Wednesday, August 31, 2016

Cerpen: Rohnya Tidak Tenteram


Dia menangis. Menangis semahu-mahunya. Meratapi nasib dirinya yang entah dimana kini. Dia bingung. Hendak mencari jalan keluar, tidak berjumpa. Dia benci pada lembaga yang sibuk mengekorinya ke mana saja dia bergerak.

Rohnya Tidak Tenteram
Gambar hiasan.

Pantang dia bangun, lembaga misteri berupa manusia dengan telinga panjang serta berekor itu pasti mengikut langkahnya.

Puas dia menjerit, memaki hamun lembaga itu, namun ia seakan tidak mengerti, malah adakalanya naik berang dengan mengaum selantang mungkin.

Sudahnya, dia duduk sahaja di ceruk yang tidak bertanah juga tidak berlangit itu.

Tadi, dia nampak Ady berjalan seorang diri dengan wajah lesu. Dia memanggil tapi Ady buat tidak peduli. Bila dia menjerit nyaring, Ady menoleh tetapi dengan wajah penuh kerut di dahi.

Agak lama Ady kaku tetapi selepas itu Ady kembali beredar dan pergi meninggalkannya yang terkial-kial cuba mengejar Ady.

Ady sudah benci pada aku kah? Ady tak sayang aku lagi kah? Kenapa Ady buat tak peduli pada aku lagi? Apa salah aku? Adyyyyyy!!

Jeritannya bergema bagaikan melantun-lantun bunyinya, menghasilkan gema yang menakutkan. Dia sendiri yang mendengarnya berasa seram sejuk.

Di mana aku sekarang ni? Kemudian dia menoleh ke arah lembaga bertelinga panjang itu, bagai menagih simpati dan jawapan yang pasti.

Namun, lembaga itu sekadar merenungnya dengan tajam sebelum menghentakkan tongkat bercabang tiga itu ke tanah, membuatkan dia menikus lalu mendiamkan diri.

Tidak lama selepas itu, dia tiba-tiba berjaya melepaskan diri dari lembaga bertelinga panjang itu.

Sukanya hati, bukan main lagi. Dia teringat untuk mencari Ady, lalu dia segera berlari ke rumah Ady. Malang sekali, malam sudahpun lewat.

Rumah berkembar dua tingkat yang didiami Ady dengan keluarganya sudah gelap gelita. Dia kaku di depan pintu pagar, sambil mata terarah ke tingkap bilik Ady di tingkat dua.

"Adyyy!!" Dia memanggil. Gemersik alunan suaranya. Tiada sahutan.

"Adyyy!!"

Masih tiada jawapan. Dia mula mencari jalan. Memanjat pagar dan tembok. Sekelip mata dia sudah berada di dalam bilik Ady.

Dia menguak langsir, membenarkan cahaya bulan masuk terus ke dalam bilik Ady yang sedang lena di atas katil.

Namun, ada sesuatu yang mengusik hatinya. Tubuh Ady kelihatan kurus. Rambutnya kelihatan agak panjang meliar.

"Ady!" Dia memanggil. Ady kelihatan bergerak sedikit.

"Ady!" Dia menguatkan suaranya.

Kali ini mata Ady terbuka. Terbeliak memandangnya. Dia senyum semanis mungkin tetapi Ady masih kelihatan bingung dengan bibir bergerak-gerak serta-merta bulat.

"Ady!" Panggilnya mesra serta cuba membelai wajah Ady.

"Pergi!!" Tiba-tiba Ady menjerit membuatkan dia tersentak.

"Kenapa dengan Ady ni? Ady bencikan Lily?" rintihnya dengan suara pilu.

Ady masih memandangnya dengan mata bulat serta dahi berkerut hebat.

Ady mengengsot ke hujung katil sambil memeluk bantal. Dia pula cuba mendekat.

"Pergiii!!!!" jerit Ady sambil memekup kedua-dua belah telinganya dalam keadaan terperosok di kepala katil.

"Adyy.. sampai hati Ady buat Lily macam ni.. kenapa Ady? Lily rindukan Ady.. Ady tak rindukan Lily ke? Ady.. Ady.. huhuhu!"

"Jangan kacau aku lagi! Pergilah!!" Ady menepis-nepis tangannya di udara. Dia kecewa bercampur marah dengan sikap Ady.

Tiba-tiba pintu bilik terkuak. Dia menoleh. Kelihatan ibu bapa Ady serta abangnya, Amri, menerpa mendapatkan Ady yang kelihatan menggeletar ketakutan di atas katil sambil memandang ke satu arah dengan mata ketakutan.

Dia mahu bersuara tetapi tangisan Ady membuatkan dia terkejut. Kenapa Ady menangis?

"Kenapa ni Ady? Sudahlah.. jangan macam ni nak!" pujuk ibu Ady.

"Mak.. Lily datang lagi mak!" adu Ady seperti anak kecil.

"Ady, Lily dah lama meninggal. Kenapa cakap yang bukan-bukan ni.." Amri pula bersuara.

Dia tidak betah lagi melihat keadaan Ady. Sudah dua bulan Ady meracau-racau di tengah malam sejak kematian tunangnya Lily!

Sampaikan dia sendiri naik seram bila mendengar Ady menjerit-jerit seolah-olah meminta seseorang yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar supaya berhenti mengacaunya. Sudah dibawa berubat tetapi Ady masih begitu.

"Mak.. entah-entah memang Ady nampak Lily tak?" tiba-tiba Amri menyuarakan kebimbangannya.

"Huishh.. kamu ni, jangan cakap benda-benda mengarut macam tu!"

"Yelah.. manalah tau kan. Roh Lily tu tak aman. Mak pun tau kan macamana Lily mati.

"Mati bunuh diri! Cemburu punya pasal, sanggup bunuh diri. Orang tak beriman macam tu lah!" Amri seperti merungut. Ibunya menampar tangan Amri.

"Tak baik cakap macam tu pada orang yang dah tiada." Ayahnya cuba menegur.

Memanglah tunang Ady, Lily, meninggal dunia dengan cara membunuh diri. Semuanya gara-gara cemburukan Ady yang keluar dengan perempuan lain.

Ugutan Lily untuk membunuh diri ternyata dikota. Lily ditemui mati menggantung diri di kipas siling di apartmentnya.

"Betul mak, Ady nampak Lily mak.. Ady takut mak. Ady tau dia masih marahkan Ady. Muka dia biru mak!" Adu Ady lagi.

Matanya masih memandang ke sudut bilik. Dia masih dapat melihat bayangan Lily terawang-awang di situ.

Ibu, ayah dan abangnya turut memandang, tetapi tiada apa-apa yang dapat mereka lihat. Hanya terasa udara sejuk berhembus di dalam bilik itu, yang cukup meremangkan bulu roma.

"Aku dah mati??!!" Lily menjerit.

Hakikat itu terasa amat sukar diterimanya. Dia merenung ke arah Ady yang masih memandangnya. Menghantar rasa takut di jiwa Ady.

Lily terus berlegar-legar di dalam ruang bilik Ady. Tangannya sejak dari tadi cuba menggapai Ady yang masih dalam pelukan ibunya.

Setiap kali Lily cuba menghulur tangan, setiap kali itulah Ady akan terjerit-jerit ketakutan.

Ady berasa gerun melihat bayangan Lily yang begitu menakutkan. Wajah Lily begitu menyeramkan. Wajah Lily kebiruan. Ady dapat merasakan Lily begitu marah dengannya.

"Tolonglah Lily.. jangan ganggu aku lagi.. tolonglah!" Ady sungguh-sungguh merayu.

Langsung tidak menghiraukan pandangan ibu dan ayahnya. Amri pula mula naik berang.

"Sudahlah Ady.. Lily dah lama meninggal! Sudahlah berperangai macam orang gila! Kesianlah pada emak dan ayah!"

"Lily.. pergilah!" Ady bagaikan tidak menghiraukan Amri. Matanya masih tertancap pada sudut bilik.

Di situ dia melihat Lily terawang-awang di udara sebelum muncul satu lembaga lain bertelinga panjang.

Lembaga itu kemudiannya mengheret Lily pergi ke satu lubang gelap yang tiba-tiba muncul di dinding.

Sebentar kemudian, Lily hilang dari pandangan mata Ady, namun suara Lily masih terus menghantui Ady..

Kerana rohnya tidak tenteram..

~Tamat

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon