapa kali bahawa asas kehidupan manusia ini adalah ekonomi. Manusia itu adalah ‘binatang ekonomi’.

Bezanya daripada haiwan ialah manusia sebagai binatang ekonomi memiliki keupayaan sosial. Keupayan bermasyarakat untuk hidup berkelompok.

Justeru untuk membaca apa yang sedang berlaku hari ini kita semua wajib membaca ekonomi. Kerana ekonomi ialah asas politik. Politik ialah kuasa. Merebut kuasa politik bermakna merebut kuasa ekonomi. Manifestasi ekonomi ialah ringgit dan dinar.

Maka adalah tepat apabila Najib berkata - cash is king - ringgit itu Raja.

Maka tanda-tanda awal tentang suasana politik Malaysia boleh dibaca melalui kedudukan ekonomi kita. Inilah pembacaan yang jelas dan tuntas.

Nilai ringgit kita terus merosot. Bukan hanya dengan dolar Amerika malah dengan semua mata wang termasuk rupiah Indonesia - nilai ringgit jatuh merundum. Kejatuhan nilai ringgit ini adalah tanda awal.

Kalau kita hendak jatuh sakit maka kita merasa badan kurang sedap dan suhu badan naik. Maka kejatuhan nilai ringgit ini adalah tanda-tanda yang demam telah sampai.

Bila ringgit jatuh maka kita tidak dapat lagi berbangga ‘macam dulu’. Berbangga apabila ke Siam atau ke Indon.

Kini kita mula mengira-ngira apabila bertukar ringgit dengan rupiah. Malah yang pernah ke Mekah telah mula mengalami bagaimana ringgit tak laku untuk ditukar.

Sambungan daripada nilai ringgit yang jatuh ini ialah semakin ramai graduan dan anak muda yang tidak mendapat pekerjaan yang sesuai. Malah semakin ramai yang keluar negara mencari kerja. Berkelana mencari kehidupan.

Kita pasti ada bertemu mat Bangla yang ada Ijazah dari Dacca Universiti datang menjadi Pak Gad di Damansara. Maka ini samalah seperti graduan dari Universiti Islam Antarabangsa memburuh memetik anggur di Adeleide Australia. Tidak ada bezanya.

Ini tanda-tanda bahawa ada sesuatu yang tidak sopan sedang berlaku di Malaysia. Ini tahap kedua yang akan membawa masuk ke tahap ketiga.

Pada hemat saya tanda semakin jelas bahawa Malaysia kini dalam tahap ketiga untuk menerobos masuk ke tahap keempat. Apa dia tahap ketiga ini?

Tahap ketiga adalah hilang keyakinan. Yakin - memainkan peranan yang amat penting dalam susunan manusia sebagai binatang ekonomi. Tanpa yakin kita akan runtuh rantah.

Ringgit atau dolar itu sebenarnya hanyalah kertas. Tidak lebih daripada itu. Apa yang membolehkan saya membeli satu kilo manggis di Chow Kit dengan harga 10 ringgit ialah keyakinan.

Tuan empunya manggis yakin bahawa 10 ringgit itu boleh terus digunakan untuk meneruskan perniagaan.

Saya juga yakin kepingan kertas bertulis 10 ringgit itu akan membolehkan saya mendapat 1 kilo manggis.

Yakin adalah gam yang mengikat kita semua. Apabila yakin hilang maka gam akan hilang. Yakinlah yang mengikat kita individu dalam satu kelompok masyarakat. Kemudian kita memangil diri kita warga Malaysia.

Kerajaan Penipu?

Kini di Malaysia keyakinan telah semakin lupus. Kita tidak yakin dengan Najib sebagai perdana menteri jauh sekali kita percaya dan yakin kepada Ku Nan atau kepada Azalina atau kepada Khairy Jamluddin.

Mustahil sosok yang berakal akan yakin dengan cakap Saleh Keruak atau kata-kata Rahman Dahlan.

Mustahil kita yakin dengan ucapan Hasan Malek atau suara Ahmad Maslan. Hanya sosok yang terencat akal sahaja atau telah diupah akan yakin dengan Jamal Baju Merah atau Ali Tinju.

Rakyat Malaysia tidak yakin lagi dengan SPRM. Tidak yakin dengan PDRM. Tidak yakin dengan SPR. Malah apa sahaja yang dikatakan oleh kerajaan semuanya akan dilihat dan dibaca sebagai satu penipuan.

Apa sahaja ucapan Menteri semuanya masuk angin keluar asap. Tidak ada sesiapa yang percaya terhadap peranan lembaga daulah dalam negara ini.

Kita tidak ada keyakinan kepada sesiapa sahaja yang mewakili Najib Rosmah atau mengakui menyokong kerajaan hari ini.

Rakyat Malaysia Hilang Keyakinan Terhadap Ulama?

Lembaga agama, para alim ulamak bukan sahaja tidak diyakini malah dilihat sebagai alat untuk menipu. Alim ulama di Malaysia dilihat sebagai penjual agama. Sebagai penjual ketakutan. Sebagai penjual bidadari - syurga dan neraka.

Peranan besar mereka untuk memimpin umat telah lupus. Mereka tidak diyakini sebagai panglima untuk menentang kezaliman dan melawan kemungkaran. Mereka bukan penegak keadilan. Kini mereka sendiri menjadi kepala mungkar.

Hilang keyakinan ini membawa kita ke tahap keempat yang pada hemat saya sedang berlaku sekarang. Tahap ke empat ini ialah apabila segala -gam- yang mengikat kesatuan kita sebagai umat - sebagai satu negara bangsa runtuh rantah.

Manifestasi semakin jelas apabila kita melihat ruang sosial di mana saban bulan ada sahaja bayi yang telah dibuang.

Pembuangan bayi ini untuk saya adalah tanda yang paling jelas bahawa adunan dan jahitan masyarakat kita telah runtuh.

Lebih awal runtuh ialah bani Melayu di mana mereka baru sedang berada dalam dunia peralihan. Beralih dari masyarakat tani ke masyarakat bandar.

Ketika dalam peralihan ini berlaku simpang siur yang berkemungkinan mengghairahkan. Dalam masa yang sama boleh menyesatkan.

Buang bayi itu sabenarnya adalah manifestasi dari masalah runtuhnya pabrik sosial masyarakat bani Melayu. Saya mengambil buang bayi sebagai manifestasi dalam tulisan ini.

Sebenarnya terlalu banyak manifestasi keruntuhan sosial yang sedang kita hadapi sesama kita. Buang bayi saya gunakan sebagai contoh kerana ia senang difahami.

Apabila berlakunya keruntuhan sosial ini maka ia akan menjemput kita masuk ke tahap ke lima - keruntuhan budaya. Antara tahap ke empat dan ke lima ini jaraknya amat tipis. Malah amat susah untuk dibeza dan diberi garis pemisah.

Bila agaknya keruntuhan sosial akan membawa ke pada keruntuhan budaya?

Keruntuhan budaya ini adalah tahap akhir di mana masyarakat ini akan punah ranah. Pada hemat saya kita sedang berada di gigi keruntuhan sosial dan menuju keruntuhan budaya.

Semua yang berlaku hari ini menyakinkan saya bahawa bani Melayu - bani yang menjadi teras budaya bangsa - yang menjadi tiang seri negara Malaysia kini sedang dalam satu krisis yang amat besar.

Tanda-tanda keruntuhan semakin jelas. Ini bukan lagi kilat sabung menyabung sebelum hujan turun. Ini bukan rintik-rintik dan rebas-rebas. Untuk saya kini banjir sedang mengampuh.

Bani Melayu bukan lagi berhadapan dengan krisis tetapi sedang menghadapi keruntuhan sosial dan sedang menuju kepada keruntuhan budaya.

Dalam keruntuhan sosial kita hanya hilang keyakinan bahawa orang lain - jiran tetanga - kaum keluarga sahabat handai tidak akan datang membantu kita. Malah mereka juga tidak ambil pusing hal kita.

Bila pabrik sosial runtuh maka kita sendiri hilang keyakinan terhadap masyarakat sekeliling. Pada hemat saya suasana ini sedang berlaku sekarang.

Majoriti Rakyat Hilang Keyakinan Terhadap Kerajaan?

Kita dikatakan - letih politik. Kita dikatakan telah sampai ke tahap tepu tidak berkeupayaan untuk membawa perubahan terhadap alam sekeliling yang menjerut hidup.

Warga Malaysia dikatakan semakin sinikal terhadap apa sahaja. Sinikal ertinya kita kurang yakin. Kita melihat semua pekara lok lak - flip flop. Sikap sinikal ini lahir dari pengalaman yang terkumpul.

Kita tidak yakin, kita tidak percaya kepada Najib, menteri, polis, hakim, pilihan raya, tok guru, mufti kerana hasil dari pengalaman terkumpul.

Mereka semua ini dilihat penipu dan pembohong. Mereka menipu dan membohong untuk terus berkuasa. Berkuasa untuk memiliki punca ekonomi i.e hidup senang lenang.

Tahap runtuh budaya ini menjadikan kita hilang keyakinan, hilang kepercayaan kepada sifat kemanusian. Sifat kemanusian inilah yang menjadikan kita manusia. Jika ini hilang dan pupus maka apakah kita boleh memanggil diri kita manusia?

Saya melihat cahaya - pada ketika ini - pada hemat saya kita belum lagi terjerumus ke dalam kehancuran budaya. Masih ada lagi sifat kemanusiaan. Kita masih belum menjadi Iraq atau Somalia atau Nigeria.

Tapi yakinlah tanda-tanda semakin jelas jika Najib, jika Rosmah dan United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya dalam Barisan Nasional terus berkuasa maka Malaysia akan terjerumus ke tahap kehancuran budaya.

Saya amat yakin tentang perkara ini. Sebelum empangan pecah pasti ada tembok bocor. Pasti ada air meleleh.

Bila hujan sampai barulah ledakan berlaku. Ketika ini saya amat yakin awan hitam sedang berkumpul dan hujan lebat akan sampai.

Apakah empangan akan runtuh?

BACA INI JUGA:

Sumber: Malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon