Saturday, September 03, 2016

Cara Mudah Menanam Tembikai Di Halaman, Tidak Perlu Kebun Berekar


Terdapat pelbagai jenis tembikai yang sesuai ditanam untuk iklim Malaysia. Namun tembikai merah atau nama saintifiknya Citrullus lanatus var. Lanatus dari keluarga Cucurbitaceae menjadi kegemaran ramai.

Tembikai

Tembikai merah merupakan tumbuhan yang berasal dari utara Afrika. Ramai beranggapan tembikai perlu ditanam di atas sebidang tanah yang luas.

Sebenarnya tanah yang sempit di halaman rumah juga sesuai untuk dijadikan lokasi penanaman tembikai. Antara cara-cara mudah untuk menanam buah tembikai di halaman rumah adalah:

Rendam Anak Benih

Biji Tembikai

Rendam biji benih tembikai dengan menggunakan sedikit racun kulat yang dicampurkan bersama racun serangga. Ia dapat memastikan benih tembikai selamat ketika percambahan.

Semai

Semaian Biji Tembikai

Semai anak benih di dalam bekas semaian yang mengandungi medium khas untuk percambahan biji benih. Pastikan setiap lubang hanya diletakkan sebiji benih sahaja.

Pindahkan

Anak Benih Tembikai

Anak benih sesuai dipindahkan ke batas tanaman kekal setelah mengeluarkan daun yang ke-6.

Penyediaan Busut

Sediakan satu busut atau batas tanaman berukuran 3 kaki x 3 kaki dengan ketinggian 6 inci. Pastikan tanah dari jenis ringan atau mengandungi bahan organik yang tinggi.

Nilai pH tanah yang bersesuaian untuk tanaman tembikai adalah di antara 6 hingga 6.8.

Pastikan busut yang dibina menerima cahaya matahari secara langsung dan tidak terlindung.

Kawal Kelembapan Tanah

Letakkan sungkupan di sekeliling anak benih sejurus ia dipindahkan ke batas kekal. Ini bertujuan untuk mengekalkan tahap kelembapan tanah dan dapat mengawal pertumbuhan rumpai.

Perlu Dipangkas

Selepas hari ke-10 hingga 15, anak pokok perlu dipangkas untuk memastikan ia mengeluarkan cabang atau tunas yang baru. Selain itu, ia juga dapat membantu untuk menghasilkan buah yang lebih banyak.

Pembajaan

Pembajaan Tembikai

Lakukan pembajaan setiap 2 minggu sekali. Untuk peringkat awal pertumbuhan, baja perlu ditabur secara bulatan di sekitar anak pokok. Pastikan jarak baja yang ditabur 30 cm dari pangkal pokok.

Air Yang Banyak

Pokok tembikai memerlukan air yang banyak untuk tumbesaran yang sihat dan penghasilan buah yang banyak. Lakukan penyiraman seawal pagi dan pada waktu lewat petang.

Hanya 2 Biji Satu Pokok

Kebiasaannya, pokok mula berbunga dan berbuah pada hari ke-60 selepas pemindahan. Untuk mendapatkan hasil buah yang berkualiti, pastikan pokok hanya mempunyai 2 biji buah dalam satu masa. Jika terdapat putik yang seterusnya, ia perlu dibuang.

Tanda-tanda Buah Tembikai Sudah Masak

Tembikai Matang

Buah tembikai akan menunjukkan tanda-tanda sudah matang atau sedia untuk dituai apabila:
  • Warna putih kulit buah yang bersentuhan dengan tanah bertukar menjadi kekuningan.
  • Apabila ditepuk atau dijentik, buah menghasilkan bunyi seakan-akan berongga.
  • Urat atau jalur pada permukaan kulit buah mula pecah dan pudar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Impiana

1 comment

  1. Bestnya... seronok ni buat mengisi masa lapang.. cukup masa ada hasil utk dimakan.. :)

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon